Showing posts with label Hassan Abdul Karim. Show all posts
Showing posts with label Hassan Abdul Karim. Show all posts

Sunday, February 2, 2025

Hassan Karim persoal dua jawatan tertinggi PKR tak dicabar

bharian.com.my
Oleh Zanariah Abd Mutalib 
zanariah_mutalib@bh.com.my
Februari 2, 2025 @ 11:34am
Dari kiri, Rafizi Ramli, Hassan Abdul Karim dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini mempersoalkan kewajaran dua jawatan tertinggi PKR kemungkinan tidak dicabar pada pemilihan parti itu, Mei depan.

Hassan yang juga pemimpin PKR Johor berkata PKR adalah parti yang demokratik, justeru biarlah proses menentukan dua jawatan tertinggi itu dicabar atau ditandingi berlaku secara semula jadi yang ditentukan ahli parti.

Lebih menimbulkan persoalan kepada beliau apabila jawatan Timbalan Presiden yang disandang Datuk Seri Rafizi Ramli juga dicadangkan untuk tidak dicabar.

Tegasnya, beliau yakin PKR mempunyai ramai pemimpin kanan yang layak mencabar jawatan nombor dua parti.

"Pucuk pimpinan PKR perlu yakin atas kebijaksanaan ahli parti. Jika mereka menilai jawatan presiden sekarang yang disandang Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar tidak dicabar, jadi kita terimalah itu hakikat politik sebenar mengenai kekuatan dan pengaruh Anwar sebagai presiden parti.

"Bagaimanapun, mengapa jawatan nombor dua juga tidak wajar dicabar? Ramai pemimpin kanan layak mencabar Rafizi.

"Mengapa perlu dihalang? Biarkan seribu kuntum bunga berkembang di halaman PKR.

"Jangan disekat pertandingan jawatan nombor dua. Kalau nak lawan presiden pun OK, silakan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin, berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti yang dijadual berlangsung Mei ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, berkata cadangan itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelum ini, antaranya untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang dan melancarkan khidmat kepada rakyat berikutan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.

Dalam pemilihan PKR pada 2022, Anwar menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden, manakala Rafizi menang jawatan timbalan presiden selepas menewaskan Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hassan juga menggesa supaya tidak ada seruan, arahan atau usul secara langsung atau tidak langsung, yang tersirat atau tersurat, bertujuan supaya dua jawatan tertinggi itu tidak ditandingi atau dicabar.

"Tidak perlu Setiausaha Politik Perdana Menteri menzahirkan penyataan bahawa dua jawatan itu tidak dicabar," katanya.

Wednesday, September 18, 2024

'Sifat mengikat MoU memandulkan dan membonsaikan peranan pembangkang', - Hassan

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
- September 18, 2024 @ 9:14am
Hassan Abdul Karim
KUALA LUMPUR: Kewujudan memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dengan ahli Parlimen pembangkang serta gabungan pembangkang didakwa bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan cadangan memperkenalkan MoU pada asasnya juga satu contoh pencerobohan kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli Parlimen pembangkang, pihak penting di dalam Parlimen.

Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan katanya, menetapkan setiap ahli Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah dan kandungan sumpah itu antara lainnya, meminta setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

"Satu ciri penting Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa. Tetapi MoU berkenaan sudah mengikat peranan dan fungsi Ahli-ahli Parlimen pembangkang di Parlimen," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan, pembangkang atau bebas apabila sudah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Speaker Dewan Rakyat, maka mereka terikat dengan sumpah itu.

"Tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang. Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan ahli Parlimen pembangkang dan gabungan parti pembangkang di Parlimen.

"Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan," katanya.

Hasan mendakwa ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang juga kerajaan bayangan terpaksa tutup mulut dalam perkara penting membabitkan hal rakyat dan negara.

"Kenapa? kerana mereka sudah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu badan eksekutif. Jadi MoU dikemukakan kerajaan bersifat membelenggu kebebasan Ahli-ahli Parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang," katanya.

Beliau berkata, cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU juga boleh dianggap pihak eksekutif cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Parlimen.

"Reformasi dikehendaki di Parlimen ialah kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan kawasan parlimen, bahawa setiap kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara automatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.

"Setiap ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan, pembangkang atau bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

"Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini," katanya.

Wednesday, August 21, 2024

Hassan, LFL kecam langkah guna Akta Hasutan ke atas Muhyiddin

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 21, 2024 2:44 PM
Seorang ahli parlimen PKR hari ini mengkritik pihak berkuasa kerana menggunakan Akta Hasutan untuk menyiasat Pengerusi PN dan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

Kata Hassan Abdul Karim, isu 3R tidak seharusnya mewajarkan tindakan ke atas Muhyiddin menggunakan akta tersebut yang dianggap ramai sebagai zalim.

