Showing posts with label guru. Show all posts
Showing posts with label guru. Show all posts

Friday, March 17, 2023

Kertas siasatan kes guru dorong murid peluk Islam masih belum lengkap

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 17, 2023 1:54 PM
Siasatan ke atas kes seorang pelajar didakwa diajak memeluk Islam jika mahu peluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan masih belum selesai meskipun sudat berlarutan lebih sebulan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata Bukit Aman pada 16 Mac lalu mengarahkan supaya siasatan lanjut dilakukan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Ketua Penolong Pengarah D5, Bukit Aman dan telah diterima semula oleh pihak Bahagian Siasatan Daerah Cheras semalam dengan arahan lanjut siasatan.
ACP Zam Halim Jamaluddin
“Kertas siasatan lengkap akan diedarkan semula ke Bukit Aman pada 20 Mac ini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan keluarga bahawa mereka tidak mendapat sebarang maklumat berhubung kes itu.

Awal Februari lalu, satu laporan polis dibuat terhadap seorang guru selepas ibu bapa mendakwa anak mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dipujuk memeluk Islam, dengan alasan ini mampu meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Guru berkenaan juga didakwa telah mencadangkan beberapa nama Islam untuk dipilih oleh remaja berusia 15 tahun itu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Kementerian Pelajaran (KPM) juga dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman.
Arun Dorasamy
Sebelum ini Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy yang mewakili pihak keluarga berkata bahawa pihaknya bersiap sedia membawa isu itu ke mahkamah sekiranya tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.

"Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan dalam kes ini. Pihak penguatkuasa tidak telus. Kami tidak diberitahu sebarang maklumat mengenai kes ini.

"Ibu bapanya berasa bimbang untuk menghantar budak itu semula ke sekolah.

Arun juga berkata pihaknya berasa pelik dengan tindakan polis menghantar kertas siasatan ke Ibu Pejabat Kontigen untuk tindakan selanjutnya.

"Saya rasa kes ini tidak begitu rumit. Ini bukan skandal 1MDB.

"Polis telah datang ke sekolah bagi menjalankan siasatan ke atas beberapa pelajar dan guru. Semua prosedur telah dilakukan dan mengikut laporan media kertas siasatan telah telah diserahkan kepada IPK.

"Saya tidak tahu mengapa mereka perlu mengemukakan kepada IPK. Ia sepatutnya pergi ke pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya. Kelihatan seperti polis sedang menunggu untuk NFA (tiada tindakan lanjutan)," katanya.

Malah, kata Aun, pihak keluarga murid berkenaan memandang serius kelewatan pihak berkuasa bertindak dalam kes ini.

"Ini kes serius, ada pihak menyalahgunakan fasiliti sekolah berdakwah kepada murid bawah umur," katanya.

Pada 23 Feb, Zam Halim memberitahu Malaysiakini bahawa kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Saturday, January 22, 2022

Guru dibenar berpolitik: PM

agendaily.com
22/1/2022

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kerajaan membenarkan guru di bawah Kementerian Pendidikan dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) terlibat dalam politik berkuat kuasa serta-merta, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media di Kota Bharu hari ini, Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet sebagai menghormati prinsip demokrasi kerana sebelum ini golongan berkenaan dilarang berpolitik.

Untuk rekod, semua guru sebelum ini secara rasmi tidak dibenar berpolitik, kecuali beberapa tahun lalu apabila guru siswazah dalam gred tertentu dibenarkan aktif dalam politik. Hakikatnya sejak awal perjuangan kemerdekaan ianya digerakkan oleh kesatuan guru yang menjadi ejen pembangunan.

Namun, kebenaran kepada semua guru untuk aktif dalam politik dilihat bakal memberi kesan, khususnya di sekolah, apabila wujud fahaman berbeza dalam kalangan guru-guru.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menjelaskan kebenaran itu tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan sekiranya ada yang berpolitik sehingga mengabaikan tugas, tindakan boleh diambil terhadap mereka.

Justeru, beliau mengarahkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, untuk mengeluarkan surat pekeliling supaya guru dibenar berpolitik, lapor Bernama.

