Saturday, July 8, 2023

Anwar ‘bohong’ tentang pelupusan hutang peneroka Felda, kata Muhyiddin

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
08 Jul 2023, 2:30pm

Sebelum ini perdana menteri dilaporkan berkata pentadbiran Muhyiddin Yassin gagal melaksanakan inisiatif melupuskan hutang peneroka Felda.
Muhyiddin Yassin menegaskan ‘dengan pembohongan yang terbaru ini’ semakin jelas Anwar Ibrahim tidak layak kekal menjadi perdana menteri.

PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong mengenai usahanya melupuskan hutang peneroka Felda.

Pada majlis sambutan Hari Peneroka Felda di Serdang semalam, Anwar berkata, pentadbiran Muhyiddin sebelum ini mengumumkan akan melupuskan RM8.3 bilion pinjaman yang diberikan kepada peneroka Felda, tetapi langkah itu tidak pernah dilaksanakan.

Di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata: “Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar.

“Pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri. Hal ini disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di Parlimen pada 23 Feb 2023, (yang menyatakan) pelupusan hutang peneroka Felda telah dilaksanakan pada 2021.

“Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.”

Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 23 Feb, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah menghentikan inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin untuk melupuskan sebahagian hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Katanya, kerajaan tidak akan dapat meneruskan inisiatif itu kerana ia membawa “impak besar” terhadap kewangan Felda.

Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaannya bersetuju melupuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Beliau dilaporkan berkata, inisiatif pelupusan hutang itu akan mengurangkan beban peneroka sebanyak kira-kira 80%, dan ia diperlukan agar Felda dapat membina dirinya semula dan membolehkannya setanding dengan ladang antarabangsa lain.

Muhyiddin hari ini berkata, bekas pengerusi Felda Idris Jusoh juga mengeluarkan kenyataan pada 24 Feb yang mengesahkan bahawa RM8.3 bilion daripada jumlah hutang peneroka Felda sebanyak RM12.1 bilion telah dilupuskan pada 2021.

Langkah ini memberikan impak yang besar terhadap aliran tunai Felda, katanya.

“Saya bukan jenis manusia yang suka berbohong dan tidak mengotakan janji. Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar,” katanya.

“Dengan pembohongan yang terbaru ini, semakin jelas Anwar bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi perdana menteri.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-