Sunday, August 13, 2023

Kemenangan 146 kerusi DUN bukti sokongan padu pengundi Melayu pada PN

hmetro.com.my
Muhamaad Razis Ismail dan Muhaamad Hafis Nawawi
am@hmetro.com
MUHYIDDIN dan ketua Parti Komponen PN serta calon ketika sidang media selepas keputusan rasmi PRN. FOTO Aswadi Alias

Shah Alam: Kemenangan sebanyak 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi Melayu kepada Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasssin berkata, PN mengucapkan tahniah kepada 146 calon yang memenangi pilihan raya ini di mana ia satu pencapaian yang memberangsangkan kepada PN yang bertanding sebanyak 245 kerusi.

Menurutnya, ini bermakna PN memenangi sebanyak 60 peratus kerusi yang ditandingi.

"Kejayaan PN mempertahankan Kelantan, Kedah dan Terengganu dengan suatu kemenangan yang besar membuktikan sokongan padu pengundi-pengundi Melayu kepada PN.

"Pada masa yang sama, Perikatan Nasional juga membuat major inroads di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini.

Muhyiddin berkata, kesemua 22 kerusi ini ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa PN mendapat sokongan besar pengundi pengundi Melayu di negeri Selangor.

"Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna Perikatan Nasional berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

"Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, Perikatan Nasional akan berjaya merampas negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, di Pulau Pinang, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu membawa kejayaan besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

"Ini adalah satu tamparan hebat kepada Anwar Ibrahim apabila semua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Perikatan Nasional.

"Kejayaan besar Perikatan Nasional meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini," katanya.

Katanya, Umno menjadi tidak relevan lagi dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

"Ini bermakna Umno kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi terbabit," katanya.

Disiarkan pada: Ogos 13, 2023

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-