Wednesday, July 12, 2023

Sanusi terbuka jalin semula hubungan dengan UMNO

ismaweb.net
Ainul Illia

Jangan kerap serang kerana esok mungkin berkawan lagi

KUALA LUMPUR, 23 Zulhijjah 1444H, Rabu – Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu UMNO bahawa beliau terbuka untuk menjalinkan semula persahabatan antara kedua-dua parti.

Menteri Besar Kedah itu, yang menjadi tetamu dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan, berkata, beliau masih terbuka dengan idea untuk menjalinkan semula persahabatan dengan rakan sekutu itu.

“Saya masih ingatkan rakan-rakan yang menjadi pemimpin UMNO supaya jangan terlalu menyerang (kami) kerana esok mungkin berkawan lagi. Saya masih terbuka untuk itu.

“Muafakat Nasional boleh dihidupkan semula,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas keruntuhan Muafakat Nasional – kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Muafakat rebah kerana dia. Dia (hancurkan) supaya dia boleh bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya merujuk kepada kerjasama UMNO dengan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak bermusuh dengan ‘rakan’ UMNO yang pernah bersama PAS di Muafakat Nasional, sambil menambah bahawa mereka hanya mengikut keputusan ‘bos’ mereka.

Beliau menegaskan, asas Muafakat Nasional adalah perpaduan ummah dan bukannya PAS dan UMNO.

“Sesiapa yang mahu bersatu dengan ummah dialu-alukan, termasuk Bersatu,” katanya.

Selepas kekalahan bersejarah dalam Pilihan Raya Umum 2018, UMNO dan PAS menandatangani piagam kerjasama yang dipanggil Muafakat Nasional untuk memerangi musuh bersama mereka, Pakatan Harapan.

Ia ditandatangani dengan penuh semangat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan rakan sejawatannya dari UMNO, Ahmad Zahid pada perhimpunan di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), UMNO meletakkan tiga syarat kepada PAS jika mahu bekerjasama dengan mereka untuk pilihan raya negara.

Ini termasuk PAS meninggalkan Perikatan Nasional dan memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu

 Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-