Thursday, August 10, 2023

ULASAN | Madani Anwar lawan Islam versi Hadi - yang mana akan menang?

malaysiakini.com
Lim Teck Ghee
Diterbitkan: Aug 10, 2023 
ULASAN | Ketika para pengundi dari beberapa negeri pulang mengundi, isu ekonomi terkini dan isu mata pencarian bermain di minda mereka. Namun, yang akan menentukan pilihan undi para pengundi adalah kaum dan agama.

Dua pilihan inilah yang akan menentukan gabungan mana - antara PH atau PH-BN - yang akan muncul sebagai pemenang seperti mana dilihat oleh beberapa penganalisis sebagai langkah penting dan penanda dalam PRU yang akan datang.

Bagi pengundi bukan Melayu, pilihan untuk mengundi boleh dilihat dengan jelas. Gabungan yang didominasi Bersatu and PAS membawa ojektif Melayu dan Islam ke depan. Keutamaan mereka ini, walaupun tidak dinyatakan secara jelas dalam manifesto tidak dinafikan kedua-dua parti.

Malah, pemimpin Bersatu dan Pas kerap melaungkan ciri Melayu dan Islam - serta soal anti-Melayu dan antagonisme bukan Islam yang terkait dengannya - terutama ketika pilihan raya.

Walaupun Gerakan dan Parti Maju Sabah adalah sebahagian daripada gabungan, kedua-dua parti politik ini boleh diibaratkan sebagai daun yang menutup agenda politik dan sosioekonomi PN yang berasaskan dua R iaitu “race and religion".

Agenda ini kini diperkukuh lagi apabila PN menerima dokumen 12 perkara Proklamasi Melayu oleh Dr Mahathir Mohamad untuk melindungi kepentingan Melayu, menyatukan masyarakat Melayu dan memulihkan kuasa politik Melayu.
Penyertaan Gerakan dalam PRN di Pulau Pinang dianggap ramai pihak bukan sahaja sebagai pengkhianatan terhadap keanggotaannya yang berbilang kaum dan warisan liberalnya. Hal ini juga dilihat sebagai memberikan oksigen kepada posisi PAS yang ekstrem dan juga cita-cita parti itu untuk menjadi parti utama di Malaysia.

Presiden Gerakan Dominic Lau mengharapkan “gelombang hijau” untuk menang di kerusi majoriti Melayu iaitu DUN Bayan Lepas. Manakala calon Gerakan lain mungkin boleh mengharapkan keputusan yang lebih baik berbanding pilihan raya sebelum ini dengan sokongan Bersatu.

Namun, sekiranya calon-calon ini tidak dapat meyakinkan para pengundi Cina dan India di Pulau Pinang, bahawa mereka bukan sekadar menjadi peragaan untuk menarik undi kepada PN, ia boleh menjadi permulaan kepada pengakhiran Gerakan sebagai sebuah parti dalam politik Malaysia.

Ia pastinya sesuatu yang malang kerana kuasa ketiga diperlukan dalam percaturan politik negara - sama ada di Pulau Pinang mahupun di negeri-negeri lain.

Dilema pengundi Melayu dan bukan Melayu

Pilihan untuk kebanyakan pengundi bukan Melayu nampaknya terletak terutama dalam ketakutan mereka dengan kemenangan PH dan kejatuhan kerajaan PH-BN pada masa ini.

Ia ditunjukkan dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini ketika menjawab soalan seorang pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang yang bertanya jika dia akan menamatkan sistem kuota dalam pendidikan tinggi.

“Anwar kata hari ini batalkan sistem kuota. Kami akan kalah semua pilihan raya di negara ini dan anda akan lebih menderita di negara ini. Itu kena faham. (Negara akan) diperintah PAS dan Bersatu, kena faham."

Manakala bagi pengundi Melayu, walaupun lebih tertekan dengan isu kos sara hidup berbanding pengundi bukan Melayu, pilihan mereka sebahagian besarnya antara tarikan dan agenda kaum dan agama yang dibawa Anwar dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Umno bukan lagi menjadi faktor dalam membuat keputusan. Kedudukan sejarah Umno sebagai parti dominan yang melindungi kepentingan Melayu dan memegang undi Melayu boleh anggap telah merosot ketika PRU lalu dan belum lagi pulih ke tahap yang ketara.

Undi di kerusi majoriti Melayu berkemungkinan boleh mengesahkan kemerosotan pengaruh Umno walaupun jika parti itu dapat membantu PH - terutama calon PKR - menang melawan PN.

Kemampuan peralihan undi Melayu dari Umno kepada PKR mungkin lebih ketara dalam kalangan pengundi Melayu yang lebih berusia. Sekiranya ini berlaku, ia boleh mengekalkan kuasa PH di Selangor dan Negeri Sembilan.

Ini juga boleh memberi harapan kepada pemimpin Umno pada masa ini ke arah pemulihan dan prospek masa depan parti.

PRN akan menentukan sama ada Umno yang diketuai Ahmad Zahid Hamidi adalah aset atau liabiliti kepada Anwar.

Seperti yang dijelaskan di atas, Anwar mahukan Umno sebagai rakan kongsi untuk memenangi undi Melayu yang tidak dapat diperolehinya semasa PRU. Namun, Umno hari ini terus dilihat sebagai bayangan kepada parti yang dahulunya mendominasi pentas politik Melayu selama beberapa dekad.
Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin diliihat kurang menonjolkan diri walaupun di Selangor dan Negeri Sembilan, di mana ia ada lebih banyak kerusi dan dalam kedudukan lebih dominan berbanding PAS, antaranya kerana pertuduhan rasuah terhadap Muhyiddin, Wan Saiful Wan Jan dan Adam Radlan.

Keadaan yang sama ketika pilihan raya ini juga memperlihatkan percampuran isu identiti kaum dan agama memainkan peranan penting dalam kejayaan Bersatu ketika PRU15 - termasuk dalam kalangan pengundi muda Melayu yang tidak dijangka sebelumnya.

Profil calon pilihan raya yang lemah juga melihatkan gabungan antara agama dan isu identiti ras memainkan peranan penting dalam kejayaan parti tersebut dalam PRU15 - hal ini tidak dijangka dalam kalangan pengundi Melayu generasi muda.

Oleh itu, strategi fokus kepada belia dengan berlandaskan agama dan nasionalisme dan dipacu media sosial boleh memberi kelebihan kepada PN di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menerusi kaca mata pemerhati luar, bagi pengundi Melayu, PRN kali ini nampaknya mempunyai kepentingan terhadap jenis Islam dan kesannya terhadap ekonomi, budaya, pendidikan, amalan sosial and kehidupan seharian yang mereka mahukan serta untuk penduduk bukan Melayu dan bukan Islam.

Adakah nilai Islam yang dibawa Hadi yang dikatakan tulen, konservatif, antiliberal, antiprogresif atau nilai Madani Anwar yang dikatakan berlandaskan prinsip kemampanan, kemakmuran, sikap hormat, inovasi, amanah dan belas kasihan dan jaminan perlindungan terhadap hak dan keadilan masyarakat bukan Islam yang akan menang?

LIM TECK GHEE ialah bekas pegawai kanan PBB dan Bank Dunia.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-