"Amat membimbangkan jika momokan isu 3R ini digunakan oleh agensi berkuasa dan kerajaan untuk menggunakan undang-undang yang draconian seperti Akta Hasutan 1948 untuk menafikan kebebasan bercakap dan bersuara," katanya.

Menjelaskan pandangannya melalui kenyataan hari ini, Hassan berkata, lazimnya Malaysia dirujuk sebagai negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Katanya, hal itu membawa maksud tersirat bahawa Malaysia merupakan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen serta menerima sistem pilihan raya yang menentukan sesebuah kerajaan pilihan rakyat.

"Pada masa yang sama frasa raja berperlembagaan bermakna kuasa raja ditentukan oleh perlembagaan dan sistem raja di Malaysia bukanlah sistem raja yang berkuasa mutlak atau absolute monarchy," katanya dalam kenyataan hari ini

Menurut ahli parlimen Pasir Gudang itu lagi, Muhyiddin merupakan bekas perdana menteri, dan kini masih ahli parlimen semasa selain mengetuai pakatan pembangkang di Dewan Rakyat.

Tambah Hassan, dalam urusan bernegara kuasa rakyat melalui konsep demokrasi berparlimen didahulukan berbanding konsep raja berperlembagaan dan ia dapat dilihat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Hassan Abdul Karim
"Soal kebebasan asasi, seperti tercatat pada perkara 5 menjadi teras utama demokrasi diletakkan di bahagian awal Perlembagaan Persekutuan, manakala peruntukan perlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong - contohnya perkara 32 - diletakkan di Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Hassan juga menegaskan, menurut undang-undang Malaysia ialah sebuah negara demokrasi yang menolak sistem raja feudal mutlak dan hal itu tercatat melalui Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bertentangan dengan demokrasi

Peruntukan itu, katanya, menyatakan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama.

“Perkara itu perlu dijelaskan kerana terdapat kecenderungan semasa untuk cuba mengurangkan kebebasan rakyat atau pemimpin untuk bersuara dengan mewujudkan momokan kesalahan mengikut 3R,” katanya lagi.

Sementara itu, badan pemerhati hak asasi manusia Lawyers For Liberty (LFL) turut mengecam tindakan menggunakan Akta Hasutan terhadap Muhyiddin.

Pengarah LFL, Zaid Malek, berkata peranan Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan kuasa baginda di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan bukanlah satu perkara yang tidak boleh diteliti atau dibincangkan secara umum.

"Peruntukan itu dengan jelas menyatakan bahawa Agong mesti melantik seorang perdana menteri yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat.

"Ia berikutan perbincangan mengenai penentuan keyakinan majoriti tidak boleh dilarang atau disekat," katanya.

Menurut Zaid dalam sistem demokrasi, pelaksanaan tugas atau kuasa perlembagaan tidak boleh berlaku di luar perbincangan atau kritikan.

“Pemimpin PH nampaknya sudah lupa bagaimana mereka bersatu di belakang mendiang Karpal Singh atas pertuduhan mengikut Akta Hasutan kerana mempersoalkan Sultan Perak dalam menentukan isu kepercayaan menteri besar Perak ketika itu Nizar Jamaluddin.

"Kerajaan pimpinan PH kini telah melampaui batas dan melarang sebarang penelitian terhadap pelepasan kuasa perlembagaan oleh raja atau raja-raja. Ini pada asasnya bertentangan dengan tadbir urus demokrasi.

"Tidak kira kebenaran dakwaan Muhyiddin, tidak ada justifikasi untuk penggunaan Akta Hasutan.

"Undang-undang zaman kolonial kuno ini tidak mempunyai tempat dalam negara yang berperlembagaan dan demokratik," tambahnya.

[Baca berita penuh]
View Synonyms and Definitions

Thursday, August 1, 2024

Batalkan perjanjian MAHB-GIP, kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2024
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

“Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infracture Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock,” katanya.

Bagaimanapun, GIP akan mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu dilaksanakan.

Perjanjian itu merujuk kepada kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, memperoleh GIP.

Semalam, Ismail dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama seorang pengawal peribadinya dan republik itu telah melancarkan siasatan ke atas perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata bahawa rakyat dunia bertanggungjawab melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menurutnya memutuskan bahawa penjajahan Israel ke atas bumi Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat adalah haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan pada 19 Julai oleh Presiden ICJ Nawaf Salam, adalah penting supaya kematian rakyat Palestin di Gaza tidak menjadi sia-sia, kata Hassan.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia khususnya supaya menggerakan inisiatif dinamik diplomatik antarabangsanya ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Pendirian rasmi kerajaan terhadap perang Palestin-Israel adalah untuk penyelesaian dua negara, yang melibatkan penubuhan negara Palestin bersama negara Israel.

