Sunday, July 21, 2024

'Qunut Nazilah ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza kenapa ada yang terasa' - Wan Ahmad Fayhsal

bharian.com.my
Oleh Essa Abu Yamin 
essabuyamin@bh.com.my
Julai 21, 2024 @ 1:57pm
Reaksi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika mendengar usul tentang penggantungan beliau daripada sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Julai lalu di Bangunan Parlimen, pada 18 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, menafikan Qunut Nazilah yang dibacakan oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, ditujukan kepada pemimpin kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, doa yang dibacakan itu ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza, Palestin seperti syarikat BlackRock.

"Saya ada di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, membacakan Doa Qunut Nazilah.

"Beliau tidak tujukan kepada kerajaan Perpaduan, apatah lagi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan memandang serius mengenai bacaan Qunut Nazilah oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, doa itu adalah bersifat umum dan tidak khusus kepada seteru politik seperti didakwa menteri berkenaan dan turut mempersoalkan mengapa menteri terbabit terasa dengan doa yang dibacakan berkenaan.

"Ingat prinsip usul fiqh dalam membuat penghakiman: al-hukm 'ala shay' far'un 'an tasawwurihi (membuat hukum ke atas sesuatu perkara mestilah dibuat selepas mendapat gambaran penuh tentang perkara itu.

"Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan!", katanya.

Kelmarin, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan bacaan doa itu sebagai satu dasar politik yang melampau dan harus ditolak biar pun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, perbuatan membaca Qunut Nazilah terhadap musuh politik juga tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

"Semalam (Khamis lalu) Ahli Parlimen Jasin (Zulkifli) membaca Qunut Nazilah terhadap lawan politiknya. Ini bukannya akhlak politik Islam, jauh sekali hendak kata ini ajaran Islam.

"Dibacakan dalam Dewan Rakyat, jelas beliau (Zulkifli) cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen," katanya ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin.

Khamis lalu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA BERSATU digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan qunut nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) dalam satu kenyataan menasihatkan masyarakat supaya mengelak membaca qunut nazilah ke atas mana-mana orang Islam kerana ia dikhuatiri akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.

Katanya, ia kerana bacaan doa itu ke atas orang Islam, sama ada musuh atau lawan sesama muslim tidak dibolehkan dalam apa-apa juga keadaan.

Selain itu, katanya, perbuatan sama tidak dibolehkan sekiranya Qunut Nazilah dibacakan ke atas orang Islam semata-mata kerana perselisihan faham atau pandangan yang biasa berlaku dalam politik dan seumpamanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-