Monday, May 29, 2023

Umno hilang 50% undi Melayu pada PRN, ramal KJ

freemalaysiatoday.com
29 May 2023, 6:49pm

Khairy Jamaluddin berkata sekurang-kurangnya separuh daripada mereka yang selama ini menyokong Umno akan beralih memberi undi kepada PN.
Khairy Jamaluddin berkata PH dinilai sebagai lebih berguna kepada BN berbanding BN kepada PH.

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin meramalkan Umno akan hilang separuh sokongan undi Melayu pada PRN akan datang jika tidak menghapuskan persepsi buruk terhadap DAP yang “didoktrin” sekian lama.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Ahmad Maslan mengenai “undi DAP” adalah sensitif sehingga mencetuskan kemarahan dan penolakan dalam kalangan ahli parti itu.

“Pandangan dan perasaan orang Umno bukan terhadap satu kaum, soal Melayu dan Cina, tetapi terhadap parti DAP itu sendiri, yang selamanya ‘didoktrin’ dalam Umno sebagai musuh atas sebab-sebab tertentu.

“Kalau benda ini tidak dibendung, ramai penyokong Umno akan memberi undi kepada Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti. Sekurang-kurangnya 50% daripada mereka yang selama ini menyokong Umno,” katanya dalam episod terbaru podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.

Terdahulu, Ahmad meminta ahli Umno menganggap calon DAP pada PRN di enam negeri sebagai mewakili kerajaan perpaduan, bukan atas nama parti sahaja.

Susulan itu, Ahli MKT Umno, Isham Jalil memberi amaran sokongan kepada Umno akan terhakis jika pemimpinnya terus mendesak ahli mengundi calon DAP pada PRN.

Bagaimanapun, MKT Umno pada 27 Mei lalu menerima penjelasan Ahmad berhubung kenyataannya menggesa ahli parti itu mengundi DAP.

Ahmad memberi penjelasan dia tidak pernah menyebut “DAP”, sebaliknya meminta akar umbi menyokong calon kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Khairy berkata Pakatan Harapan (PH) dinilai sebagai lebih berguna kepada Barisan Nasional (BN) berbanding BN kepada PH.

“Maksudnya pengundi PH yang tidak akan sokong calon BN jumlahnya lebih kecil daripada pengundi Umno yang tidak akan sokong calon daripada PH.

“Sebab PH tak akan buang undi kepada PN, kebanyakan penyokong mereka sudah tentu bukan Melayu dia tidak akan beri undi kepada PAS, Bersatu. Mereka akan campak kepada Umno atau dia tak akan keluar mengundi,” katanya.

Namun, katanya penyokong Umno ada kemungkinan memberi undi kepada PN daripada PH.

Shahril yang senada dengan Khairy berkata angka peralihan undi itu akan naik lagi apabila wujudnya ketidaksefahaman dalam kalangan Umno.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-