Atriza Umar
Diterbitkan: Aug 7, 2023 8:00 PM
ULASAN | Masihkah kita ingat bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ulama dan tokoh agama sebelum ini berulang kali mengingatkan orang politik supaya menjaga adab, bicara dan lidah ketika berkempen?
Namun, nasihat yang diberikan itu seakan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.’
Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu semakin mendekat.
Menjelang tarikh ‘pesta demokrasi’ itu berlangsung, setiap calon, parti yang bertanding gigih turun ke lapangan untuk berkempen dan mendekati para pengundi.
Tidak terkecuali, media sosial turut diperhangatkan dengan bahan-bahan kempen memperkenalkan calon-calon yang bertanding.
Paling banyak keluar dalam layar ‘muka buku’ ialah berkaitan biodata calon.
Setiap pengundi yang belum mengenali siapakah calon wakil rakyat mereka, tentunya ingin mengenali latar belakang calon agar dapat membuat pilihan yang terbaik.
Sentimen 3R
Parti yang bertanding berusaha ingin calonnya menang dalam pilihan raya. Namun, masih terdapat lagi segelintir calon dan ahli-ahli mahupun pimpinannya tidak mengamalkan politik yang matang.
Apa tidaknya, sikit-sikit akan mengaitkan sesuatu yang tidak sewajarnya terhadap parti lawan.
Sedarkah kita, antara tonggak utama dalam amalan demokrasi adalah dengan meraikan perbezaan?
Sebab itu, ia antara komponen yang penting dalam perjalanan demokrasi sesebuah negara selain pilihan raya.
Namun, sangat berbeza dengan situasi politik di negara ini sewaktu berkempen.
Sesetengah calon, ahli mahupun pemimpinnya, masih menggunakan sentimen yang tidak sewajarnya iaitu 3R iaitu kaum (race), agama (religion) dan institusi diraja (royal) semata-mata untuk meraih sokongan para pengundi.
Barangkali amalan demokrasi setiap kali pilihan raya diadakan ini masih belum difahami oleh semua peringkat terutamanya pucuk pimpinan parti, calon, ahli dan masyarakat.
Apa tidaknya, walaupun berkempen adalah sebahagian daripada proses demokrasi itu, namun masih wujud perbuatan saling mencela, menghina, mengutuk dan memburukkan pesaing.
Perbuatan ini amat bertentangan dengan seruan supaya semua parti serta calon berkempen secara berhemah dan beradab, bahkan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam serta kepercayaan lain.
Kematangan politik Indonesia
Memetik kata-kata Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis, mungkin kita harus mencontohi Indonesia.
“Satu ketika dahulu kita jauh meninggalkan mereka dari segenap sudut.
Namun, Indonesia semakin dekat mengejar kita. Lihatlah bagaimana laporan Bank Dunia 2019 terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang sekitar 5.1 peratus berbanding Malaysia (4.6 peratus).”
Tambahnya lagi, KDNK itu berkembang walaupun ranking Indeks Daya Saing Global (GCI) World Economic Forum (WEF) 2019 meletakkan Malaysia di tangga ke-27 berbanding Indonesia (50).
“Apakah semua itu berlaku dengan secara tiba-tiba? Jawapannya sudah tentu tidak. Hal itu terjadi disebabkan adanya kematangan politik dan perasaan mendahulukan negara dalam setiap perkara,” ujarnya.
Indonesia pasca-Orde Baharu telah menukar cara berpolitik negara itu kepada yang lebih matang dan terbuka.
“Perubahan drastik sistem pemerintahan dan pendekatan baharu menggantikan cara lama mengubah hala tuju politik negara itu yang sinonim dengan amalan korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) kepada ketelusan dan keberhasilan.”
Dalam pada itu, tentunya semua itu berlaku kerana amalan politik yang matang dan budiman. Politik Indonesia selepas era reformasi berjaya membentuk nuansa baharu yang melihat politik sebagai medan membaiki negara.
Disebabkan itulah kita dapat menyaksikan peningkatan ketara dalam politik Indonesia hasil daripada perubahan itu.
Malaysia yang lebih baik
Terdahulu, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengingatkan semua pihak yang berkempen supaya menjaga adab dan tata susila sepanjang berkempen.
Begitu juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Dr Mohd Na'im Mokhtar turut memberikan peringatan yang sama meminta calon PRN di enam negeri menjaga adab dan mengelak menghina orang lain ketika berkempen, termasuk menjauhkan perbuatan memfitnah apatah lagi tingkah laku yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat.
Perlu disedari oleh setiap parti, calon dan jentera kempen, pilihan raya bukanlah medan memaki hamun, memburukkan orang lain dengan memfitnah.
Sebaliknya, ia adalah pentas untuk ‘mempromosikan’ calon dan parti dengan sesuatu tawaran yang baik dan menarik, agar rakyat memberi percaya untuk mengundi mereka, selain menerangkan perancangan ekonomi dan hal berkaitan kebajikan rakyat.
Dengan kata lain, pilihan raya adalah ruang untuk memberikan kefahaman yang jelas hasrat calon dan parti, apakah yang ingin dipersembahkan mereka bagi melihat kawasan yang ditandinginya lebih menyerlah daripada biasa, jika mereka menang nanti.
Justeru, kita sebagai rakyat khususnya calon yang bertanding seharusnya mengambil pedoman agar melaksanakan politik matang bagi merealisasikan negara Malaysia yang lebih baik.
Antaranya ketika berkempen, ceramah politik menyampaikan hasrat dan sasaran yang ingin dicapai jika menjadi calon yang menang di sesuatu kawasan tersebut, selain menghentikan budaya menghina, memfitnah dan memperlekehkan calon semata-mata unsur kebencian atau saingan.
Tinggalkanlah segala amalan buruk yang tidak memberi manfaat kepada parti dan pengundi.
ATRIZA UMAR ialah pegawai Jabatan Komunikasi dan Media, Pertubuhan Ikram Malaysia.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.