Showing posts with label Malaysia Airports Holdings Berdad (MAHB). Show all posts
Showing posts with label Malaysia Airports Holdings Berdad (MAHB). Show all posts

Thursday, February 13, 2025

ULASAN | Kerajaan indah khabar dari rupa

malaysiakini.com
Rafique Rashid
Diterbitkan: Feb 13, 2025 9:30 PM
ULASAN | Minggu lepas dua perkara penting berlaku. Pertama keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke luar negara bagi menjalani rawatan mulai 7 Februari 2025. Kedua Mesyuarat Raja-Raja(MRR) Ke-268 di Istana Negara pada 5 dan 6 Februari 2025.

Perlu ditekankan bahawa keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ini telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.

Malaysia mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen berasaskan rule of law dan keluhuran perlembagaan.

Berdasar prinsip ini adalah amat penting untuk kita memperhalusi undang-undang bagi situasi ketika Yang di-Pertuan Agong tidak berada di dalam Persekutuan.

Perkara 33 Perlembagaan Persekutuan menyatakan tugas dan hal fungsi Timbalan Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yakni Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Yang jelas adalah apabila Yang di-Pertuan Agong berada di luar Persekutuan selama lebih dari lima belas hari, maka tugas menjalankan fungsi dan menggalas keistimewaan Yang di-Pertuan Agong adalah Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perkara 33 juga jelas menyatakan ketika Timbalan Yang di-Pertuan Agong boleh juga jika Baginda "is satisfied" (berpuas hati), "it is necessary or expedient” (adalah perlu atau suai manfaat) untuk menjalankan fungsi Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang lebih pendek dari 15 hari yang dinayatakan sebelum ini.

Jelas perkara ini penting untuk difahami semua pihak.

Keperluan makin menekan

Malaysia kita sedia maklum mengamalkan sistem kerajaan perlu memaklum serta menasihatkan isu-isu pelbagai kepada Yang di-Pertuan Agong.

Setiap hari Rabu (Jumaat sekiranya Parlimen bersidang), Ketua Eksekutif/Perdana Menteri akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memberi ringkasan isu-isu berkaitan pentadbiran, ekonomi, sosial serta perkara-perkara penting.

Keperluan ini akan makin menekan dalam keadaan timbulnya pelbagai isu hari ini. Ekonomi yang tidak menentu, kesan harga barangan yang naik, aliran keluar bersih dana asing dari Bursa Malaysia buat minggu ke-17 berturut-turut, beras putih yang menjadi bualan hangat, isu membabitkan Islam dan orang Melayu, pilihan KWSP untuk menjual saham-saham MAHB pada harga rendah dan membeli balik pada harga tinggi yang membabitkan hampir 16.1 juta pencarum, tender-tender bagi perolehan kerajaan yang didakwa tidak memenuhi tatakelola, tarif elektrik yang didakwa hanya babitkan sektor perindustrian dan mahakaya, selain keadaan rakyat yang masih cuba menahan kesan kenaikan diesel dan pelbagai perkara lagi.
Selain itu, perlu diingatkan bahawa pelbagai pelantikan bagi jawatan-jawatan penting perlu diisi yang mana nasihat perdana menteri dan/atau perundingan Majlis Raja-Raja perlu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dalam jangka masa beberapa bulan ini, jawatan-jawatan penting dalam badan kehakiman serta pasukan polis perlu diisi segera. Ia penting agar badan-badan yang bertindak selaku benteng kepada rakyat dapat berfungsi selaras undang-undang.

Tugas kerajaan persekutuan adalah untuk mentadbir secara betul dan menurut lunas undang-undang. Ini termasuk menasihatkan institusi Yang di-Pertuan Agong mengenai fungsi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Majlis Raja-Raja Melayu juga berhak menerima taklimat dengan maklumat yang sahih dari pihak-pihak yang berkenaan mengenai keadaan negara. Disebabkan itulah apabila Majlis Raja-Raja bersidang, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, dan Panglima Angkatan Tentera akan hadir bagi menghuraikan apa sahaja persoalan.

Ia amat penting untuk difahamkan bahawa setiap pihak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk rakyat.

Beri gambaran yang betul


Rakyat mesti diperjelaskan mengenai saranan atau teguran atau pemberitahuan dari Majlis Raja-Raja setiap kali adanya persidangan.

Ini adalah untuk memastikan ketelusan dari semua pihak.

Tanpa perkara ini berlaku, mana-mana Kerajaan Persekutuan akan melakukan apa sahaja untuk kelihatan baik, walaupun keadaan sebenarnya tidak sedemikian rupa.

