Sunday, February 18, 2024

PAS yakin tawan Selangor pada PRU16

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters 
18 Feb 2024, 7:32pm

Parti itu akan melancarkan projek khas dengan slogan ‘PAS for All’ dalam usaha menawan negeri itu.
Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata pihaknya berikrar menjadikan negeri itu lebih berdaya saing dan bersih daripada pemimpin politik korup. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: PAS yakin akan memimpin Selangor pada PRU16 sekali gus menjadikan negeri itu lebih berdaya saing.

Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad, berkata perkara itu adalah ikrar dinyatakan pihaknya pada permukiman selama tiga hari buat kali pertama bagi pesuruhjaya PAS negeri yang baharu, Ab Halim Tamuri.

“PAS berikrar akan menjadikan Selangor sebagai negeri lebih berdaya saing dalam sektor ekonomi, bersih daripada pemimpin politik yang korup, penggunaan sumber yang berkesan, infrastruktur berkualiti dan tadbir urus cekap untuk semua kaum dan agama selepas PRU16,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, PAS yakin Selangor hanya akan lebih makmur dan mampu menyediakan peluang pekerjaan lebih tinggi apabila negeri itu dibangunkan bersama secara adil oleh tokoh masyarakat kaum Melayu, Cina, India dan kaum lain.

Zurk berkata, pihaknya akan melancarkan projek khas dengan slogan “PAS for All” bagi mencapai resolusi bertindak yang melibatkan tokoh pemikir pelbagai kaum dan agama sebagai titik mula kepada usaha menawan Selangor.

Pada PRN Selangor sebelum ini Pakatan Harapan (PH) kekal memerintah selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Manakala PAS yang bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menang di 22 DUN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-