Saturday, July 1, 2023

PRN bakal tentukan parti mana jadi pilihan Melayu di Semenanjung

ismaweb.net
danial haziq

PN menang enam kerusi Parlimen di Selangor pada PRU15, PH perlu kerja keras pertahan negeri

BANGI, 11 Zulhijjah 1444H, Jumaat – Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sangat penting kerana bakal menentukan parti pilihan ramai masyarakat Melayu di Semenanjung.

Pensyarah Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia UPM, Prof Dr Datuk Jayum Jawan dan Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, PRN akan menentukan pola sokongan pengundi Melayu Semenanjung sama ada kepada PAS, UMNO, Bersatu atau PKR.

Gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan bakal mengukuhkan kedudukan dan menyukarkan pihak lawan, kata mereka menulis di Berita Harian.

“Bagi PKR dan Pulau Pinang, PRN penting untuk menentukan pola sokongan Melayu di sana iaitu negeri yang sering dikaitkan dengan kubu kuat PKR dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sementara itu, kerajaan Selangor di bawah gabungan PH-BN mempunyai majoriti kukuh selepas PH menguasai 51 kerusi DUN.

“Apabila BN bersama PH membentuk Kerajaan Perpaduan pada peringkat Persekutuan, maka kuasa majoriti di Selangor melonjak kepada 55 kerusi selepas dicampur empat kerusi DUN milik BN.

“Ini menjadikan kedudukan PH agak stabil di Selangor untuk kekal memerintah,” katanya.

Namun, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) peringkat Parlimen menyaksikan PN memenangi enam kerusi di Selangor, sekali gus memberi impak kepada keputusan PRN kali ini.

“Justeru, PH Selangor perlu bekerja keras untuk mempertahan negeri itu daripada jatuh kepada pihak lawan, terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Mengulas lanjut, Prof Ayum dan Dr Ayuni menyatakan bahawa cabaran terhadap semua parti agak berbeza di negeri Kedah, Kelantan, dan Terengganu.

Mereka berkata, PAS muncul sebagai kuasa unggul di Kelantan apabila menang 37 daripada 45 kerusi sekaligus memperoleh kuasa majoriti dua pertiga tanpa sumbangan daripada sekutu lain.

“Berdasarkan prestasi lalu, boleh disimpulkan Kelantan kekal di tangan PAS pada PRN akan datang.

“Gelombang hijau di sana dijangka tidak berubah kerana Kelantan kubu kuat parti berkenaan sejak 1960-an.

“Di Terengganu PAS memenangi 22 kerusi, manakala BN/UMNO adalah saingan utama PAS selepas memenangi 10 kerusi pada PRU14.

“Kedudukan PN di Terengganu dengan kemenangan besar keputusan PRU15 menyaksikan pakatan itu menyapu bersih lapan kerusi Parlimen, sekali gus memberi petunjuk sama kepada keputusan PRN nanti,” katanya.

Sementara kedudukan PN di Kedah agak stabil dan gelombang kemenangan besar keputusan PRU15 menyaksikan PN menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi Parlimen dipertandingkan.

“Ini memberikan kelebihan kepada PN di negeri jelapang padi itu,” katanya.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-