Thursday, August 29, 2024

Kerjasama dengan PH, pembebasan Najib masih hantui UMNO

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
- Ogos 29, 2024 
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada sesi Penggulungan Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

Rata-rata pemimpin dan perwakilan yang ditemui menyifatkan mood Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 melabuhkan tirainya Sabtu lalu, dalam keadaan baik. Namun, pada perhimpunan itu, ada juga perwakilan UMNO menyindir, 'nasib baik BN menang PRK Nenggiri, kalau tidak mood perhimpunan kali ini mesti suram'.

Itulah berkat Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO berjaya merampas balik kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri daripada BERSATU, apabila memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi pada 17 Ogos lalu, seminggu sebelum PAU berlangsung, kata seorang perwakilan lain dari negeri utara.

Apabila UMNO menerusi calonnya, Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berjaya memenangi PRK itu, ramai perwakilan menyifatkan parti keramat orang Melayu itu sudah kembali bangkit menunjukkan prestasi baik dilakar di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.

Di sebalik kemenangan UMNO/BN di Nenggiri, ia dilihat masih belum dapat membuatkan UMNO khususnya dalam kalangan ahlinya berasa selesa dengan kejayaan itu kerana masih ada yang kurang selesa dengan kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ini kerana, sepanjang PAU berlangsung, isu kerjasama dengan PH, sama ada mahu 'go solo' dan isu memperjuangkan hak dan nasib Melayu serta Islam adalah antara isu paling banyak ditekankan selain memajukan ekonomi Melayu Bumiputera serta pendidikan.

Tidak terkecuali, isu pembebasan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang terkenal jolokan 'bossku' antara menjadi tumpuan sepanjang PAU berlangsung. Ia mungkin kerana isu terkait 'bossku' agak dominan atau populis sifatnya kerana dilihat dekat dengan hati akar umbi UMNO dan pemimpin tertentu.

Ia dapat dilihat apabila sebanyak 72 daripada 171 bahagian UMNO mengusulkan untuk menuntut parti meneruskan agenda memberi keadilan dan pengampunan penuh kepada bekas perdana menteri itu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, usul itu adalah tertinggi pernah diperoleh dalam PAU berbanding perhimpunan agung sebelum ini.

Selain itu, timbul dakwaan tidak ramai kehadiran perwakilan dari sebuah negeri di Pantai Timur pada perhimpunan agung kali ini, kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan usaha pemimpin tertinggi UMNO membebaskan Najib.

Boleh dilihat isu berkait pembebasan Najib sebenarnya masih menjadi topik malar segar kerana ia bagaikan tidak sah jika tidak dibangkit atau diperkatakan kerana aura, jasa dan pengaruh 'bossku' bukan calang-calang dalam sanubari orang UMNO dan akar umbi.

Hal ini kerana, ada pihak percaya dengan pembebasan Najib, ia dapat menjadi pemangkin untuk mengembalikan prestasi UMNO lebih-lebih lagi apabila hendak mengharungi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) menerusi agenda 'UMNO kembali dominan'.

Perkara itu dinyatakan jurucakap UMNO Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar yang tidak menolak, pembebasan Najib turut akan memberi manfaat kepada PH sebagai parti dominan dan terbesar dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Meskipun barisan kepemimpinan UMNO sama ada di peringkat tertinggi atau bahagian dilihat boleh menerima kerjasama BN dengan PH, namun di peringkat akar umbi boleh dikatakan masih ada yang tidak dapat menerima kolaborasi itu.

Mana tidaknya, setiap kali perhimpunan agung berlangsung boleh dikatakan setiap perwakilan hadir, seperti tidak lekang dengan isu membabitkan parti lawan yang sekarang ini sudah berkawan.

Maka, dapat dilihat, PAU kali ini lebih cenderung menjadi pentas untuk 'mentarbiah' ahli parti mengenai kebaikan hasil kerjasama dengan PH. Justeru, banyak pencerahan dan penjelasan turut dihidangkan kepada perwakilan berkaitan permasalahan itu.

Antaranya jaminan keistimewaan orang Melayu dan Islam tidak terancam di bawah Kerajaan Perpaduan, seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut berkata, pentas PAU kali ini antara lain menegaskan prinsip dan ideologi parti tidak berubah dalam soal mempertahankan Islam, Melayu dan Bumiputera tetapi kekal menghormati kepelbagaian serta menghormati kaum lain.

Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, ia bermakna dalam dinamik politik berbeza, prinsip dipegang UMNO tidak berubah bahkan kekal diperkukuhkan dalam melaksanakan hal berkaitan soal Islam, Melayu dan Bumiputera.

Tambahnya, pentas sama berperanan untuk menegaskan kepada ahli UMNO supaya memahami perubahan berlaku di bawah dan mesti meletakkan parti ini sesuai dengan perubahan sekarang.

Sementara itu, pada sesi PENTalk platform anjuran Penerangan UMNO, Ahli MKT, merangkap Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, menegaskan UMNO berikrar untuk terus memastikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) kekal sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) bagi orang Melayu dan Bumiputera.

Puteri UMNO turut mahu parti terus memberi perhatian dengan memperkukuh tiga teras diperjuangkan parti iaitu agama, pendidikan dan ekonomi, bagi mengembalikan sokongan orang Melayu serta Bumiputera kepada UMNO.

Ketika sesi penggulungan perhimpunan tempoh hari, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, memberi jaminan tidak akan sesekali membiarkan Melayu selaku bangsa majoriti di negara ini menjunam, selain menyebabkan Islam terancam.

Beberapa perwakilan juga menyuarakan hal sama dengan mahu UMNO kembali menjadi tonggak dan penggerak utama bersama badan bukan kerajaan (NGO) serta parti politik Melayu kerana melihat berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu sangat ketara ketika ini, khasnya pasca PRU15.

Secara kesimpulannya, 'perkahwinan' antara UMNO menerusi BN dengan PH masih menghantui segelintir ahli parti itu yang bimbang ia mungkin mengancam kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera yang dilindungi Perlembagaan serta perlembagaan parti.

Apa yang jelas, Perhimpunan Agung UMNO yang tidak dihadiri wakil PH menjadikan pentas itu disasarkan untuk memulihkan kembali atau memperbaiki hubungan sesama ahli dalam UMNO yang perlu berubah, mengambil kira kedinamikan landskap politik negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-