Thursday, September 14, 2023

PMX digesa beri penjelasan kes rasuah anak murid dihentikan: Hassan

agendaily.com
14/09/2023
Zahid sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, kata Ahli Parlimen (PH/PKR) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini (16 Januari 2023).

Penjelasan berhubung pembebasan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dibuat sendiri oleh cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Abdul Karim berkata lebih baik Perdana Menteri menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

“Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar (media massa) itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau cakap (katakan) kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

“Saya percaya apa yang beliau (Perdana Menteri) cakap, saya tidak akan mencampakkan beliau di bawah ‘bas’ dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Namun untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang jelas (perkara ini), kami hendak dengar sendiri dari Perdana Menteri supaya isu DNAA dinoktah di dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Hari ini giliran Hassan membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor berkata, beliau kurang berpuashati dan mahu Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan.

Katanya, beliau setuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memanggil Peguam Negara yang lalu dan kini untuk menjawab isu berkenaan.

“Peguam Negara mesti datang untuk menjawab, dan jangan beri alasan untuk tidak datang… ini kerana jawatankuasa dan Parlimen ada integriti,” katanya.

Pada 4 September lalu, Zahid terlepas bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Ekoran tindakan tersebut, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

Terdahulu di Dewan Rakyat, MP Perikatan Nasional (PN) juga mengemukakan usul meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan melepaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar dibawa MP Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Isnin.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-