“Saya telah pun membawa perkara ini ke Kabinet dan memutuskan dalam menghormati prinsip demokrasi iaitu kebenaran rakyat untuk berpolitik maka kami telah membuat keputusan membenarkan guru-guru berpolitik.

“Kakitangan Kemas, dahulu dibenarkan berpolitik seperti rakyat biasa namun ketika era Pakatan Harapan (PH) mereka tidak dibenarkan berbuat demikian justeru, saya ingin umumkan bahawa petugas Kemas juga bebas dan dibenarkan berpolitik.

“Jika pekeliling belum dikeluarkan, saya harap Kementerian Pendidikan segera mengeluarkan pekeliling tersebut agar tiada lagi tekanan dilakukan terhadap guru-guru ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri memaklumkan sebelum ini ada pekeliling menyekat guru-guru daripada berpolitik sehingga ramai dalam kalangan pendidik berkenaan diberi amaran untuk diambil tindakan.

Bagaimanpun jelas Ismail Sabri, guru-guru dan petugas Kemas berkenaan masih tertakluk terhadap peraturan jabatan masing-masing.

“Seperti guru misalnya jika berpolitik hingga meninggalkan tugas mereka boleh diambil tindakan disiplin dan sebagainya, itu terserah pada jabatan (membuat penilaian),” katanya.

Sunday, September 19, 2021

Page saran KPM tawar VSS kepada guru tolak vaksin

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Sep 19, 2021 12:25 PM

Ketika negara berdepan krisis dan situasi yang belum pernah berlaku, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa Bagi Pendidikan (Page), kerajaan wajar mengambil keputusan sukar semasa menguruskan guru yang menolak vaksin Covid-19 tanpa alasan munasabah.

Justeru kata Pengerusi Page, Noor Azimah Abdul Rahim, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar memberi pertimbangan untuk menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) untuk guru-guru terbabit.

"Keputusan yang paling sukar perlu diambil dalam situasi pandemik yang sebelum ini belum pernah berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu di pihak guru pula kata Noor Azimah jika mereka memang sengaja enggan disuntik vaksin dan bukannya akibat kekangan kesihatan, berundur secara sukarela adalah langkah yang terbaik.

Atau, katanya, KPM perlu menasihati guru berkenaan agar bersara secara terhormat.

Noor Azimah berkata demikian semasa mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin, mengenai segelintir guru yang enggan divaksin dan bakal berdepan tindakan tatatertib.

Mohd Radzi baru-baru ini dilaporkan berkata lebih 2,500 guru memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.

Ekoran daripada itu, Mohd Radzi berkata guru-guru yang enggan mengambil suntikan vaksin akan diasingkan daripada sesi pembelajaran di sekolah selain bakal diambil tindakan.

Bagaimanapun, Mohd Radzi berkata pihaknya bersama dengan Jabatan Perkhidmatan Awam sedang meneliti tindakan yang boleh diambil terhadap guru-guru tersebut.

Mengulas lanjut, Noor Azimah berkata guru-guru terbabit sebenarnya tidak perlu bimbang dengan pilihan yang ada kerana selain sekolah, masih ada sumber mata pencarian lain yang menguntungkan buat mereka.

"Ada mata pencarian lain yang menguntungkan (lucrative), seperti memberi tuisyen secara dalam talian yang boleh diteroka," katanya.

Sunday, November 8, 2020

Semua sekolah di bawah KPM ditutup bermula esok hingga akhir tahun, kata menteri

Faiz Zainudin
-November 8, 2020 12:14 PM
Menteri Kanan (Pendidikan) Radzi Jidin berkata, sepanjang tempoh penutupan sekolah, pengajaran dan pembelajaran akan diteruskan mengikut kesesuaian guru dan murid.

PETALING JAYA: Semua sekolah dibawah Kementerian Pendidikan (KPM) ditutup bermula esok hingga hari terakhir persekolahan bagi tahun ini.

Menteri Kanan (Pendidikan), Radzi Jidin berkata, bagi sekolah di negeri Kumpulan A, sesi persekolahan berakhir pada 17 Disember, manakala bagi Kumpulan B pada 18 Disember.

