Friday, July 7, 2023

Tepis keyakinan Anwar, Bersatu jangka pengundi PH-BN undi PN

agendaily.com
07/07/2023
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Bersatu yakin pengundi Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Malah Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjangkakan pengundi PH-BN sendiri akan bertukar fikiran dengan mengundi PN selepas melihat kegagalan kerajaan campuran hari ini.

Termasuklah dalam mentadbir negara, prestasi yang buruk serta campur tangan menteri dalam hal tidak berkaitan.

“Saya tidak nampak perlunya pengundi PN sebelum ini untuk beralih arah kepada PH. Tidak mungkin berlaku tetapi orang PH-BN dijangka bertukar pendirian atas faktor kegagalan tersebut, orang UMNO tidak akan mengundi kerajaan perpaduan.

“Baru-baru ini saya ada turun Negeri Sembilan, saya dengar banyak keluhan daripada akar umbi. Mereka jelas kecewa dengan apa yang berlaku…PH dan BN sudah berkahwin,” katanya lapor Sinar Harian.

Selasa lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin pakatan politiknya akan merampas dua negeri pembangkang pada PRN tidak lama lagi namun beliau enggan mendedahkan dua negeri tersebut.

Malah Pengerusi PH itu berkata, berdasarkan kajian dan maklumat diperoleh, tiga negeri dipimpin PH-BN ~ Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang kekal ditangan mereka.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, rakyat mula hilang kepercayaan terhadap kerajaan campuran kerana kecamukan yang berlaku.

“Bagaimanapun, pucuk pimpinan atas bersungguh-sungguh kata okay tetapi sebenarnya masing-masing main drama, tunjuk wayang walhal ia tidak dirasai oleh orang bawah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-