Friday, July 19, 2024

Kerjasama Umno-PAS mesti dalam kerangka kerajaan perpaduan, kata Khairuddin

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
19 Jul 2024

Bekas pemimpin PAS Khairuddin Aman Razali berkata PAS juga perlu mewujudkan suasana yang kondusif dengan Umno.
Umno dan PAS sebelum ini pernah bekerjasama di bawah Muafakat Nasional selepas PRU14.

PETALING JAYA: Seorang bekas pemimpin PAS berkata kerjasama antara parti itu dengan Umno hendaklah termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan hari ini.

Bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS Khairuddin Aman Razali berkata PAS juga perlu mewujudkan suasana yang kondusif dengan Umno sebelum kembali menjalinkan kerjasama sepertimana pembentukan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini.
Khairuddin Aman Razali.
Katanya, Umno ketika ini mengambil sikap berhati-hati dengan PAS kerana tidak mahu pengalaman pahit seperti mana yang berlaku pada PRU15 lalu berulang lagi.

“Keputusan semasa Umno seperti yang ditegaskan oleh Presiden Zahid Hamidi dan didukung oleh MKT adalah pendirian berhati-hati.

Ini susulan pengalaman pahit rundingan rasmi lapan mata antara presiden dan timbalan presiden Umno dan PAS sebulan sebelum PRU15 yang tidak dihormati, katanya kepada FMT.

Khairuddin yang merupakan timbalan pengerusi Majlis Ulama Umno berkata sebelum rundingan baharu kerjasama dilakukan, PAS perlu bersedia mewujudkan suasana kondusif dengan memperkasakan hubungan bersama Umno terlebih dahulu yang pernah dibuat sebelum PRU14.

“Hubungan dua parti (PAS-Umno) ini juga hendaklah termasuk dalam kerangka kerajaan perpaduan hari ini.

Kerjasama politik antara Umno dan PAS hendaklah menurut strategi dan situasi semasa yang menguntungkan Islam dan negara serta meraikan kepentingan semua pihak dari kedua parti, katanya.

Khairuddin semasa memegang jawatan setiausaha Majlis Syura Ulama PAS antara tokoh yang kuat mahu kerjasama PAS-Umno diteruskan, sebelum beliau dipecat daripada jawatankuasa itu dan akhirnya bertindak keluar parti.

Sebelum ini, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Isham Jalil berkata parti itu perlu memutuskan segera sama ada untuk bersama Pakatan Harapan (PH) atau bertanding solo dengan menggabungkan semula kekuatan parti Melayu Islam menerusi MN.

Isham berkata objektif utama sebelum PRU16 adalah untuk mengembalikan MN supaya parti Melayu Islam iaitu PAS, Bersatu, dan Umno bergabung untuk mencapai kemenangan.

Zahid bagaimanapun ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar pada 8 Julai lalu memaklumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Abdul Hadi Awang menjadi presiden.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-