Sunday, June 16, 2024

Ketepi ego, kembali pada Umno jika mahu terus kerjaya politik, kata penganalisis

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
-16 Jun 2024, 08:45 AM

Mazlan Ali dan Azmi Hassan berkata KJ dan Shahril Hamdan perlu berjuang dalam Umno memandangkan ia platform terbaik bagi mereka.
(Dari kiri) Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Hishammuddin Hussein berkemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno, kata penganalisis.

PETALING JAYA: Ahli dipecat atau digantung keahlian yang tidak kritikal kepada Umno perlu dialukan semula menyertai parti itu, kata penganalisis.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata ahli digantung mahupun dipecat ketika ini terpecah dua kumpulan – satu menyendiri, selain sudah menyertai seteru Umno.

Beliau memberi contoh individu seperti Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan, sebagai menyendiri, walaupun mereka kelihatan ‘proaktif’ dalam politik, menerusi hos bersama dalam audio siar.

Pada Januari 2023, Umno memecat bekas ketua Pemuda, Khairy, dan menggantung bekas ketua penerangan, Shahril, selama enam tahun.

“Kumpulan lain adalah yang menentang Umno dengan menyertai Perikatan Nasional terutama PAS. Mereka mungkin tidak ingin kembali kepada Umno,” katanya kepada FMT.

Antara personaliti dipecat Umno dan menyertai PAS adalah bekas setiausaha agung Barisan Nasional, Annuar Musa, dan bekas menteri wilayah persekutuan, Shahidan Kassim.

Mazlan berkata, beliau menjangkakan Khairy dan Shahril kembali kepada Umno pada masa depan, memandangkan presiden, Zahid Hamidi telah menstabilkan parti. Katanya, ‘tiba masa untuk mereka kembali dan mengukuhkan parti”.

“Mereka ini masih sayang kepada parti dan saya beranggapan tidak salah bagi Zahid menerima mereka kembali,” katanya sambil menyatakan mereka yang dipecat atau digantung mesti berfikiran terbuka dan memikirkan masa depan politik masing-masing.

Bulan lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Jalaluddin Alias, berkata parti bersedia menerima kembali pemimpin dan ahli yang disingkirkan selepas PRU15, khususnya jika mereka masih setia dan sealiran dengan perjuangan.

Dalam pada itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata ahli Umno dipecat atau digantung yang masih ingin meneruskan kerjaya politik sepatutnya mengetepikan ego masing-masing, termasuk juga Khairy.

“Saya rasa Khairy dan Shahril akan kembali kerana Umno menjadi platform terbaik bagi mereka. Hishammuddin Hussein, yang ‘low profile’ sejak penggantungan, berkemungkinan akan kembali,” katanya merujuk bekas naib presiden digantung enam tahun.

Bagaimanapun, beliau tidak menjangka bekas ahli MKT, Isham Jalil akan menyertai semula Umno memandangkan beliau telah ‘menyeberang jambatan’.

“Isham kritikal kepada Umno sejak disingkirkan dan juga mula muncul di pentas seteru Umno,” katanya.

Isham dipecat pada Disember kerana melanggar etika parti, termasuk gagal mematuhi arahan parti. Beliau dipecat di tengah-tengah kritikan terhadap Umno kerana berterusan bekerjasama dengan DAP.

Bulan lalu, Isham berkata beliau tidak berhasrat kembali kepada Umno kerana parti itu menyimpang daripada matlamat asal.

Rephrase with Ginger (Ctrl+Alt+E)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-