Sunday, August 13, 2023

Zahid perlu bertanggungjawab terhadap prestasi buruk Umno, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Yasmin Abdul Latif 
13 Aug 2023

Perpecahan undi Melayu dan sambutan hambar terhadap kerjasama dengan Pakatan Harapan juga faktor kekalahan besar Umno.
Zahid Hamidi mengukuhkan cengkaman dalam Umno apabila jawatan presiden tidak dibenar dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab terhadap prestasi memalukan parti itu yang hanya menang 20 daripada 108 kerusi ditandingi pada PRN semalam, kata penganalisis politik Lau Zhe Wei.

Lau daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, bebanan dibawa Zahid yang berdepan pertuduhan rasuah di mahkamah memburukkan lagi kritikan terhadap gaya kepimpinannya sejak menerajui parti Melayu itu pada 2018.

“Nak katakan salahkan Zahid kerana ada skandal itu mungkin boleh menjadi alasan mudah, tetapi sebetulnya punca kalah dari segi kepimpinannya…beliau sebagai presiden kena bertanggungjawab,” katanya kepada FMT.

Pada PRN enam negeri, BN hanya menang dua kerusi di Selangor (Sungai Air Tawar dan Dusun Tua); Kedah (Bayu); Kelantan (Galas), dan Pulau Pinang (Bertam dan Sungai Acheh).

Di Terengganu semua calonnya tewas termasuk dua bekas menteri besar Ahmad Said dan Ahmad Razif Abdul Rahman.

Namun, BN Negeri Sembilan mencatat keputusan baik apabila menang 14 daripada 17 kerusi ditandingi, menyumbang kemenangan majoriti dua pertiga bersama Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU15, Umno bawah pimpinan Zahid juga kalah teruk apabila hanya mampu menang 26 kerusi Parlimen.

Zahid menangkis gesaan agar beliau berundur selepas PRU15 dan terus mengukuhkan cengkamannya dalam Umno apabila jawatan presiden tidak dibenar dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini.

Beliau turut menyingkirkan pengkritiknya dalam parti, termasuk bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan menggantung keahlian bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, Lau berkata faktor lain juga harus diambil kira terhadap kekalahan termasuk perpecahan undi Melayu, kebangkitan gelombang hijau dan sambutan hambar akar umbi terhadap kerjasama dengan PH.

“Pengundi Melayu terutama ahli Umno tidak akan semua pergi kepada PH, ada juga akan pergi kepada PN, jadi pecah undi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis daripada Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis, berkata Umno menjadi “mangsa” kepada kebangkitan orang Melayu yang melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai pilihan baharu buat mereka.

“Kesan kali ini (PRN) lebih tertumpu kepada pengundi Melayu, Umno akan menjadi tumpuan bagaimana parti itu akan memberi reaksi terhadap prestasinya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-