Friday, September 8, 2023

Pengguguran kes Zahid bukti rasuah amat buruk – UMMAH

harakahdaily.net
September 5, 2023
Mohd Zai Mustafa

KUALA LUMPUR: Pengguguran kes mahkamah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan bahawa pentadbiran negara mempunyai isu rasuah yang amat buruk.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, seharusnya Timbalan Perdana Menteri juga perlu menjalankan proses mahkamah yang adil dan saksama lebih-lebih lagi beliau mempunyai 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Dana Yayasan Akalbudi (YAB).

“Kerajaan Madani sering mendakwa kononnya mereka membawa agenda reformasi undang-undang, keadilan serta tegas menentang rasuah tetapi mengapa perkara sebegini pula terjadi?” katanya kepada HarakahDaily.

Beliau menyatakan, perkara sebegini sebagai sesuatu tidak masuk akal sedangkan kes Ahmad Zahid mempunyai prima facie yang sememangnya tidak boleh diabaikan oleh pejabat peguam negara.

“Perkara ini menunjukkan bahawa tadbir urus peguam negara kita sendiri telah dihancurkan dan sistem tatakelola negara berada pada tahap yang sangat merbahaya,

“Buktinya, bagaimana kes yang sudah mempunyai prima facie boleh dilepaskan daripada pendakwaan pejabat peguam negara? Ini jelas menunjukkan rasuah semakin berleluasa di negara ini,” ujarnya.

Mohd Zai turut melahirkan rasa kebimbangan terhadap perkara ini yang semakin berleluasa dan akan memberi kesan yang amat buruk pada masa akan datang di negara ini.

Tambah beliau, semakin rakyat mula menunjukkan rasa ketidakpuasan hati terhadap sifat pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan persekutuan pada masa ini.

“Tahap kepercayaan rakyat kepada institusi kerajaan sudah berada pada tahap sangat negetif dan hilang kepercayaan akibat kepimpinan perdana menteri yang hanya pandai beretorik dan sangat lemah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat negara ini tanpa mengira agama dan bangsa untuk tidak berdiam diri dan bangkit melawan sistem perundangan negara yang penuh dengan amalan rasuah.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit melawan amalan-amalan rasuah yang ada di negara kita memandangkan setiap agama mengajar kita untuk tidak mengambil sebarang rasuah.

“Ini kerana sistem perundangan negara bakal menjadi bangkai yang semakin membusuk di negara ini yang akan memberikan kesan buruk kepada kita sendiri sebagai rakyat biasa jika perkara sebegini dibiarkan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-