Tuesday, July 18, 2023

Banyak pengundi Cina sokong DAP, Mat Maslan jawab sokongan UMNO kepada DAP

agendaily.com
18/07/2023
Datuk Seri Ahmad Maslan

Datuk Seri Ahmad Maslan mempertahankan kerjasama antara UMNO dengan DAP dalam kerajaan campuran ketika ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata DAP memenangi banyak kerusi berbanding MCA dan Gerakan, ia bermakna majoriti pengundi kaum Cina menyokong parti tersebut yang sebelum ini sering diserang UMNO dengan pelbagai tuduhan kononnnya sebuah parti perkauman dan Chauvinis.

Ahmad atau dikenali Mat Maslan mengingatkan ahli parti bahawa DAP telah berkali-kali berikrar untuk menyokong kedudukan orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.

“MCA, DAP dan Gerakan, mereka semua parti bangsa Cina. Gerakan tak menang satu kerusi pun dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) untuk Parlimen, MCA menang dua kerusi, DAP dapat 40 kerusi.

“Sejak 2008, DAP menjadi pilihan masyarakat Cina. Berapa lama kita mahu menutup fikiran kita tentang mereka?

“Pada 2012, DAP menandatangani Deklarasi Shah Alam untuk menyokong Islam, Melayu, Raja dan bahasa.

“Mereka melakukan perkara yang sama semasa perayaan 50 tahun mereka dan yang terbaharu apabila mereka menandatangani perjanjian semasa Konvensyen Kerajaan Perpaduan,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Mat Maslan berkata demikian semasa menjadi panel sesi ‘Townhall bertajuk Apakah Peranan UMNO Dalam Kerajaan’ semalam.

UMNO dan DAP bekerjasama selepas PRU-15 untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Gabungan itu kini perlu bersaing sebagai sekutu buat kali pertama dalam pilihan raya di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-