Wednesday, September 13, 2023

Hadi tak akan bayar denda, rela masuk penjara

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 13, 2023
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata dia akan memilih masuk penjara daripada membayar denda, jika disabitkan bersalah dalam kes mahkamah yang mungkin dihadapinya.

Katanya, wang denda itu lebih baik disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), badan didikan awal kanak-kanak yang diperkenalkan PAS.

“Tak tahu sama ada hukum penjara atau denda, (tapi) saya pilih penjara.

“(Kalau) denda lebih baik bagi pada Pasti, derma pada Pasti,” katanya ketika membahaskan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12 di parlimen hari ini.
Hadi disiasat bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia kerana berkata kuasa mengampunkan pesalah patut diberikan kepada keluarga mangsa.

Menyifatkan amalan sekarang bertentangan dengan Islam, dia dianggap mempertikaikan kuasa badan itu yang diketuai oleh sultan di peringkat negeri dan yang di-Pertuan Agong di peringkat pusat.

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim, yang disabitkan bersalah dalam kes liwat, dibebaskan daripada penjara selepas gabungan itu menang dalam pilihan raya umum 2018 selepas mendapat pengampunan penuh diraja.

Kertas siasatan terhadap Hadi sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada minggu lepas.

Setakat ini belum ada keputusan dibuat sama ada kes itu akan dibawa ke mahkamah atau tidak.


Hadi yang juga anggota parlimen Marang disiasat bawah Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagi kesalahan bawah seksyen 4, diperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seksyen 233–penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan–pula memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-