Friday, August 30, 2024

Kelab Sahabat Najib yakini sokongan pemimpin Umno kepada ‘Bossku’

freemalaysiatoday.com
Mohamad Fadli
-30 Aug 2024

Penganalisis politik berkata sokongan kepada Najib Razak boleh bermotifkan politik kerana populariti beliau dalam kalangan akar umbi.
Kelab Sahabat Najib percaya sokongan pemimpin Umno kepada Najib Razak demi keadilan.

PETALING JAYA: Kelab penyokong Najib Razak meyakini sokongan pemimpin Umno kepada bekas perdana menteri itu pada perhimpunan agung parti baru-baru ini.

Presiden Kelab Sahabat Najib, Abdul Rahman Bakar, percaya sokongan itu bukan bermotif politik, sebaliknya demi keadilan.

Keadilan yang rakyat tuntut, bukan dari kalangan orang politik sahaja tetapi di kampung-kampung juga, katanya kepada FMT.

Najib terlalu banyak jasa dan budi. Sebab itu rakyat sayang pada dia. Tidak timbul ada motif politik atau tidak.

Rahman berkata orang ramai masih membandingkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob, dan Anwar Ibrahim dengan Najib.

Rakyat masih ‘compare’ apa Najib buat dengan lepas Najib, katanya.

Mengulas sokongan ditunjukkan beberapa pemimpin Umno kepada Najib, penganalisis politik berpandangan ia juga boleh bermotifkan politik di sebalik keikhlasan yang ditunjukkan, disebabkan populariti ‘Bossku’ dalam kalangan akar umbi parti dan masyarakat Melayu.

Asrul Hadi Abdullah Sani yang pernah bersama BowerGroupAsia berkata Presiden Zahid Hamidi tiada insentif sebenar untuk mendesak bekas bosnya dibebaskan.

Katanya, walaupun Zahid terus menjadi presiden Umno, ramai akan anggap Najib sebagai sumber kuasa sebenar dalam parti, dengan penyokong merasakan beliau boleh menyatukan parti dan mengembalikan sokongan pengundi Melayu.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, tidak bersetuju dengan pandangan penganalisis itu.
Saya tak faham sebenarnya apa dikatakan motif politik. Tidak betul.

Kalau kita lihat dan berada dalam di Dewan Merdeka, kita tengok keikhlasan pemimpin perjuangkan isu Bossku, katanya.

Najib menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.

Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-