Sunday, September 3, 2023

‘Malaysian Malaysia’ beri kesan besar Umno tagih sokongan Melayu

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
03 Sep 2023

Timbalan Ketua Umno Segamat Bastien Onn berkata pengekalan slogan DAP itu menjadikan orang Melayu bersama PN.
Timbalan Ketua Umno Segamat Bastien Onn, berkata pimpinan Umno pusat termasuk Presiden Zahid Hamidi perlu mendesak DAP gugur slogan ‘Malaysian Malaysia’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendirian DAP enggan menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” memberi kesan besar kepada Umno dalam usaha meraih sokongan orang Melayu, kata pemimpin akar umbi.

Timbalan Ketua Umno Segamat, Bastien Onn, berkata apa disuarakan Ketua Umno Pulai Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini sudah tentu mewakili suara akar umbi bukan sahaja di Parlimen Pulai, malah di Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.

Katanya, keputusan pada PRN enam negeri 12 Ogos lalu mencerminkan orang Melayu tidak mahu lagi bersama Umno hanya kerana menjalin hubungan politik dengan DAP.

“Ini memberi kesan yang sangat besar kepada Umno untuk menagih dan meraih sokongan daripada orang Melayu. Kita terpaksa menjawab persoalan ini (Malaysian Malaysia) dan saya rasa bahawa apa yang dikatakan oleh Nur Jazlan adalah dapatan daripada kerja dan juga perjumpaan kita dengan akar umbi.

“Mereka (pimpinan Umno pusat) harus tegas, kalau tidak kita menghadapi masalah dengan orang Melayu dan saya melihat pergerakan orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) cukup membimbangkan,” katanya menurut Astro Awani.

Beliau berkata, justeru pimpinan Umno pusat termasuk Presiden Zahid Hamidi perlu tegas terhadap gesaan supaya DAP menggugurkan slogan tersebut.

Semalam, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata tidak perlu digugurkan slogan “Malaysian Malaysia” kerana komitmen parti itu mendukung prinsip Islam agama rasmi, bahasa Melayu, dan Perkara 153 Perlembagaan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.

Setiausaha agung DAP itu berkata, perkara itu tidak perlu diungkit lagi atau mencipta polemik yang boleh menjejaskan keyakinan orang ramai.

Katanya, sebelum kerajaan perpaduan dibentuk, semua parti membuat perjanjian dan bersetuju tidak akan menyentuh “prinsip serta perlembagaan parti” masing-masing.

Mengulas gesaan Nur Jazlan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Zahid berkata apa diperkatakannya berhubung pengguguran slogan itu sekadar pandangan peribadi, bukan parti.

Beliau berkata, sekalipun timbul permintaan seperti itu, ia perlu mengikut saluran betul melalui mesyuarat atas dasar hormat pada rakan dalam gabungan kerajaan perpaduan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-