Tuesday, August 29, 2023

Tak ada logo dacing, Umno giatkan kempen penerangan

malaysiakini.com
Shakira Buang
Diterbitkan: Aug 29, 2023 9:04 AM
Umno-BN sedang mempergiatkan kempen penerangan kepada ahli parti itu untuk memberikan undi mereka kepada calon PH di kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai, pada 9 September ini.

Berucap di ceramah kelompok DUN Simpang Jeram, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan berkata penerangan lanjut itu perlu kerana dalam kertas undi kali ini tidak akan ada logo dacing kerana BN akan diwakili oleh calon dari parti kerajaan perpaduan iaitu Amanah.
“Ini adalah ceramah kelompok keempat saya, jadi kalau ada yang kata Umno tak sokong calon PH Nazri tak betul kerana kita sedang berusaha bersungguh-sungguh memujuk ahli Umno menyokong beliau (Nazri).

“Kita juga akan meneruskan lagi usaha-usaha (penerangan ) ini sebab di dalam kertas undi tak ada logo dacing,” katanya Taman Sri Kasih, di Muar, malam tadi.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berkata pihaknya menerusi Jalinan Rakyat Wanita akan memberi tunjuk ajar khususnya pengundi dan ahli Umno di kalangan warga emas untuk memilih calon yang mewakili BN.

“Jadi antara perkara yang nak kena buat ialah Jalinan Rakyat (JR) Wanita kena mengajar terutama mereka yang sudah berumur ini apabila melihat kertas undi tidak ada lambang dacing.

“Jadi, mereka ada tiga pilihan di situ. Kita ada calon Bebas dan calon kita nombor dua, kemungkinan kesilapan berlaku, kemungkinan undi rosak dan sebagainya. Saya kira perkara teknikal begitu perlu dibuat dikalangan bukan hanya penyokong Umno tetapi juga pengundi Melayu secara umumnya,” katanya.
Jelas Ahmad, isu logo mungkin tidak menjadi masalah di kalangan penyokong dan pengundi PH namun ia merupakan cabaran kepada Umno-BN kerana ini merupakan kali pertama mereka akan mengundi calon yang tidak menggunakan logo parti itu.

“Bagi masyarakat Cina mereka dah biasa dengan PH dan itu tak ada hal untuk mereka. Tapi kami ini kali pertama, ini kali pertama untuk pengundi di negeri Johor.

“Dalam enam PRN baru-baru ini sudah berlaku (ahli Umno undi calon PH) tetapi untuk PRN di Johor ini kali pertama dan saya harap usaha penjelasan itu diteruskan.

“Kita ada beberapa hari lagi dan kita baru selesai (berkempen) tiga hari. Bererti kita ada sebelas hari lagi untuk membuat penjelasan,” katanya.

Bagi pengundi muda pula, Ahmad berkata jentera parti kerajaan perpaduan sedang menggunakan segala platform media sosial sedia ada bagi mendekati mereka.

“Pengundi muda ini mereka tengok TikTok dan media sosial lain, jadi, saya harap jentera kerajaan perpaduan untuk dua-dua belah menggunakan segala media sosial dengan aktif supaya dapat mencapai imaginasi dan menangkap imaginasi pengundi muda.
“Itu penting. Menangkap imaginasi pengundi muda itu amat penting. Jadi saya harap usaha-usaha untuk menarik pengundi muda melalui media sosial diteruskan dengan gigih oleh jentera perpaduan,” katanya.

Tegas Ahmad, semua usaha itu penting bagi memastikan DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai kekal ditadbir pemimpin dari parti kerajaan.

“Yang perlu difahamkan kepada pengundi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai terutama orang Melayu dikalangan ahli Umno ialah bahawa jika kita silap memilih (calon) kawasan kita jadi (kawasan parti) pembangkang.

“Kerajaan untuk negeri Johor telah selesai. Kerajaan untuk pusat pun telah selesai. Jadi kalau kita menyokong pembangkang apa faedahnya?” soal Ahmad.
Katanya, jika DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai tidak diwakili oleh wakil dari kerajaan ia akan menyukarkan banyak perkara.

“Ia akan menyukarkan urusan lima tahun daripada sekarang. Ini bukan urusan lima hari. Ini urusan kehidupan kita selama lima tahun untuk memastikan perkara-perkara masalah di tempat kita boleh diselesaikan.

“Ia jauh lebih mudah jika penyelesaiannya dibuat oleh wakil rakyat kerajaan kerana wakil rakyat kerajaan ini akan berada dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah sebagai contoh, yang dipengerusikan oleh DO.

“Wakil rakyat pembangkang tak ada dalam jawatankuasa ini. Itu sebagai contoh penting dan wakil rakyat Parlimen tentunya lebih mudah untuk mendapatkan bantuan-bantuan daripada semua kementerian dibanding dengan wakil rakyat pembangkang.

“Itu jadi lumrah politik, realiti politik di negara kita,” katanya.

Justeru, Ahmad, menggesa semua ahli Umno menyokong kerajaan hari ini kerana ia adalah titah Yang di-Pertuan Agong.

“Sokonglah calon kerajaan perpaduan kerana kerajaan perpaduan ini adalah titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Kita menjunjung titah itu dan kalau kita ada fobia dengan DAP rujuk kepada deklarasi Shah Alam 2012, deklarasi DAP 2016 yang ada menyebut bahawa DAP mendukung empat perkara utama dalam perlembagaan yang menjadi kekhuatiran kepada orang-orang Melayu.

“Ini perlu dijelaskan dan saya menyatakan fakta bahawa aa DAP adalah satu parti politik yang dinamik, dulu lain kaedahnya sekarang lain kaedahnya.

“Kerana mereka lebih memahami dari segi realiti hidup bermasyarakat dan bernegara dalam negara kita Malaysia,” katanya.
Sementara itu, berucap di pentas yang sama Pengerusi Amanah Negeri Khalid Samad mencadangkan agar slogan “Membangun bersama Islam” yang menjadi dasar pemerintahan dan pentadbiran bagi kerajaan negeri Kelantan ditukar kepada “mundur bersama PAS”.

“Masalah sekarang adalah di Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu. Empat negeri yang antara termiskin, tapi dia ajar rakyat dia, pengikut dia tak kisah, miskin ke mundur ke yang penting kami (parti Islam-PAS) berkuasa.

“Nak air ke Islam. Dia ajar orang mundur pun tak apa asalkan kami yang berkuasa. Ini yang bermasalah. Ramai orang Kelantan, Pantai Timur datang cari kerja di Selangor, Pulau Pinang. Tapi kata Selangor tak bagus dan beritahu pengikut dia supaya tukar kerajaan. Walaupun dah bagus, dah terbaik, dah macam-macam perkhidmatan kerana bukan kami (PAS) yang perintah.

“Cogan kata di Kelantan saya cadangkan tukarlah, mundur bersama PAS. Baru tepat,” katanya.

PRK Simpang Jeram dan Pulai diadakan berikutan kematian menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Salahuddin Ayub pada 23 Julai, sehari selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pertembungan tiga penjuru akan berlangsung bagi kerusi DUN Simpang Jeram, antara calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya, dan calon bebas S Jeganathan.
Sementara itu, di Pulai, Suhaizan Kaiat dari PH akan berdepan calon PN Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-