Sunday, July 28, 2024

'Mereka dahaga nak jadi kerajaan semula... pelbagai kaedah dilakukan', tempelak Zahid

bharian.com.my
Oleh Muhamad Lokman Khairi 
bhnews@bh.com.my
Julai 28, 2024 @ 2:46pm
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - Foto BERNAMA

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mendedahkan parti pembangkang mana yang menghantar wakil bagi berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, pihak terbabit sanggup melakukan pelbagai kaedah kerana 'dahagakan' untuk menjadi kerajaan semula.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri itu berpandangan kerajaan Perpaduan sedia ada mesti diperkukuhkan, selain menyerahkan keputusan penting berkaitan langkah politik seterusnya kepada kepemimpinan utama kerajaan.

"Mereka pernah berada dalam kerajaan, kini mereka pembangkang, mereka dahaga nak jadi kerajaan semula... pelbagai kaedah dilakukan.

"Saya serahkan kepada kepemimpinan utama kerajaan untuk tentukan apa langkah selanjutnya sesuatu yang menguntungkan kita atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk, di Sungai Sumun, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada wakil parti pembangkang terbabit ada kaitan dengan khabar angin kononnya PAS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Pada 23 Jun lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, parti itu tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan PH-BN sebagaimana dakwaan yang tular ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap bulan lalu.

Beliau dipetik berkata, tiada sebab wujudnya perbincangan antara parti itu dengan Kerajaan Perpaduan sedangkan mereka tetap dengan pendirian bahawa tidak akan bersama mendukung kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun semalam, Ahmad Zahid dilaporkan mengakui terdapat wakil parti politik pembangkang yang mahu berjumpa beliau dan Anwar untuk berunding membentuk kerjasama dalam PRU akan datang, namun beliau masih lagi belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil daripada parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyifatkan percubaan wakil parti pembangkang terbabit sebagai 'ada udang di sebalik batu'.

"Kita dalam politik mesti ada keterbukaan, tetapi kita tahu bahawa ada tujuan tersirat yang kita baca daripada awal.

"Jadi elok kita perkukuhkan penyatuan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan, bagaimana kita menghadapinya bergantung kepada acuan politik masing-masing... yang penting kerajaan yang ada diperkukuhkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-