Diterbitkan: Feb 12, 2023 9:21 AM
Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang menggesa kerajaan negeri memecat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berikutan kenyataannya yang menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memecahkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.
Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf menyifatkan Ramasamy sebagai liabiliti kepada Pakatan Harapan (PH) apabila berulangkali mengeluarkan kenyataan kontroversi yang tidak menguntungkan kerajaan, rakyat, mahupun negara.
"Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan sebegini, malah sudah berulangkali.
"Isu ramai penjawat awam berbangsa Melayu bukanlah satu isu yang besar sebaliknya beliau cuba mencurah minyak ke api bertujuan hanya untuk mencari perhatian dan sokongan murahan pihak-pihak tertentu," katanya.
Menjawab gesaan supaya dia dipecat, Ramasamy memberitahu Malaysiakini dia menyeru reformasi dalam sektor perkhidmatan awam, bukan untuk "memecahkan dominasi orang Melayu".
"Ini adalah pembohongan terang-terangan yang diputar belit oleh media dengan agenda menyalahkan kaum tertentu," katanya dalam jawapan ringkas kepada Malaysiakini melalui mesej Whatsapp malam tadi.
Kelmarin Ramasamy dalam catatan di Facebook berkata sektor perkhidmatan awam telah diperkukuhkan dan kini memerlukan reformasi.
Pemimpin DAP itu berkata, hujah lama yang memihak kepada penguasaan orang Melayu dalam perkhidmatan awam untuk mengimbangi penguasaan ekonomi kaum Cina, tidak lagi terpakai.
Ini katanya adalah antara hujah yang digunakan Mahathir Mohamad untuk menginstitusikan hegemoni orang Melayu dalam sektor awam khususnya perkhidmatan awam.
Sementara itu, Abshar berkata Ramasamy sebagai pemimpin nombor dua di Pulau Pinang harus lebih sedar dan berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan.
"Tindakan memecat beliau sewajarnya dilakukan pada ketika ini untuk memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin lain yang lebih berkaliber dan layak menjadi orang nombor dua di negeri ini,” katanya.
Absyar berkata dia yakin di bawah kepimpinan perdana menteri tidak akan wujud sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum untuk mendapat tempat dalam mana-mana sektor pekerjaan dalam usaha membawa negara ke arah Malaysia Madani.
"Sehubungan dengan itu saya menyeru agar semua bertenang dan tidak melayani publisiti murahan yang keluar dari individu seperti ini.
"Harus saya ingatkan bahawa tunjang terhadap kekuatan dan kesepaduan yang dizahirkan oleh rakyat Malaysia pada hari ini wujud hasil daripada perpaduan rakyatnya, ia harus kita semarakkan, bukan dipecahkan," katanya.
Semalam, ahli jawatankuasa pusat Amanah, Mohd Sany Hamzan turut menggesa DAP memecat Ramasamy daripada jawatan timbalan menteri II Pulau Pinang.
Sany dalam satu kenyataan berkata DAP sering diletakkan dalam keadaan sukar oleh Ramasamy apabila dia membuat kenyataan seumpama itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.