Sunday, January 15, 2023

Zahid ‘duri dalam daging’ kepada UMNO, PH, kata pemimpin DAP

agendaily.com
15/01/2023
Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri mengkritik Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dianggapnya sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan dan kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang pemimpin kanan DAP hari ini mengeluarkan kritikan keras terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dianggapnya menjadi liabiliti kepada bukan sahaja terhadap parti itu, tetapi juga Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, P Ramasamy membidas keputusan UMNO enggan membenarkan pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden yang menjadikan Zahid kekal menerajui parti itu, tetapi akan menjadi ‘duri dalam daging’ kepada PH dan kerajaan Anwar.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu menyifatkan Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO sebagai ‘albatross’ atau ‘pembawa masalah yang menjadi penghalang’ yang bukan sahaja melingkari leher UMNO, tetapi juga PH.

“Keputusan terkini PAU untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden UMNO mungkin mendapat sokongan sebulat suara, namun ada juga suara yang mahukan ia dipertandingkan.

“Zahid mungkin dilihat terselamat buat sementara waktu, namun beliau kelihatan sebagai ‘Albatross’ yang melingkari UMNO dan juga PH serta Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini (15 Januari 2023).

Semalam, PAU meluluskan usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan di sebalik pelbagai kemelut yang berlaku termasuk desakan kepada usaha pembaharuan dan rejuvenasi dalam parti, selepas kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Ramasamy percaya usaha UMNO untuk berubah juga akan melalui jalan sukar selagi imej korupsi yang melingkarinya tidak dibersihkan dan malangnya, Zahid selaku teraju parti sendiri dilihat sebagai pemimpin paling terkesan dengan imej itu dalam UMNO.

Perkara itu, katanya, mungkin mendatangkan kesan kepada usaha parti serta kerajaan pimpinan Anwar untuk menarik sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

“Dengan dua kedudukan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan, krisis politik yang dijangka mungkin boleh dielak buat sementara waktu.

“Sakit kepala Anwar mungkin sementara waktu ini hilang. Namun, cabaran sebenar buat PH dan UMNO adalah untuk menarik sokongan Melayu dalam PRN akan datang.

“Sama ada UMNO mampu untuk membuka laluan mudah dengan kebergantungan kepada nasionalisme etnik, itu belum tentu lagi,” kata Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang.

Enam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta negeri pimpinan Perikatan Nasional – Kedah, Kelantan dan Terengganu – akan mengadakan pilihan raya negeri tahun ini.

Ramasamy juga menegaskan bahawa UMNO yang kehilangan sudah sokongan Melayu kini lebih memerlukan sokongan PH berbanding sebaliknya, malah ia juga menjadi faktor yang memaksa parti itu bekerjasama dalam membentuk kerajaan PH-BN.

“Jika UMNO yang paling dominan dalam Barisan Nasional (BN) sebuah parti yang kuat, ia sudah pasti memenangi majoriti kerusi Parlimen dalam PRU-15, namun prestasinya jauh ketinggalan berbanding saingannya, iaitu PAS dan Bersatu dalam PN (Perikatan Nasional).

“Kehilangan sokongan Melayu yang memaksa UMNO bekerjasama dengan PH dalam membentuk Kerajaan Perpaduan….saya rasa UMNO lebih memerlukan sokongan PH berbanding sebaliknya.

“Jika UMNO bergabung dengan PN dalam membentuk kerajaan, parti itu mungkin akan tenggelam dek kuasa ekstem dalam PN. Ini hakikat diketahui semua pemimpin UMNO terutama Zahid,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-