Sunday, November 19, 2023

Apa faedah kekal ‘telur’ di Terengganu, soal Ahmad Maslan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
19 Nov 2023

Ahli MKT Umno menolak sentimen PAS mahu Terengganu dikuasai penuh PN di peringkat DUN dan Parlimen.
Ahmad Maslan berkata pengundi PRK Kemaman tidak perlu ‘membakar satu-satunya jambatan’ penghubung negeri itu dengan kerajaan pusat. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tiada faedah bagi rakyat Kemaman mengekalkan rekod “40-0” kerana akan menyebabkan kawasan Parlimen itu “membakar satu-satunya jambatan” antara Terengganu dengan kerajaan pusat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Ahmad Maslan, berkata pengundi pada PRK Kemaman perlu bijak membuat pilihan dan tidak terbuai sentimen konon rakyat Terengganu dalam “mood” mengekalkan rekod tersebut pada pilihan raya lalu.

“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ (untuk Barisan Nasional) di Terengganu. Tiada faedah pun.

“Sekiranya calon PAS iaitu Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menang PRK Kemaman sekali pun, kawasan itu masih pembangkang di peringkat kerajaan pusat.

“Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini pun banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini,” katanya menurut Berita Harian di Pontian.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan “telur” dan masih dengan “mood 40-0”, menolak kepimpinan Umno, PKR, Amanah, dan DAP.

Terengganu menjadi satu-satunya negeri dikuasai Perikatan Nasional sepenuhnya, menguasai 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen.

PRK Parlimen Kemaman pada 2 Dis menyaksikan saingan dua penjuru antara calon BN iaitu bekas panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Samsuri mewakili PAS.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga timbalan menteri kewangan berkata pengundi Parlimen Kemaman perlu menjadikan kawasan berkenaan sebagai jambatan penghubung antara Terengganu dengan kerajaan perpaduan.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga PRU16 nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-