Tuesday, September 12, 2023

‘Tanya 3 juta akar umbi mahu UMNO kerjasama dengan DAP atau tidak’

ismaweb.net
Siti Hafidah

Tak pernah setuju UMNO tanding bersama PH, hanya setuju untuk bentuk Kerajaan Perpaduan
BANGI, 26 Safar 1445H, Selasa – Akar umbi UMNO mahu parti kembali kepada perjuangan asal iaitu mempertahankan hak-hak orang Melayu, bukannya mengikut telunjuk DAP memperjuangkan ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan menghapus hak orang Melayu dan Bumiputera.

Demikian tegas Isham Jalil terhadap kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyifatkan gesaan beliau berhubung kerjasama antara UMNO dan DAP sebagai pandangan peribadi.

Sebelum ini, Isham dilaporkan berkata, beliau tidak pernah bersetuju bahawa UMNO perlu bertanding dalam pilihan raya bersama dengan Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, beliau hanya bersetuju UMNO bergabung dengan PH untuk membentuk Kerajaan Perpaduan seperti dititah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Anthony Loke bagaimanapun berkata, selagi tidak dinyatakan secara rasmi oleh Presiden UMNO mahupun pimpinan parti itu, pihaknya menganggap kenyataan sedemikian sebagai pandangan peribadi pemimpin.

Membidas tanggapan Ahli Parlimen Seremban itu, Isham berkata, beliau adalah wakil akar umbi UMNO.

“YB Anthony, saya wakil akar umbi UMNO. Akar umbi UMNO mahu UMNO kembali ke perjuangan asal iaitu mempertahankan hak-hak orang Melayu, bukan ikut telunjuk DAP untuk perjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ dan hapus hak orang Melayu dan Bumiputera.

“Jika mahu tahu secara tepat apa yang akar umbi UMNO mahu, YB boleh minta kepada kawan-kawan pro DAP YB dalam UMNO untuk buat referendum dan tanya tiga juta akar umbi UMNO sama ada mereka mahu bekerjasama dengan DAP atau tidak,” katanya dalam Facebooknya hari ini.

Dalam isu ini, Isham menegaskan bahawa kedua-dua pegangan itu tidak boleh didukung pada masa sama kerana ia amat bertentangan.

“Bila ada perubahan kepada asas perjuangan perlu ada referendum supaya asas tidak menyimpang. Dan dengan ini barulah kita tahu pandangan mana yang sebenarnya mewakili parti. Terima kasih,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-