Saturday, July 8, 2023

MCA, MIC tak tanding PRN, ini mungkin penamat BN, kata Shahril Hamdan

satuberita.my
By Admin
-July 8, 2023
Pemimpin tertinggi BN meraikan kemenangan parti tu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila pada 12 Mac 2022 (gambar fail)

KEPUTUSAN MCA dan MIC tidak bertanding pilihan raya negeri (PRN) bulan depan mungkin menjadi titik permulaan kepada penamat ‘hayat’ Barisan Nasional (BN), kata bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

Menurutnya, pendirian dua parti itu berkemungkinan diambil kerana merasakan dipinggirkan UMNO selepas BN menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan, termasuk kerjasama bersama bekas musuhnya Pakatan Harapan (PH).

“Malah UMNO dilihat lebih gemar bersama DAP berdasarkan kepada perbincangan yang kerap di antara dua parti itu berbanding dengan MCA dan MIC,” katanya.

Menjawab soalan Khairy Jamaluddin dalam Podcast Keluar Sekejap sama ada perkembangan baharu BN berkenaan boleh menjadi penamat buat komponen berusia 50 tahun itu, Shahril berpendapat, ‘kemungkinan’ itu ada.

“Kalau saya hendak buat spekulasi, mereka akan menolak MCA dan MIC sampai satu keadaan tiada pilihan buat keduanya seperti MUDA (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) ditolak PH (Pakatan Harapan).

“MUDA sendiri keluar dan nampak tamak dan gelojoh, kalau MCA dan MIC keluar itu naratif pertama akan dimainkan UMNO,” katanya, memetik laporan FMT.

Rabu lalu MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada 12 Ogos ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menafikan dua parti komponen itu memboikotnya, sebaliknya pemimpin MCA dan MIC menyuarakan komitmen membantu jentera gabungan tersebut pada PRN.

BN ditubuhkan pada 1973 untuk menggantikan Perikatan dengan parti komponen utamanya terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.

Bagaimanapun sejak pilihan raya umum 2008, sokongan terhadap parti itu semakin berkurangan terutama segmen pengundi bukan Melayu dan mencatat keputusan terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila hanya menang 30 kerusi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-