Wednesday, March 13, 2024

'Penyatuan ummah perlu libatkan parti Melayu-Islam termasuk Amanah'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Mar 13, 2024 6:03 PM
Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan sikap terbukanya dan tidak menolak sekiranya berlaku penyatuan antara parti-parti berteraskan Melayu-Islam di masa depan termasuk dengan parti serpihan PAS iaitu Amanah.

"Pada saya kita perlu menjadi sangat dinamik dalam berpolitik dalam negara ini.

"Tidak ada dalam politik ini bermusuh selama-lamanya, atau tidak ada (jadi) rakan selama-lamanya," katanya dalam podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.

Dalam podcast itu menteri besar Terengganu antara lain ditanya pandangannya sama ada permusuhan PAS dan Amanah itu boleh dijernihkan pada masa depan.

Amanah ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin kanan PAS yang ditolak beramai-ramai dalam pemilihan parti pada 2015. Ia diterajui oleh Mohamad Sabu yang juga bekas timbalan presiden PAS.

Ummah itu siapa?

Sementara itu, Ahmad turut ditanya mengenai punca kegagalan Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan Umno dan kerjasama antara parti-parti politik Melayu-Islam termasuk dengan Amanah.

"Kita bercakap tentang penyatuan ummah, ummah itu siapa? Bukan Umno saja, Bersatu pun. Kita faham Umno (ketika itu) ada sentimen yang lain terhadap Bersatu. .

"Saya ingat lagi pada waktu itu rakan-rakan dalam Umno pun tanya kalau Amanah bersama kita, saya kata boleh, pemimpin (PAS) lain pun kata OK kalau mereka meninggalkan DAP kita boleh terima," jelasnya.

Ahmad Samsuri berkata, apa yang penting (dalam politik) adalah membuat keputusan berdasarkan apa yang betul sebaliknya bukan berdasarkan sentimen.

"Pada saya apa yang betul adalah sepatutnya termasuklah Amanah, Umno, parti berasaskan orang Islam-Melayu ini supaya dapat bersama.

"Memang kita tak dapat nafikan maksud bersama itu berbagai-bagai, maksud bersama tidak semestinya bergabung dalam satu parti. Tidak semestinya begitu, yang pentingnya ialah kita bekerjasama. Itu objektif yang tertinggi," jelasnya.

Isu MN dibangkitkan semula selepas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyatakan ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan partinya dengan Umno bagi menghidupkan MN.

Kenyataan Hashim bagaimanapun dibidas Presiden Umno Zahid Hamidi dengan berkata, PAS tidak ikhlas menawarkan kerjasama menghidupkan semula MN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-