Monday, August 7, 2023

UMNO sudah ‘hancur’, PN sedia penuhi kehendak dan sentimen orang Melayu

utusantv.com
Oleh Azrul Hakimie Anuer
-August 7, 2023
Mantan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruhkan segala-galanya dalam memenuhi kehendak serta sentimen orang Melayu yang tidak berjaya diterjemahkan dengan baik oleh parti yang diharapkan membela mereka iaitu UMNO.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat, UMNO kini tidak lagi seperti dahulu terutamanya selepas memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan DAP – parti yang nyata bertentangan ideologi.

Oleh yang demikian, beliau tidak berasa hairan mengapa begitu ramai pemimpin besar dan ahli parti keramat orang Melayu itu mula melangkah keluar meninggalkan mereka.

“Sentimen orang Melayu contoh di mana nak harap, nak harap UMNO, UMNO dah hancur dibuatnya oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid, saya Timbalan Presiden UMNO dulu jadi satu tahu apa perjuangan UMNO.

“Namun, apa yang berlaku kepada UMNO sekarang…jadi saya beritahu orang UMNO eloklah kalau keluar atau pun kalau tak keluar beri sokongan kepada kita (PN),” katanya ketika ditemui UtusanTV, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin menegaskan, dukungan yang diberikan oleh Khairy Jamaluddin kepada PN penting terutamanya dalam memperkukuhkan sokongan dalam kalangan pengundi menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menyifatkan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu sebagai figura berketerampilan dan atas sebab itu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempelawa beliau menyertai mereka.

“Sokongan itu nyata, dalam podcast pun berkali-kali beliau berkata PN menang, saya rasa ia penting kerana beliau adalah figura yang menarik.

“Memang kita pelawa, sudah beberapa kali jumpa saya, beliau tidak membuat keputusan apa-apa… itu soal pertimbang politik, dia lebih tahu. 

“Sikap kita dari segi sesiapa yang nak menyertai kita terbuka. Dalam situasi sebegini kita memerlukan sokongan dan dukungan terutama orang Melayu, kerana kalau tak buat begitu masa depan kita gelap,” katanya lagi.

Menyentuh soal kerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin melihat, ia bukan sekadar hubungan politik tetapi bersifat peribadi di antara sesama manusia.

“Dalam semua perbincangan adalah berkaitan untuk memastikan PN menang, menang dengan besar dan mendapat sokongan besar pengundi-pengundi Melayu.

“Kapasiti sebagai negarawan sejauh mana beliau ada pengaruh boleh berperanan, cakap dengan tokoh-tokoh Melayu lain, di luar politik pun beliau boleh bercakap supaya ada kesedaran untuk bersama-sama kita,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-