Sehingga kini Istana Negara mahupun Majlis Raja-Raja belum membuat apa-apa pemakluman sama ada isu-isu yang dibangkitkan atau dibincangkan serta dirasai oleh rakyat ini disembah maklum oleh kerajaan persekutuan.

Kerajaan persekutuan pula seharusnya memainkan peranan memberi nasihat dan gambaran yang betul.

Jika tidak, maka kerajaan persekutuan gagal mengurus negara dengan baik dan wajar diberi amaran.

Di media sosial nampaknya kerajaan banyak dikritik. Ini tidak salah kerana lagi sekali undang-undang membenarkannya selagi mana menurut batasan.

Rakyat menanti kerana kerajaan ini, indah khabar dari rupa.

RAFIQUE RASHID merupakan ketua penerangan Pejuang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Thursday, January 23, 2025

‘Siap bawa anjing lagi’: Layanan terhadap NGO?

harakahdaily
January 23, 2025

Serahan memorandum bantahan pengambilalihan saham MAHB
Syed Hassan (tengah) ketika ditemui media di pekarangan Pejabat Korporat MAHB, di sini hari ini.

SEPANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam kecewa selepas pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) tidak menghantar pegawai yang bersesuaian bagi menerima memorandum bantahan penjualan saham syarikat itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, MAHB seharusnya menghantar pegawai komunikasi korporat dan bukannya pengurus kanan keselamatan.

“Ini merupakan kebiadaban yang sangat menjijikkan dalam kalangan orang Melayu. Mereka dapat tempat di dalam itupun kerana orang Melayu.

“Tapi orang-orang inilah yang menghina orang Melayu sendiri. Dia tak berani nak berdepan dengan orang Melayu, dia tak berani nak berdepan dengan NGO,” bidasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di luar pekarangan Pejabat Korporat MAHB, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa dan Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah dan Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Zainol Talib.

Tambah Syed Hasan, perkara yang lebih mengecewakan ialah apabila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar Unit Pengesan (K9) bagi mengawal keadaan di sekitar lokasi.

“Mereka siap bawa anjing lagi, bawa anjing polis. Hanya beberapa orang sahaja yang datang. Inilah nasib orang Melayu. Dibiarkan kami kepanasan. Apa salahnya kalau dah tahu kami datang, bawa empat atau lima orang masuk dan berjumpa dengan pegawai yang ada.

“Belum lagi orang Melayu hilang kuasa, belum lagi Zionis ‘control’ lapangan-lapangan terbang negara,” tempelak beliau terhadap layanan sedemikian.

Justeru, satu tarikh baharu akan ditetapkan oleh pihak NGO Melayu Islam bagi menghantar memorandum bantahan tersebut kepada pihak MAHB. 

Sunday, August 4, 2024

Hassan: Tak elok sangka buruk, dengar dulu ucapan Anwar malam ini

malaysiakini.com
Isabelle Leong
Diterbitkan: Aug 4, 2024 4:50 PM
Wakil rakyat PKR Hassan Abdul Karim tampil membela Perdana Menteri Anwar Ibrahim selepas kerajaan pimpinannya dituduh "tidak jujur" dalam membela Palestin.

Penganjur gerakan solidariti global pembebasan Palestin malam tadi menggesa Anwar untuk menamatkan kepura-puraan kerana perdana menteri masih belum membatalkan perjanjian mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) walaupun lantang mengenai pembunuhan pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim memberitahu Malaysiakini keyakinannya terhadap pendirian dan komitmen Anwar dalam menentang pencerobohan tentera Israel terhadap Palestin sejak awal lagi.

“Biar dia bercakap (di perhimpunan ‘Himpunan Pembebasan Palestin’) malam ini sebagai pemimpin kita.
"Tak elok buat sangkaan (buruk) terhadap dia," katanya kepada Malaysiakini.

Anwar juga akan menyampaikan ucapan pada perhimpunan “Himpunan Pembebasan Palestin” yang diadakan di Axiata Arena di Bukit Jalil malam ini.

Semalam, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa penyokong pro-Palestin memboikot perhimpunan kerajaan pada malam ini.

"Kerana mereka buat lain cakap lain," katanya.
Menurut ahli parlimen Machang itu kerajaan hipokrit menunjukkan solidariti dengan Palestin apabila ia masih meneruskan penjualan MAHBshares kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

Sementara itu, Hassan berkata perhimpunan malam ini menunjukkan sokongan progresif dan tidak berbelah bahagi Anwar terhadap Palestin.