[Baca berita penuh]

Thursday, September 14, 2023

PMX digesa beri penjelasan kes rasuah anak murid dihentikan: Hassan

agendaily.com
14/09/2023
Zahid sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, kata Ahli Parlimen (PH/PKR) Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini (16 Januari 2023).

Penjelasan berhubung pembebasan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu dibuat sendiri oleh cikgunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Abdul Karim berkata lebih baik Perdana Menteri menjelaskan kepada Dewan Rakyat mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

“Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar (media massa) itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau cakap (katakan) kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

“Saya percaya apa yang beliau (Perdana Menteri) cakap, saya tidak akan mencampakkan beliau di bawah ‘bas’ dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Namun untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang jelas (perkara ini), kami hendak dengar sendiri dari Perdana Menteri supaya isu DNAA dinoktah di dewan ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Hari ini giliran Hassan membahas usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat.

Hassan yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Johor berkata, beliau kurang berpuashati dan mahu Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan.

Katanya, beliau setuju supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi memanggil Peguam Negara yang lalu dan kini untuk menjawab isu berkenaan.

“Peguam Negara mesti datang untuk menjawab, dan jangan beri alasan untuk tidak datang… ini kerana jawatankuasa dan Parlimen ada integriti,” katanya.

Pada 4 September lalu, Zahid terlepas bagi semua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Ekoran tindakan tersebut, Majlis Peguam menyifatkan kenyataan AGC mengenai keputusan melepaskan tanpa membebaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah, dilaporkan berkata adalah tidak wajar bagi Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengaitkan penarikan balik sepenuhnya kes Zahid itu kepada Mahkamah Tinggi dan menggunakannya sebagai alasan dalam kenyataan media daripada memberikan penjelasan terperinci.

Terdahulu di Dewan Rakyat, MP Perikatan Nasional (PN) juga mengemukakan usul meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat bagi memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan melepaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah berkait Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar dibawa MP Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pada Isnin.

Monday, July 31, 2023

Hassan tidak setuju Ahmad Zahid umum peruntukan pada kempen PRN

satuberita.my
By Admin
-July 31, 2023
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAH

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim tidak bersetuju tindakan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan peruntukankepada Majlis Belia Negeri Terengganu dalam program di Terenganu, Jumaat lalu.

“Sebagai ahli Parlimen saya tak setuju pengumuman geran tambahan oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri) Zahid Hamidi di Terengganu ketika kempen pilihan raya.

“Rasuah itu isu legal dan persepsi. Rasuah berkait soal etika, bukan legal semata-mata. Pilihan raya tanpa rasuah adalah pilihan raya yang adil dan bersih,” ciapnya dalam Tweeter milinya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pengumuman Ahmad Zahid itu dan menyatakan peruntukan kepada golongan belia di Terengganu tiada kaitan dengan PRN pada 12 Ogos ini.

Sebelum ini Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Abdul Rahman menyelar tindakan Ahmad Zahid itu yang disifatkan sebagai satu bentuk rasuah menjelang PRN.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, mengumumkan peruntukan terbabit semasa merasmikan Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul sempena program Sentuhan Kasih Desa di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada Jumaat.

Ini termasuk peruntukan RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan RM200,000 kepada Majlis Belia Malaysia Terengganu bagi tujuan pembangunan aktiviti golongan itu di negeri berkenaan.

Ahmad Zahid dalam pengumuman itu meminta belia yang hadir dalam acara itu memilih ‘gelombang biru dan merah’ dalam pilihan raya negeri 12 Ogos ini.

“Saya luluskan bantuan ratusan ribu…..janji 12 Ogos nanti undi parti saya. Itu baru saya (umum). Lepas ini PM naik dia akan ‘top up’, akan tambah lagi, insya-ALLAH. Asalkan pada 12 hari bulan Ogos nanti para belia mengikut gelombang biru (BN) dan gelombang merah (Pakatan Harapan) yang ada di negeri Terengganu ini,” kata Ahmad Zahid. 

SB

Monday, January 30, 2023

Lantik Nurul Izzah salah dari segi moral - Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 30, 2023 12:40 PM
Bukan sahaja pembangkang, Hassan Abdul Karim turut tidak senang dengan pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan kewangan dan ekonomi perdana menteri.

Anggota parlimen lantang Pakatan Harapan (PH) itu berkata ketika penyokong gabungan itu bertanya padanya berkaitan perkara itu, dia menjawab:

"Legally right but morally wrong. (Betul dari segi undang-undang tetapi salah daripada segi moral.)”

Pemuda Bersatu hari ini mempersoalkan tadbir urus Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan “segala macam jawatan lantikan bertaraf penasihat” ketika pembentukan kabinet lebih kecil.

