Sunday, February 18, 2024

Kedah mahu keluarkan beras untuk pasaran sendiri - Sanusi

bharian.com.my
Oleh Norazura Abdul Rahman 
bhnews@bh.com.my
Februari 18, 2024 
Gambar hiasan - Sawah padi di Kedah

SUNGAI PETANI: Kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah untuk dijual pada harga lebih murah berbanding kadar pasaran makanan ruji itu ketika ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya sedang merangka kaedah pengeluaran beras berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya pada harga lebih murah.

"Kita cuba cari jalan untuk wujudkan Beras Kedah untuk rakyat negeri ini seperti Kerajaan Terengganu wujudkan Beras Ganu untuk rakyat mereka," katanya.

Beliau ditemui selepas menyertai program Kayuhan Amal Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di sini, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, rakyat Kedah sepatutnya dapat membeli beras pada harga lebih murah berbanding pasaran kerana negeri itu menyumbang lebih 40 peratus pengeluaran beras negara.

"Sepatutnya perkara ini dapat dilaksanakan di Kedah sebab kita pengeluar beras, tetapi rakyat termasuk golongan petani yang mengusahakan sawah padi terpaksa beli beras pada harga mahal.

"Kalau nak laksanakan sekarang mungkin kementerian berkaitan tak benarkan, tetapi kita akan cuba juga cari jalan untuk laksanakan perkara ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-