Bagaimanapun Hassan mengingatkan Anwar bahawa "tindakan konkrit bercakap lebih kuat daripada kata-kata, slogan, teriakan atau perhimpunan politik."

“Saat kebenaran bagi Anwar, jika beliau serius untuk membela Palestin - terutamanya selepas pembunuhan Ismail - adalah untuk membatalkan penjualan saham MAHB kepada GIP, yang dikawal oleh Blackrock.
“Sila buat pengumuman penting malam ini kepada dunia kerana rakyat Malaysia bersolidariti dengan perjuangan Palestin,” tambahnya.

Pengambilalihan itu merujuk kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak selepas Blackrock yang dianggap sebagai sebuah syarikat berkait dengan Israel, sedang mengambil alih GIP.

GIP akan mempunyai kepentingan berkesan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu berjaya.

Anwar sebelum ini mempertahankan keputusan itu, berkata ekonomi Malaysia akan terjejas jika ia membatalkan hubungan dengan semua syarikat yang didakwa berkaitan Israel.

Thursday, August 1, 2024

Batalkan perjanjian MAHB-GIP, kata Hassan Karim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 1, 2024
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mahu kerajaan membatalkan perjanjian Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) selepas pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen PKR itu berkata Malaysia mesti menghentikan sebarang bentuk kerjasama secara langsung atau tidak langsung dengan entiti yang berkait rapat dengan rejim Zionis.

“Dalam masa masyarakat Malaysia berkabung dan bersedih dengan gugurnya Ismail Haniyeh maka adalah wajar Malaysia membatalkan penjualan sebahagian besar saham MAHB sebuah syarikat strategik negara kita kepada Global Infracture Partners (GIP) yang dikuasai oleh BlackRock,” katanya.

Bagaimanapun, GIP akan mempunyai pegangan sebanyak 25 peratus dalam MAHB jika perjanjian itu dilaksanakan.

Perjanjian itu merujuk kepada kontroversi yang bermula pada 15 Mei apabila Khazanah Nasional Berhad mendedahkan bahawa Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi dan GIP, melalui GIP Aurea Pte Ltd, akan membentuk konsortium untuk memperoleh saham dalam syarikat pengendali lapangan terbang itu.

Keputusan tersebut mengundang kritikan daripada pelbagai pihak selepas mendapati Blackrock, sebuah syarikat yang dianggap mempunyai hubungan dengan Israel, memperoleh GIP.

Semalam, Ismail dibunuh di kediamannya di Tehran, Iran.

Al Jazeera melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) sebagai berkata bahawa Ismail telah dibunuh bersama seorang pengawal peribadinya dan republik itu telah melancarkan siasatan ke atas perkara itu.

Dalam kenyataannya, Hassan berkata bahawa rakyat dunia bertanggungjawab melaksanakan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang menurutnya memutuskan bahawa penjajahan Israel ke atas bumi Palestin termasuk Gaza dan Tebing Barat adalah haram kerana melanggar undang-undang antarabangsa.

Keputusan pada 19 Julai oleh Presiden ICJ Nawaf Salam, adalah penting supaya kematian rakyat Palestin di Gaza tidak menjadi sia-sia, kata Hassan.

“Saya menyeru kerajaan Malaysia khususnya supaya menggerakan inisiatif dinamik diplomatik antarabangsanya ke arah kemerdekaan sebuah negara Palestin yang berdaulat,” katanya.

Pendirian rasmi kerajaan terhadap perang Palestin-Israel adalah untuk penyelesaian dua negara, yang melibatkan penubuhan negara Palestin bersama negara Israel.

[Baca berita penuh]

Sunday, July 21, 2024

'Qunut Nazilah ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza kenapa ada yang terasa' - Wan Ahmad Fayhsal

bharian.com.my
Oleh Essa Abu Yamin 
essabuyamin@bh.com.my
Julai 21, 2024 @ 1:57pm
Reaksi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ketika mendengar usul tentang penggantungan beliau daripada sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Julai lalu di Bangunan Parlimen, pada 18 Julai lalu.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, menafikan Qunut Nazilah yang dibacakan oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, ditujukan kepada pemimpin kerajaan.

Sebaliknya beliau berkata, doa yang dibacakan itu ditujukan kepada penyokong genosid di Gaza, Palestin seperti syarikat BlackRock.

"Saya ada di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail, membacakan Doa Qunut Nazilah.

