Wednesday, September 13, 2023

Kerajaan Anwar sekat kebebasan bersuara rakyat, BERSIH kecewa janji tak ditunaikan

agendadaily.com
13/09/2023

BERSIH membidas kerajaan campuran dipimpin Anwar dan anak muridnya, Zahid.

Langkah kerajaan campuran menyekat kebebasan bersuara rakyat adalah amat mengecewakan, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan janji yang sebelum ini dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menyemak dan menghapuskan akta yang disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Janji mereka kepada rakyat semasa PRU15 bahawa mereka mendapat undi daripada rakyat berdasarkan janji dan iltizam untuk menyemak dan menghapuskan akta-akta yang mendekam suara dan disalah guna untuk menghalang kebebasan bersuara.

“Penjajaran gabungan politik tidak seharusnya mengetepikan janji berkenaan kepada rakyat serta kami menggesa mereka menunaikan dan menegakkan janji ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH berkata, berikutan itu pihaknya menggesa kerajaan untuk menunaikan serta menegakkan janji mereka sebelum ini.

Dalam pada itu, BERSIH menempelak tindakan pihak berkuasa yang cuba menghalang perhimpunan aman diadakan, seterusnya menafikan hak rakyat dalam Perlembagaan kerana perkara itu adalah sebahagian daripada sistem demokrasi yang berfungsi.

“Polis bertanggungjawab untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dengan membantu perhimpunan aman dengan memastikan keselamatan peserta dan kawalan trafik.

“Kami kecewa dengan tindakan berlebihan pihak polis yang menghalang himpunan untuk menghantar memorandum oleh sekumpulan petani dan aktivis di luar Parlimen semalam.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana himpunan aman untuk menghantar memorandum kepada ahli Parlimen adalah norma demokratik yang perlu dibantu, bukannya dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay bahawa penganjur perlu memohon permit lima hari sebelum tarikh perhimpunan juga adalah tidak tepat.

Katanya, menerusi Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur perhimpunan itu hanya perlu memberikan notis kepada pihak berkuasa dan bukannya memohon permit atau keizinan polis seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Sebelum ini sudah banyak perhimpunan aman diadakan termasuk BERSIH 4 dan BERSIH 5 dan ia berlangsung secara aman walaupun dengan bantuan minimum daripada pihak polis.

“Kami menggesa pihak polis untuk melaksanakan tugas mereka secara profesional dengan menyediakan segala bantuan yang diperlukan kepada penganjur himpunan supaya dapat melunaskan hak demokrasi mereka,” katanya.

Semalam, Ayob berkata pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan permit bagi penganjuran perhimpunan aman ‘Gerakan Selamatkan Malaysia’ di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur yang dijadualkan diadakan sempena Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ayob berkata, mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan sebarang perhimpunan perlu memohon permit sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh ia diadakan.

“Perlu lima hari sebelum tarikh perhimpunan itu diadakan dan kalau diikutkan, hari ini adalah hari terakhir permohonan permit perlu dibuat,” katanya seperti dilaporkan semalam.

Sebelum ini media melaporkan perhimpunan aman bagi memulakan kempen ‘Gerakan Selamatkan Malaysia” itu akan dianjurkan oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) bermula jam 2 petang, Sabtu ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, dilapor berkata perhimpunan itu diadakan susulan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-