Sunday, August 13, 2023

‘Isu Zahid dan pemenjaraan Najib juga punca Umno kalah’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 13, 2023 
Selain kerjasama Umno dengan DAP melalui Pakatan Harapan (PH), isu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta kedudukan Najib Razak yang kini meringkuk di penjara memberi kesan kepada BN pada enam pilihan raya negeri (PRN) yang berlangsung semalam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil, berkata rekod Umno menunjukkan parti itu kalah teruk dalam PRN enam negeri apabila menang 19 daripada 108 kerusi ditandingi.
“Kita (hanya) menang 1 (kerusi) di Kelantan, 2 di Pulau Pinang, 2 di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.

"Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak Umno akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang PRU-16,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahli MKT itu berkata, dia telah meluahkan sebelum ini bahawa kerjasama dengan DAP adalah amat sensitif kepada akar umbi Umno.

“Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN.

“Ini yang telah berlaku di enam negeri ini," katanya.

Selain isu kerjasama dengan DAP, Isham berkata terdapat dua perkara yang menyebabkan kekalahan teruk parti itu pada PRN semalam iaitu berkenaan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, dan berkaitan pemenjaraan bekas perdana menteri Najib Razak.
"Berkenaan isu presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang presiden, namun saya hormat institusi itu.

“Saya mohon supaya presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.

"Berkenaan Najib, saya telah beberapa kali berkata bahawa jika Najib ada bersama kita berkempen, kita mempunyai peluang yang lebih cerah. Namun, Najib masih di dalam penjara sudah setahun kini, dan walaupun kita dalam kerajaan, belum lagi nampak keadilan untuk Najib," katanya.
Menurutnya, Najib kerap berkata kepadanya bahawa dia bukan mahu kesnya digugurkan, tetapi mahu mendapat perbicaraan yang adil dan ia masih belum berlaku.

"Saya telah cadang supaya kerajaan membenarkan tahanan di rumah untuk Najib sementara dia menjalani proses pengampunan atau perbicaraan semula atau sebagainya.

"Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal.

“Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan Umno akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun," tambahnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-