"Beliau tidak tujukan kepada kerajaan Perpaduan, apatah lagi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul atau Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang dilaporkan memandang serius mengenai bacaan Qunut Nazilah oleh pihak pembangkang di Dewan Rakyat berkenaan.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, doa itu adalah bersifat umum dan tidak khusus kepada seteru politik seperti didakwa menteri berkenaan dan turut mempersoalkan mengapa menteri terbabit terasa dengan doa yang dibacakan berkenaan.

"Ingat prinsip usul fiqh dalam membuat penghakiman: al-hukm 'ala shay' far'un 'an tasawwurihi (membuat hukum ke atas sesuatu perkara mestilah dibuat selepas mendapat gambaran penuh tentang perkara itu.

"Nampaknya Menteri Dalam Negeri ini cepat bersangka buruk dalam soal ini. Jangan risau kami bukan Khawarij seperti yang kamu cuba momokkan!", katanya.

Kelmarin, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR menyifatkan bacaan doa itu sebagai satu dasar politik yang melampau dan harus ditolak biar pun terdapat perbezaan fahaman politik antara kerajaan dan pembangkang.

Katanya, perbuatan membaca Qunut Nazilah terhadap musuh politik juga tidak menggambarkan akhlak politik Islam.

"Semalam (Khamis lalu) Ahli Parlimen Jasin (Zulkifli) membaca Qunut Nazilah terhadap lawan politiknya. Ini bukannya akhlak politik Islam, jauh sekali hendak kata ini ajaran Islam.

"Dibacakan dalam Dewan Rakyat, jelas beliau (Zulkifli) cuba berselindung di sebalik imuniti Parlimen," katanya ketika sidang media di Kementerian Dalam Negeri (KDN), kelmarin.

Khamis lalu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua ARMADA BERSATU digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana membangkitkan surat layang ketika perbahasan, dengan diiringi bacaan qunut nazilah oleh sebahagian Ahli Parlimen pembangkang lain.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) dalam satu kenyataan menasihatkan masyarakat supaya mengelak membaca qunut nazilah ke atas mana-mana orang Islam kerana ia dikhuatiri akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrim dan melampau dalam agama.

Katanya, ia kerana bacaan doa itu ke atas orang Islam, sama ada musuh atau lawan sesama muslim tidak dibolehkan dalam apa-apa juga keadaan.

Selain itu, katanya, perbuatan sama tidak dibolehkan sekiranya Qunut Nazilah dibacakan ke atas orang Islam semata-mata kerana perselisihan faham atau pandangan yang biasa berlaku dalam politik dan seumpamanya.

Thursday, July 18, 2024

Dewan Rakyat lulus usul gantung 6 bulan Wan Fayhsal

freemalaysiatoday.com
Mohd Farhan Darwis
18 Jul 2024, 02:08 PM

Usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu diluluskan melalui undi belah bahagi menyaksikan 110 Ahli Parlimen menyokong, 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menggantung Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada 1 Jul lalu.

Usul menggantung ketua Pemuda Bersatu itu dibuat melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 110 Ahli Parlimen menyokong, 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi dan 46 tidak hadir.

Sebelum keputusan itu dibuat, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Mohd Azli Yusof (PH-Shah Alam) dibenarkan berbahas oleh Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Menteri di Jabatan Perdana (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said ketika membentangkan usul itu berkata Dewan Rakyat memandang serius kenyataan Wan Fayhsal berhubung surat layang yang telah tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.

Menurutnya, Wan Fayhsal yang ketika itu membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 di Dewan Rakyat telah menamakan seorang pegawai dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai dalang.

Katanya, perbuatan itu telah memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu didakwa tetapi juga secara umum pegawai agensi di bawah kementerian yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

“Dalam perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan selain kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

Bahawa dakwaan Machang adalah satu perbuatan seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai-pegawai agensi di bawah kementerian yang telah bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia, katanya.

Wednesday, July 3, 2024

Akar umbi Umno tak senang penyasaran subsidi diesel, penswastaan MAHB

freemalaysiatoday.com
Sean Augustin
-03 Jul 2024, 09:30 AM

Rasa tidak puas hati akar umbi Umno ini dikhuatiri akan merugikan gabungan perpaduan pada PRK kelak.
Presiden Umno Zahid Hamidi (kanan) menganggap bantahan timbalannya, Mohamad Hasan, terhadap penjualan saham MAHB kepada GIP sebagai sekadar pandangan peribadi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Akar umbi Umno tidak senang dengan keputusan kerajaan berhubung penyasaran subsidi diesel dan penswastaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menurut seorang pemimpin parti.

Sumber yang enggan namanya disiarkan itu berkata, rasa tidak puas hati itu disampaikan oleh pemimpin bahagian dalam sebuah acara tertutup pada Isnin untuk menjelaskan dua isu itu.