Katanya, sekolah di negeri Pahang, Kelantan, Perlis dan Sarawak yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) juga ditutup hingga akhir tahun.

“Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pengajaran dan pembelajaran akan tetap diteruskan secara ‘home-based learning’ mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Pentadbir sekolah perlu memastikan guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Sepanjang tempoh ini juga, guru perlu kekal berada di stesen tempat bertugas masing-masing,” katanya pada sidang media hari ini.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Sunday, June 30, 2019

Netizen kecam PAN bawa borang parti ke sekolah

By Manzaidi Mohd Amin
- 29 Jun 2019

Tarmizi melihat seorang guru mengisi borang keahlian PAN dalam bilik guru sebuah sekolah di Perak Tengah.

KUALA LUMPUR –   Netizen mempersoalkan tindakan seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) Biro Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN) membawa borang parti itu ke sebuah sekolah untuk diisi keahliannya oleh guru.

Tindakan itu yang dikatakan agak keterlaluan dan tidak beretika apabila parti politik dibawa masuk ke sekolah, boleh menjejaskan nama baik kerjaya guru.

Beberapa keping gambar menunjukkan AJK berkenaan, Tarmizi Mohd Jam menyaksikan seorang guru mengisi borang keahlian PAN yang menimbulkan rasa kurang senang banyak pihak.

Seorang warga net, Khairul Ryzel mempersoalkan, bolehkah seorang penjawat awam dipercayai guru sekolah mengisi atau menerima borang keahlian PAN.

Katanya, berdasarkan gambar itu, guru berkenaan mengisi borang keahliannya di bilik guru sebuah sekolah di daerah Perak Tengah.

“Nampak sangat PAN semakin terdesak apabila menggunakan guru untuk menambah jumlah keahlian parti itu, yang kini semakin merosot akibat ketidakcerdikan pemimpin Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Seorang lagi netizen, Mohamad Alias memberitahu, guru Gred 41 hingga 48 dibenarkan berkecimpung dalam politik berdasarkan panduan yang dikeluarkan dalam Pekeliling Bilangan 2010.

Kata beliau, guru berkenaan boleh jadi ahli sahaja bukan aktif sebagai ketua atau sebagainya, tetapi itu bukan yang dibincangkan, isunya ialah bawa borang parti politik dalam pejabat.

“Guru sekolah nak masuk jadi ahli parti politik itu hak kebebasan demokrasi. Nak masuk jadi ahli kena pergi pejabat parti di cawangan, bahagian atau negeri, bukan dalam sekolah.

“Isi borang keahlian di rumah atau di kedai makan pun boleh, asalkan bukan di dalam kawasan sekolah.

“Anda guru, sepatutnya tumpu pada pendidikan, bukan berpolitik dalam kawasan sekolah,” ujarnya.

Awang Mohamad pula berkata, sebelum ini kalau UMNO masuk berkempen di sekolah, begitu lantang PH membantah dan kritik, tetapi sekarang apabila berkuasa, mereka telah melanggar larangan itu.

– MalaysiaGazette

Monday, January 14, 2019

Sistem pengecaman wajah akan digunakan di sekolah

Anne Muhammad 
Diterbitkan Hari ini 2:28 tengahari


Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengumumkan lima inisiatif bagi memansuhkan tugas perkeranian guru bermula bulan ini.

Menurutnya langkah tersebut merupakan tindakan permulaan yang bersifat intervensi jangka pendek itu dirangka antara Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan kementeriannya sejak Julai lalu.

Katanya, ia merangkumi usaha memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi yang membabitkan tiga intervensi demi merungkai kemelut pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

“Inisiatif kedua ialah pengurusan data dan sistem dalam talian, merangkumi pelaksanaan dua intervensi yang menyaksikan semua pengumpulan data diambil daripada sumber maklumat sedia ada dalam sistem Kementerian Pendidikan.

“Sistem kehadiran murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya sebagai sumber rekod, justeru guru tidak lagi perlu mengisi buku jadual kedatangan murid.

“Teknologi menyaksikan penggunaan sistem ‘pengecaman wajah’ yang lazimnya wujud dalam telefon pintar, justeru kita sedang meneliti kemungkinan menggunakan pendekatan ini, namun bukan dalam jangka pendek.

