Wednesday, March 27, 2024

Selamatkan masa depan bangsa, pesan Zaid kepada ‘Melayu cerdik’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-27 Mar 2024, 06:19 PM

Bekas menteri undang-undang itu mengkritik penjualan 50.2% pegangan dalam Icon Offshore Bhd.oleh entiti Ekuinas kepada syarikat di Singapura.
Tanggungjawab utama ‘golongan Melayu cerdik’ bukanlah menjana hasil untuk kerajaan, tetapi memastikan kepentingan Bumiputera dilindungi untuk jangka masa yang panjang, kata Zaid Ibrahim.

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim menyeru golongan “Melayu cerdik” negara agar menggunakan kedudukan istimewa mereka untuk menyelamatkan masa depan ekonomi bangsa ketika mengkritik pelupusan pegangan mengawal oleh Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) dalam syarikat pembekal kapal sokongan luar pesisir Icon Offshore Bhd.

Dalam catatan di X, Zaid mengkritik penjualan 50.2% pegangan oleh Hallmark Odyssey Sdn Bhd – entiti kegunaan khas Ekuinas – kepada syarikat Singapura, Liannex Maritime Sdn Bhd, pada harga RM172.7 juta.

“(Golongan) Melayu cerdik tidak selalunya menjaga kepentingan orang Melayu biasa. Mereka berkhidmat untuk kelas elit. Mereka berkhidmat demi kepentingan politik pemimpin,” katanya.

“Bagaimana hendak dijelaskan pelupusan pegangan mengawal (oleh) Ekuinas dalam Icon Offshore baru-baru ini? Sudah tentulah kepada orang Cina … Adakah anda fikir Ekuinas akan melupuskan pegangan strategik dalam sektor tenaga tanpa restu politik?”

Zaid berkata, tanggungjawab utama “golongan Melayu cerdik” bukanlah menjana hasil untuk kerajaan, tetapi untuk memastikan kepentingan Bumiputera dilindungi untuk jangka masa yang panjang.

“Khazanah (Nasional Bhd) dan entiti lain telah mula menjual; nampaknya, ia langkah yang cermat,” katanya.

“Jika anda gagal mengukuhkan kepentingan Bumiputera, pada dasarnya anda telah mengkhianati kepercayaan orang Melayu. Ahli politik akan bermain politik dengan kepentingan Melayu, tetapi anda mempunyai tugas yang lebih murni” katanya.

Beliau mungkin merujuk kepada khabar angin yang dilaporkan oleh Malaysiakini bahawa Khazanah akan menjual 32.67% pegangannya dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang telah dinafikan oleh jurucakapnya.

Khazanah ialah pemegang saham terbesar dalam MAHB, manakala Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mempunyai 7.06% kepentingan ekuiti dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

The Edge baru-baru ini melaporkan bahawa Khazanah, KWSP dan Global Infrastructure Partners, yang berpangkalan di New York, difahamkan akan membentuk konsortium untuk memiliki dan mengendalikan MAHB, yang kini menguruskan 39 lapangan terbang di seluruh negara, serta satu lapangan terbang antarabangsa di Turki.

Zaid juga berkata, majoriti orang Melayu sama ada “kekurangan modal atau pendidikan yang sempurna, (dan mempunyai) etika kerja yang kurang optimum”.

“Mereka boleh menjadi mangsa kelas politik yang tidak bertanggungjawab. Mereka masih menanggung akibat pemerintahan feudal bertahun-tahun lamanya. Namun, misi anda adalah untuk membantu mereka, tidak kira betapa sukarnya (tugas itu),” katanya.

“Jika sampai pekerjaan anda terkorban, tak apalah. Anda adalah benteng terakhir untuk membantu bangsa sendiri. Jika orang Melayu yang cerdik pandai terlalu lemah (atau terlalu tamak) untuk mempertahankan kepentingan sah rakyat, maka tiadalah harapan untuk lebih ramai di luar sana.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-