Thursday, January 11, 2024

‘Bila urusan dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan’

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 11, 2024 1:06 PM
Bersatu menyifatkan wakil rakyat Ngeh Koo Ham tidak bertanggungjawab kerana mendakwa parti itu dan PAS mengapi-apikan isu yang membawa kepada serangan bom botol terhadap rumahnya.

Setiausaha agungnya Hamzah Zainudin berkata dalam isu agama, orang Islam akan bangkit sendiri tanpa perlu diapi-apikan apabila urusan Islam dicampuri pihak luar.

“Sayugia diingatkan dalam urusan agama Islam ini tak perlu dicampuri oleh pihak luar yang tidak berkaitan, kerana apabila dicampuri, orang Islam akan bangkit tanpa perlu diapi-apikan.

“Sebab itu daripada menuduh, sepatutnya beliau memohon maaf dan insaf tanpa menuduh orang lain,” katanya.

Hamzah justeru berkata semua pihak perlu mengambil iktibar daripada kejadian sebegini agar berhati hati melontarkan pandangan, apatah lagi jika menyentuh hal-hal sensitif.

Katanya, jangan kerana nila setitik rosak susu sebelangga, “sedangkan nikmat keamanan yang dikecapi ini tidak dibina dalam tempoh semalaman”.
Kereta Mercedes Benz yang rentung akibat serangan itu.
Ngeh semalam menuding jari terhadap PAS dan Bersatu susulan serangan awal pagi semalam yang merosakkan tiga buah kereta dan sebahagian rumahnya.

Dia mendakwa parti pembangkang itu bertanggungjawab mengapi-apikan kenyataannya sehingga orang membencinya.

Ngeh mengesyaki serangan itu mempunyai kaitan dengan kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya pakar bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Dia bagaimanapun telah memohon maaf dan menarik balik cadangannya itu selepas mendapat bantahan pembangkang dan kumpulan pendesak Melayu.

Sementara itu, dalam kenyataan sebenar tadi, Hamzah yang juga ketua pembangkang bagaimanapun berkata serangan sebegitu tidak boleh diterima sama sekali dan perlu diadili melalui tindakan undang-undang.

“Polis perlu segera memburu dalang sebenar di sebalik kejadian khianat itu kerana perbuatan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, tetapi juga mencabuli prinsip kehidupan bermasyarakat di negara ini yang sememangnya terkenal dengan suasana aman dan harmoni,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-