Menurut sumber, akar umbi berpandangan, penyasaran subsidi diesel yang dilaksanakan mulai 10 Jun itu sepatutnya ditangguhkan.

“Malah seorang pemimpin Umno yang sangat lantang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi diesel belum patut dilaksanakan,” kata sumber itu kepada FMT.

Putrajaya sebelum ini mempertahankan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung dengan alasan mekanisme yang menggantikan subsidi pukal itu akan menjimatkan RM4 bilion setahun untuk kerajaan.

Pada hari sama, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh menyatakan sokongan pihaknya terhadap tindakan itu. Menurutnya, perkara ini telah dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) ketika ia memerintah.

“Jelas (daripada acara pada Isnin) bahawa akar umbi dan kepimpinan tidak berkongsi sentimen yang sama mengenai isu ini,” kata sumber itu.

Kata sumber itu lagi, akar umbi juga tidak berpuas hati dengan cadangan menswastakan MAHB yang dihujani kritikan disebabkan penglibatan sebuah syarikat didakwa mempunyai kaitan dengan Israel.

Bulan lepas, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertahankan keputusan kerajaan membenarkan Global Infrastructure Partners (GIP) memegang saham dalam MAHB.

Firma pelaburan BlackRock, yang berpangkalan di New York City, sedang dalam proses memperoleh GIP menerusi perjanjian berbilion dolar yang dibuat awal tahun ini.

Pengkritik pelan penswastaan MAHB, termasuk Pemuda Umno, menentang penyertaan GIP atas alasan BlackRock ‘mengaut keuntungan daripada genosid’ melalui kepentingannya dalam beberapa syarikat pertahanan Amerika Syarikat yang didakwa mengeluarkan senjata digunakan oleh Israel.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sejak itu berkata, pendirian parti konsisten dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang mempertahankan usaha penswastaan itu.

Timbalan Zahid, Mohamad Hasan bagaimanapun mendakwa, ramai menteri parti menentang penjualan saham kepada GIP dan berharap perjanjian itu akan dikaji semula walaupun sudah berada pada peringkat lanjut.

Menepis komen timbalannya itu, Zahid berkata, ia sekadar pandangan peribadi Mohamad.

Menurut sumber itu, seorang bekas menteri persekutuan turut menyatakan bantahannya terhadap rancangan penswastaan MAHB pada acara Isnin itu.

Sumber itu memberi amaran, rasa tidak senang dalam kalangan akar umbi berhubung dua keputusan itu boleh menjejaskan peluang gabungan perpaduan pada PRK Sungai Bakap dan Nenggiri akan datang.

“Umno akan dilihat sebagai terjejas dan tidak mampu membela orang Melayu. Ada kemungkinan kedua-dua isu ini akan memberi impak kepada pengundi Melayu pada pilihan raya,” kata sumber itu.

Tuesday, June 25, 2024

Blackrock: 'Isu sebenar jual pegangan aset strategik negara'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 25, 2024 5:05 PM
Pembangkang tidak pernah membantah pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka.

Sebaliknya, setiausaha akhbar Menteri Besar Kedah, Muhamad Mat Yakim berkata isu sebenar yang dibantah pembangkang ialah cadangan kerajaan untuk menjual pegangan yang begitu besar dalam Malaysia Airline Holding Bhd (MAHB).

MAHB katanya mengawal 39 lapangan terbang dan dilihat sebagai aset strategik negara.

Dia berkata demikian ketika mengulas cabaran Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa kerajaan Kedah dan Kelantan menutup kilang-kilang milik Blackrock di dua negeri itu.

"Nik Nazmi sudah tentu memahami bahawa sebarang urusan termasuk keputusan dan tindakan dalam pentadbiran adalah berlandaskan tatacara, tatakelola dan undang-undang yang termaktub dalam satu sistem pentadbiran yang konkrit.
"Justeru, tindakan menutup kilang yang sudah diluluskan untuk beroperasi tidak boleh dilakukan begitu sahaja.

"Isu sebenar di sebalik bantahan oleh pembangkang tidak ada kaitan dengan pemilikan ekuiti firma-firma tempatan yang diperolehi oleh Blackrock melalui pasaran terbuka," katanya dipetik portal HarakahDaily.

Katanya, lapangan terbang bagi mana-mana negara termasuk dalam senarai aset strategik.

"Lapangan terbang juga adalah lokasi yang sangat sensitif. Ia adalah pintu masuk dan keluar bagi sesebuah negara melalui perjalanan udara. Ia juga adalah pintu kedaulatan dan keselamatan sesebuah pemerintahan.