“Seiring pemansuhan peperiksaan Tahap 1 (murid tahun satu, dua dan tiga), sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan literasi dan numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika menyampaikan amanat pendidikan, bertemakan ‘Pendidikan Untuk Semua’, di Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini.

Maszlee berkata, selain itu inisiatif lain juga merangkumi penyeragaman borang dan proses pemantauan menerusi dua intervensi bagi memastikan guru tidak lagi dibebani tugas perkeranian.

“Inisiatif terakhir ialah penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, menerusi dua intervensi untuk memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

“Lima inisiatif ini hanya langkah pertama, manakala percaturan fasa kedua membabitkan penyediaan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran terbaik.

“Kementerian dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan warga pendidik di Insititut Pendidikan Guru (IPG) supaya ia diperkasakan, bukan hanya sekadar menukar nama maktab saja,” katanya.

Tuesday, January 9, 2018

Orang ramai berkumpul sokong Cikgu Idzahril

Orang ramai berkumpul sokong Cikgu Idzahril
Selepas isu melibatkan seorang guru di Nilai Azizan Manap, satu lagi kes hampir sama mendapat perhatian awam di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Hari ini, pelbagai lapisan masyarakat berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang, sebagai tanda setiakawan kepada guru bahasa Inggeris Noor Idzahril Ahmad, lapor Sinar Harian.

Cikgu Idzahril, 52, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada muridnya yang berusia sembilan tahun pada 2 Ogos 2017.

Proses mahkamah kini di peringkat pendengaran kes.

Guru sekolah kebangsaan di Nibong Tebal itu berdepan hukuman penjara satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kisah Idzahril mendapat perhatian pengguna maya selepas ia tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Sementara itu, akhbar itu melaporkan orang ramai berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret Jawi seawal jam 8 pagi bagi menyatakan sokongan moral kepada Idzahril.

Berdasarkan gambar, mereka memaparkan kain rentang bertulis “Doa untuk Cikgu Idzahril”.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa dan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat Datuk Mohamed Sabri Mohd Arshad turut hadir.

Cikgu Idzahril hadir ditemani tiga peguam. Pengamal media dilapor tidak dibenarkan memasuki kamar yang dikawal polis.

Mahkamah Majistret Seremban bulan lepas telah melepaskan tanpa membebaskan Azizan dari pertuduhan mencederakan muridnya setelah menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik semula pertuduhan.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/408042#yIecOuiXkfsAWLkj.99

Monday, December 18, 2017

Hak guru berhimpun sokong 'Cikgu Azizan', kata kementerian

Berita Terkini

Kementerian Pendidikan tidak akan menghalang mana-mana guru yang ingin berhimpun dan memberikan sokongan jika ada guru terlibat dalam kes mahkamah.

Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu seorang guru yang dikenali sebagai 'Cikgu Azizan' yang dihadapkan ke mahkamah esok atas dakwaan menyerang pelajar.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dalam kenyataan 15 Disember lalu menggesa guru di seluruh negara memberikan sokongan kepada 'Cikgu Azizan' dengan hadir ke perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, pada jam 8.30 pagi, 19 Disember ini.

Menurut laporan Bernama hari ini, Mahdzir berkata isu kehadiran di mahkamah adalah hak peribadi termasuk bagi guru.
"Saya tiada halangan jika guru ingin berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada rakan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah.

"Kalau jadi pada rakan kita, kita juga akan hadir, begitu juga dengan warga guru," kata Mahdzir yang turut mengongsikan kenyataannya itu di Facebook.

Guru tersebut didakwa menghukum pelajar atas kesalahan disiplin seperti menghidu gam, terlibat dalam pergaduhan dan membuli pelajar lain.

Dia didakwa bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan berhadapan hukuman setahun penjara atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali, jika didapati bersalah.

Isu tersebut menjadi tular dengan ramai pengguna laman sosial menggunakan #PrayForCikguAzizan bagi menyatakan sokongan mereka terhadapnya.

Read more at https://www.malaysiakini.com/news/405846#FVPWP6yrQMEKJf16.99

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-