Thursday, August 8, 2024

1,000 ahli keluar parti gimik, tiada cawangan Bersatu di Jeli bubar

freemalaysiatoday.com
Faiz Zainudin
08 Aug 2024

Ketua Bersatu Kelantan Kamarudin Md Nor, berkata hanya segelintir yang keluar parti, bukannya lebih 1,000 ahli seperti didakwa.
Ketua Bersatu Kelantan, Kamarudin Md Nor, berkata Bahagian Jeli mempunyai 60 cawangan berdaftar dan tiada cawangan dibubarkan. (Gambar Facebook)

GUA MUSANG: Bersatu Kelantan menepis dakwaan Bahagian Jeli lumpuh selepas lebih 1,000 ahlinya keluar parti semalam.

Ketuanya Kamarudin Md Nor berkata Bersatu Jeli tidak terjejas dengan pengumuman itu kerana hanya segelintir yang keluar parti, bukannya lebih 1,000 ahli seperti didakwa.

Beliau mendakwa kumpulan ahli mengadakan sidang media semalam, majoritinya penyokong Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang berpaling tadah.

“Buang masa saja layan gimik mereka yang dikenal pasti penyokong Zahari. Buat sidang media pun di pejabat Ahli Parlimen Jeli.

“Boleh saja sebut ribu-ribu, namun yang hadir puluhan ahli saja. Bahagian Jeli ada 60 cawangan berdaftar, tiada cawangan bubar.

Ketua cawangan atau mana-mana ahli tidak ada kuasa untuk bubar cawangan. Kuasa itu hanya ada pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan presiden parti, katanya kepada FMT.

Adun Air Lanas di bawah Parlimen Jeli itu berkata, gimik berkenaan bertujuan melemahkan petugas parti menjelang PRK Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Mereka nak ambil kesempatan untuk dilihat sebagai berjasa kepada Umno, mereka datang dari Umno, kepada Umno mereka kembali.

Semalam, lapan ketua cawangan dan 18 Srikandi Jeli dilaporkan meletak jawatan dan keluar parti bersama 1,000 ahlinya menyebabkan Bersatu Jeli lumpuh serta-merta.

Jurucakap Bersatu Jeli, Rodzi Muhammad yang juga bekas timbalan ketua cawangan Kedai Kuala Balah, berkata tindakan itu kerana mereka kecewa dengan percaturan politik pimpinan Bersatu di peringkat pusat dan negeri yang dilihat begitu lemah.

Katanya, ia dapat dilihat dalam urusan menentukan calon PRK Nenggiri yang terpaksa diimport dari PAS.

Tindakan itu menyusul penyertaan 480 ahli Bersatu Gua Musang dalam Umno minggu lalu yang melumpuhkan 12 cawangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-