"Memberi milikan kepada pihak luar yang jika tidak sampai 30 peratus sekalipun, boleh dikira suatu langkah yang sumbang, apatah lagi dengan ekuiti sebanyak itu yang akan memberikan mereka kuasa mengawal.

"Ia tetap sumbang, pelik, janggal lagi membahayakan jika pihak yang bakal mengambil alih pegangan 30 peratus itu bukan Blackrock sekalipun. Keputusan ini seumpama memberi hak untuk menjaga pintu rumah kita kepada seseorang yang dicurigai," katanya.

Sebelum ini, Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam mencabar PN menutup semua kilang milik Blackrock di Kedah dan Kelantan yang dipimpin oleh pakatan pembangkang.

Nik Nazmi mengkritik pihak yang menurutnya mempolitikkan isu berkaitan Blackrock Inc, dan menyorot bahawa isu itu tidak ditimbulkan ketika PN berkuasa.

"Jadi saya nak cabar kalau ada orang PN yang nak minta kita tidak berurusan dengan mereka (Blackrock) langsung, maka mereka juga kena cepat cepat tutup kilang-kilang tersebut.

“Biar pekerja-pekerja tu hilang kerja. Dan kita boleh bincang,” kata nya semasa kempen PH di Sungai Bakap.

Monday, June 24, 2024

'Isu saham MAHB tak sama dengan kilang berkaitan Blackrock di Kedah, Kelantan'

malaysiakini.com
Zarrah Morden
Diterbitkan: Jun 24, 2024 8:21 PM
Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kewujudan kilang berkaitan Blackrock di Kedah dan Kelantan tidak boleh disamakan dengan perancangan pengambilalihan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).

Menurutnya, pelaburan Blackrock di Malaysia adalah kecil dan bersifat pasif, berbeza dengan rancangan penjualan MAHB yang akan membolehkan Global Infrastructure Partners (GIP) - syarikat yang akan diambilalih Blackrock - memiliki pengaruh dalam pengurusan 39 lapangan terbang di seluruh negara.

"Kerisauan yang kami bangkitkan berkenaan (urus niaga) MAHB adalah atas dasar strategik, melangkaui soal kewangan.

"Ia tentang kemampuan kawalan GIP dan Blackrock ke atas lapangan terbang kita untuk suatu tempoh masa, khususnya apabila berkaitan hal-hal pengurusan dan teknikal lapangan terbang kita," katanya yang juga ketua Pemuda Bersatu kepada Malaysiakini.

Hari ini, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mencabar PN untuk menutup kilang-kilang berkaitan Blackrock di Kedah dan Kelantan - dua negeri yang ditadbir gabungan itu.

Nik Nazmi tidak menyebut secara khusus kilang yang dimaksudkannya, namun Boeing - di mana Blackrock memiliki pegangan di dalamnya - ada kilang di Kedah manakala subsidiarinya, Agnico Eagle Mines ada pegangan dalam sebuah syarikat perlombongan di Kelantan.

Blackrock menjadi tumpuan selepas Khazanah Nasional pada 15 Mei lalu mengumumkan ia akan menubuhkan konsortium dengan Abu Dhabi Investment Authority dan GIP - menerusi GIP Aurea Pte Ltd - untuk membeli saham MAHB.

Pengaruh Amerika Syarikat

Selain kawalan yang bakal diperoleh GIP ke atas lapangan terbang di Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal turut menyuarakan kebimbangan urus niaga itu memiliki kesendengan politik terhadap Amerika Syarikat.

Dia merujuk laporan Reuters pada 6 Jun lalu, berkenaan hasrat Amerika Syarikat untuk meningkatkan pengaruhnya di rantau Asia Pasifik menerusi Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik Bagi Kemakmuran (Ipef), di tengah ketegangan dengan China.

"Kami hanya mahu kerajaan membatalkan urus niaga itu yang boleh melepaskan aspek pengurusan dan teknikal dalam pengurusan lapangan terbang kepada GIP dan Blackrock, yang ditampilkan sebagai pemacu untuk Ipef dalam mendepani Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China di Malaysia dan Asean," katanya lagi.

[Baca berita asal]
View Synonyms and Definitions

Ambil alih MAHB: Pendirian Umno sama dengan PM

freemalaysiatoday.com
Elill Easwaran
24 Jun 2024, 07:32 PM

Presiden Zahid Hamidi berkata komen timbalannya berhubung isu saham MAHB adalah pandangan peribadi.
Presiden Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih MAHB sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Zahid Hamidi berkata pendirian Umno berhubung rancangan ambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) melalui konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah sama dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, komen timbalannya, Mohamad Hasan, semalam yang berharap penjualan saham MAHB kepada syarikat yang dikaitkan dengan firma pelaburan global, BlackRock, dikaji semula adalah ‘pandangan peribadi’.

