Tun Faisal Ismail Aziz
Kemenangan PH bermaksud, kedua-dua kerusi ini akan terus menjadi milik Amanah selagi PH-BN bekerjasama.
Sebetulnya saya agak pelik apabila pemimpin Umno dan penyokong-penyokong Umdap dan Umnozahid bersorak sakan dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Amanah di Pulai dan Simpang Jeram.
Pertamanya, bukan Umno yang bertanding pun. Malah, Umno telah dikuburkan lebih awal sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) dua kawasan ini lagi.
Kemenangan Amanah dan PH di sini bermaksud, kedua-dua kerusi ini akan terus menjadi milik Amanah selagi PH dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama.
Sebenarnya PRK Pulai dan Simpang Jeram bukan mengenai langkah untuk memperkukuhkan Umno sebaliknya memperkasakan kedudukan Amanah dan PH di Johor.
Keduanya, kemenangan Amanah dan PH juga tidak memberi nilai tambah kepada Umno disebabkan perbezaan ideologi Umno dan PH yang amat ketara.
Malah boleh dikatakan perbezaan ideologi yang ketara ini, terutama selepas DAP menyatakan mereka tidak akan menggugurkan agenda sekularisme, Deklarasi Setapak dan Malaysian Malaysia mereka, ia juga, dari sudut jangka panjang, tidak memberi nilai tambah kepada perjuangan Islam dan ummah.
Ketiga, saya juga pelik apabila pemimpin Umno dan penyokongnya beria-ia bersorak dengan kemenangan PH ini, sedangkan jelas undi dan sokongan rakyat terhadap PH-BN ini merosot.
Analisis yang saya buat dan ramai lagi, bukan untuk menyedapkan hati saya dan Perikatan Nasional (PN).
PN tidak perlu menyedapkan hati pun kerana walaupun tidak memenangi kedua-dua kerusi ini, tetapi jumlah undi kepada PN meningkat lebih 20%.
Analisis juga menunjukkan PH-BN kehilangan lebih 48,000 undi di Pulai dan peralihan undi BN kepada PN adalah sebanyak 74%.
Berdasarkan analisis peralihan sokongan ini, rasanya yang perlu menyedapkan hati adalah pemimpin PH-BN.
Menang dengan undi yang semakin merosot, menunjukkan PH-BN sudah kehilangan sokongan. Menang dengan undi yang semakin berkurang sedangkan undi parti lawan meningkat lebih 20%, menunjukkan pengundi semakin ramai menolak PH-BN dan semakin ramai menyokong PN.
PRK Pulai dan Simpang Jeram ini sama sekali berbeza dengan PRK Kuala Terengganu. Di Pulai dan Simpang Jeram, walaupun calon Amanah dan PH-BN menang, ternyata sokongan dan undi semakin berkurang.
Maka, PH-BN tidak boleh menyimpulkan mereka semakin diterima rakyat, sebalik mereka semakin kehilangan undi rakyat.
Di Kuala Terengganu, calon PAS dan PN menang dengan undi yang lebih banyak. Maka bolehlah disimpulkan, sokongan rakyat terhadap PAS dan PN semakin bertambah.
Di Johor, Umno tidak menang, kerusi pun hilang, tetapi pemimpin dan penyokongnya bersorak meraikannya umpama Pak Kaduk menang sabung, kampung tergadai.
Tun Faisal Ismail Aziz ialah ahli Bersatu.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.