Sunday, July 28, 2024

BN Perak sasar minimum 18 kerusi pada PRU-16 menerusi kerjasama dengan DAP

hmetro.com.my
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my
Saarani Mohamad. FOTO arkib NSTP

Sungai Siput: Barisan Nasional (BN) Perak menyasarkan bertanding di sekurang-kurangnya 18 kerusi di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) menerusi kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jumlah minimum yang diletakkan itu selepas mengambil kira sikap DAP sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan yang dilihat akan bertolak ansur berbanding jika kerjasama dijalin dengan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, tiada peluang dilihat untuk BN bertanding di kerusi yang ketika ini disandang oleh wakil rakyat dari PN pada PRU-16 nanti, khususnya apabila sesuatu kawasan Parlimen seperti Larut dimenangi PN di samping tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya juga dimenangi wakil rakyat PN.

Katanya, bagi sebilangan kerusi seperti kawasan DUN Pengkalan Hulu, DUN Kenering serta kawasan Parlimen Padang Rengas, kebarangkalian besar DAP tidak ingin bertanding kerana majoriti pengundi adalah Melayu.

"Kalau saya bergabung dengan PN (dulu), pilihan raya nanti agak-agak berapa kerusi dia nak bagi BN? Taubat dia tak bagi. (DUN) Batu Kurau, Selama, Kubu Gajah yang berada dalam Parlimen Larut, semuanya PN. Agak-agak PRU-16 nanti siapa yang nak bertanding di situ?

"PN, pertamanya dia tidak beri (tawaran) apa-apa jawatan kepada saya, serta 'no Exco' (sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan Perak). Dulu pun (ketika negara diterajui PN) berebut jawatan sampaikan dalam satu kampung ada tiga ketua kampung. Jadi kita tak dapat apa-apa.

"Maka pilihan raya akan datang kalau saya bersama dengan PN, Umno hanya boleh bertanding dua kawasan parlimen saja di Perak iaitu Lenggong dan Bagan Datuk, dan hanya lapan DUN saja Umno boleh bertanding. Jadi bungkus awal, tutup kedai awal.

"Tetapi sekurang-kurangnya bila bersama dengan PH di sebelah Lenggong, saya kalah satu kerusi kepada Pas, takkan DAP nak bertanding di DUN Kenering? Takkanlah DAP nak berlawan di Pengkalan Hulu dan takkanlah DAP nak bertanding di Padang Rengas?

"Jadi sekurang-kurangnya BN masih ada dan boleh bertanding paling kurang, 18 kerusi lagi kalau kita bersama dengan PH. Yang tu kena buat keputusan politik," katanya berucap sempena merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Sungai Siput di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) Sungai Siput, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Saarani berkata, orang politik hendaklah bukan saja lantang dan berani namun perlu bijaksana dalam membuat keputusan terbaik untuk parti.

Katanya, pilihan untuk tidak bekerjasama dengan PN awal pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu juga disifatkan langkah tepat terutama apabila mendapat tahu adanya cubaan 'mencuri' empat Adun BN yang dilakukan pihak PN bagi membentuk kerajaan.

Menurutnya, situasi itu juga sebenarnya menampakkan bahawa BN bukanlah 'menumpang' bagi menjadi kerajaan khususnya di Perak, sebaliknya menampakkan BN diperlukan oleh kedua-dua gabungan politik sama ada PN mahupun Pakatan Harapan (PH) biarpun mempunyai jumlah wakil rakyat yang kecil.

"Kedua-dua mereka (PN dan PH) memerlukan kita, mahal orang BN ini. Jadi kita bukan menumpang kerana tanpa kita tiada siapa boleh tubuh kerajaan Perak ketika itu.

"(Jadi) jangan pandang kata BN gila kuasa, dan jangan pandang rendah pada orang yang kurang tinggi," katanya.

Disiarkan pada: Julai 28, 2024 @ 1:59pm
View Synonyms and Definitions

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-