“Pendirian Umno jelas… sama dengan perdana menteri,” katanya pada sidang media.

“Saya jumpa beliau (Mohamad) malam tadi dan beliau beritahu itu pandangan peribadi.”

Semalam, Mohamad dilapor berkata menteri dari Umno memberikan pandangan bahawa penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) tidak diteruskan, jika boleh, namun akui transaksi itu sudah terlampau maju.

BERITA LANJUT MENYUSUL

Sunday, June 23, 2024

Puad kecam pemimpin berlagak pahlawan sebelum dapat 'keris'

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 23, 2024 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi secara sinis menempelak pihak kerajaan yang mengkritikan pihak tidak bersetuju saham Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) dijual kepada pihak lain.

Katanya, memang ada ramai pemimpin politik yang berlagak seperti pahlawan sebelum PRU ke-14 lalu namun keadaan berubah selepas mereka memiliki kuasa.

"Sebenarnya sebelum PRU ke-14 (2018), ramai berlagak pahlawan. (Mereka kata) akan turunkan harga minyak, harga kereta, harga tol, hapus PTPTN, hapus rasuah dan tender tertutup.

"Mereka berlagak pahlawan sebelum dapat keris (kuasa). Tapi apabila dapat keris, terus masuk sarung," kata Puad di Facebooknya semalam.

Tanpa merujuk atau memetik nama sesiapa, Mohd Puad dipercayai menghalakan kecaman berkenaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang kelmarin menganggap pihak pengkritik dalam isu penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP) sebagai "berpura-pura menjadi pahlawan."

Untuk rekod antara watak yang tidak senang dengan langkah berkenaan ialah Pemuda Umno Malaysia. Menyertai sentimen itu ialah sejumlah ahli politik di luar kerajaan termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Khairy Jamaluddin.

GIP adalah sebuah syarikat yang akan diambil alih oleh Blackrock, sebuah firma pelaburan multinasional yang didakwa membiayai kegiatan genosid di Gaza.

Friday, June 21, 2024

'Syarikat yang ada kepentingan BlackRock beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, seluruh negara serta pasaran saham' - Anwar

bharian.com.my
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi 
bhnews@bh.com.my
- Jun 21, 2024
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Tun Abdul Razak hari ini.

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak sikap pembangkang yang didakwanya mahu menjadi jaguh politik menghasut rakyat dengan terus memainkan isu penyertaan syarikat asing dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Perdana Menteri menegaskan, pentadbirannya hingga kini tetap tegas dengan pendirian untuk tidak membenarkan mana-mana syarikat dari Israel supaya beroperasi di negara ini.

Beliau berkata, bagi syarikat asing yang mempunyai kaitan atau kerjasama dengan negara Zionis itu, Malaysia tidak mempunyai keupayaan untuk membatalkan kehadiran mereka kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan ekonomi negara.

"Saya membuat keputusan batalkan kerjasama dengan semua syarikat Israel yang operasi dari Israel. Baik, bagaimana syarikat (asing) yang ada operasi (ibu pejabat) di Amerika Syarikat (AS), Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya.

"Kita runding dulu dengan GIP (Global Infrastructure Partners). Akhir tahun lalu, BlackRock Inc ambil alih. BlackRock ada operasi ataupun syarikat yang ada kepentingan BlackRock, yang beroperasi di Kelantan, Selangor, Sarawak, di seluruh negara dan di pasaran saham," katanya.

Beliau mengulas demikian ketika ditemui media sebaik selesai solat Jumaat di Masjid Tun Abdul Aziz di sini hari ini.

Anwar menegaskan, kerajaan tidak mahu bertindak ke atas mana-mana syarikat asing yang didakwa mempunyai kaitan sokongannya dengan Israel, kerana langkah itu dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi negara.

"Sementara kita keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin, khususnya di Gaza, kita sedia berdepan dengan siapa saja.

"Tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu syarikat dari Israel saya tetap tegas (tak benarkan operasi di Malaysia). Itu yang saya nak jelaskan," katanya.

Beliau juga terbuka dengan kritikan pembangkang berhubung isu syarikat asing ini, namun pada masa sama mereka harus bersama kerajaan dalam mencari penyelesaian terhadap konflik di Gaza.