Jawatan itu juga didakwa bercanggah dengan kedudukan menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Badan pemikir Pusat Pendidikan Pasaran (CME) pula berkata Nurul Izzah tidak mempunyai latar belakang khusus dalam ekonomi atau kewangan.

Menurut CME, walaupun kepakaran tidak diperlukan untuk peranan politik seperti menteri kabinet, ia perlu bagi jawatan penasihat dan kaunselor.

Saturday, December 17, 2022

'Biar aku dipancung' - Hassan tak rela demokrasi berkubur di parlimen

malaysiakini.com
Diterbitkan: Dec 17, 2022 9:39 PM
Sejak kebelakangan ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim kerap mencurahkan perasaannya berupa teguran atau sindiran melalui ungkapan puisi.

Melalui karya terbarunya berjudul "Satu deklarasi," Hasan dengan tegas membantah memorandum persefahaman (MOU) Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan beberapa parti lain.

MOU itu mewajibkan ahli parlimen berkenaan menyokong perdana menteri dalam mana-mana usul kepercayaan atau rang undang-undang bekalan atau mana-mana usul berkaitan kepercayaan kerajaan pimpinan Anwar.

Kata Hasan, "parlimen itu kemuncak suara demokrasi" dan "parlimen bukan tempat makhluk zombi" yang bergerak mengikut arahan ketua:

"Biarlah aku bicara

Sebagai seorang MP di sini

Aku bukan robot, bukan zombi

Aku masih ada maruah

bukan bangkai bernyawa."

MOU itu antara lainnya memperuntukkan jika ahli parlimen dalam kerajaan yang gagal mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul seperti undi percaya, rang undang-undang perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan kerajaan persekutuan, dikira meletak jawatan.

Pada sajak ini juga, Hasan dengan jelas menyatakan tindakan yang akan dilakukan ketika undi usul percaya perdana menteri di Dewan Rakyat pada Isnin 19 Disember:

"Aku isytiharkan di sini,

aku akan mengundi bebas ikut hatiku

akan aku berikan undi kepercayaan

kepada perdana menteri sahabatku."


Meskipun begitu, Hasan menyoal MOU "ini autokrasi atau demokrasi," sambil menyorot kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.

"Maka

Kepada mu abang Tuah

Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati

Aku tidak rela

Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi."


Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof hari ini berkata dakwaan perjanjian persefahaman bagi membentuk Kerajaan Perpaduan sebagai tidak berperlembagaan dan akan membawa kepada pemerintahan diktator adalah tidak benar.

Dia berkata MOU itu jelas menyatakan kesemua parti komponen dalam kerajaan masih boleh berunding sesama sendiri bagi mencapai kata sepakat.

Fadillah berkata pihak pembangkang yang tidak bersetuju dengan perjanjian itu boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah untuk diputuskan oleh badan kehakiman.

Berikut sajak penuh Hasan Karim:

Satu deklarasi

Ini bukan puisi

Ini satu deklarasi

Izinkan aku bertanya

Parlimen itu apa?

Aku diberitahu

Oleh Magna Carta dan Bills of Rights

Parlimen itu kemuncak suara demokrasi

Oh, begitu rupanya,

Jadi Parlimen bukanlah tempat makhluk zombi

Yang bergerak satu hala saja

Mengikut arah si sang ketua

Biarlah aku bicara

Sebagai seorang MP di sini

Aku bukan robot, bukan zombi

Aku masih ada maruah

bukan bangkai bernyawa

Lusa 19 Disember

tarikh keramat di Palimen kami

aku isytiharkan di sini,

aku akan mengundi bebas ikut hatiku

akan aku berikan undi kepercayaan

kepada Perdana Menteri sahabatku

Namun begitu,

Sila dengar bicaraku

Adakah kita punya legitimasi,..........wahai sahabat

Beroleh sekian-sekian ratus undi selamat melebihi majoriti

Tetapi para MP hilang hak kebebasannya untuk mengundi?

Ke mana perginya kepercayaan kita

Kepada pertimbangan bijaksana?

Mengapa MOU yang ditandatangani semalam menjadi senjata tajam

Undi MP itu mesti mandatori

Tiada lagi budi bicara menjadi neraca imbangan?

Ke mana hilangnya keyakinan kita kepada hati nurani manusia

Sehingga tergamak kita memberi kata dua:

Patuh mengundi atau kamu hilang kerusi

Kepada sahabatku

Benarkan aku bertanya

Ini autokrasi atau demokrasi?

Kini kita kembali kepada sejarah Tuah dan Jebat

Lalu rayuan terakhirku,

Kembalikan hak kami para MP

Bebas mengundi

Menurut akal dan budi

Maka

Kepada mu abang Tuah

Aku lafazkan satu deklarasi di sini:

Biarlah aku dipancung mati

Aku tidak rela

Di Parlimen Malaysia ini berkuburnya demokrasi.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-