"Ada yang kurang bersetuju, tak apa. Ada hak tak bersetuju. Tapi jangan jadikan ini wayang politik untuk menghasut. Bagi tahu saya apa lagi saya boleh buat untuk Gaza. Kalau ada cadangan nak buat apa lagi, boleh.

"Tapi janganlah gunakan ini, kerana orang yang beri lesen kebenaran untuk kapal Israel berlabuh (dulu), sekarang nak jadi jaguh. Saya Tak mahu ungkit benda lalu, sudah-sudahlah. Tapi saya harap kita bersatulah, boleh berbeda, itu soal lain.

"Di (Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)) Sungai Bakap bolehlah lawan, tetapi dalam soal Gaza ini, umat Islam di Malaysia bersatulah. Orang mati. Sakit dan kita cari jalan untuk menyelamatkan. Kalau nak apa yang disebut skor 'political point' ini bukan tempatnya," katanya.

Pemuda Umno soal PM: Kalau tiada Blackrock, adakah MAHB bankrap?

malaysiakini.com
Shamz Johan
Diterbitkan: Jun 21, 2024 7:00 PM
Pemuda Umno Malaysia menyoal kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai ekonomi Malaysia akan terjejas jika kerajaan memutuskan hubungan ke atas semua syarikat berkaitan Israel yang beroperasi di luar negara.

Ketua Pemudanya Akmal Saleh membangkitkan isu kontroversi Global Infrastructure Partners (GIP) konsortium yang mengumumkan tawaran bagi mengambil alih Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

"Kita ada banyak lagi syarikat di luar sana yang ada kepakaran, yang boleh MAHB minta bantuan.

"Saya tak rasa bahawa kalau tiada Blackrock ini, MAHB akan hilang, akan bankrap," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda Umno Malaysia di Menara PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Akmal lagi, langkah kerajaan PH ketika era perdana menteri Mahathir Mohamad yang membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan memansuhkan cukai GST juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pihak khususnya pembangkang supaya tidak menjadikan isu penyertaan syarikat BlackRock dalam penstrukturan semula kepentingan MAHB sebagai ‘wayang politik’.

Beliau berkata mana-mana pihak berhak untuk tidak bersetuju dengan kerajaan, namun pada masa sama tidak boleh menafikan usaha kerajaan di dalam menyuarakan isu di Gaza.

“Jangan guna isu ini (BlackRock), kerana isu ini (serangan di Gaza) seharusnya menyatukan kita... siapa yang izinkan syarikat Israel beroperasi di sini dulu?” katanya.
Anwar bersama pemimpin Hamas Ismail Haniyeh.
Perdana menteri berkata kerajaan mengambil pendirian tegas untuk membatalkan kerjasama dengan semua syarikat yang membuka operasinya di Israel.

“Syarikat yang ada operasi di Amerika, Jerman, China, tapi ada kaitan dengan Israel, tiada upaya kita dalam keadaan sekarang membatalkannya kerana akan menjejaskan ekonomi negara.

“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara.

“Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” kata Anwar.
Global Infrastructure Partners (GIP) pada awal hari ini dilaporkan menegaskan BlackRock Inc tidak pernah sama sekali terlibat dalam sebarang transaksi berhubung penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melalui Gateway Development Alliance (GDA).

Ketua Bahagian Pengangkutan di GIP dan Pengarah GDA Phil Iley berkata seperti yang diumumkan pada Januari lepas, GIP akan diambil alih oleh BlackRock dengan transaksi tersebut dijangka akan dimuktamadkan pada suku ketiga 2024.

Dia berkata BlackRock mengiktiraf kepakaran GIP dalam pelaburan berkaitan infrastruktur.

“Selepas transaksi ini dimuktamadkan, pihak pengurusan sedia ada GIP akan mengekalkan kawalan penuh dan tanggungjawab bagi hala tuju strategik dan operasi GIP serta syarikat-syarikat di bawah pelaburan kami,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Bernama.
GIP pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion (RM527.5 bilion) bagi pihak pelaburnya, yang terdiri daripada kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.

GIP sebelum ini dikaitkan dengan syarikat pelaburan multinasional Blackrock yang memiliki pegangan dalam lima syarikat pembekal senjata kepada Israel.

Pada 15 Mei lalu, Khazanah mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham MAHB yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.

Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan GIP - menerusi GIP Aurea Pte Ltd.

Susulan itu, beberapa pihak menyuarakan bantahan serta kebimbangan ke atas cadangan penjualan 30 peratus saham MAHB kepada GIP yang juga subsidiari syarikat Blackrock.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-