Shakira Buang, Zarrah Morden & Haspaizi Zain & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Aug 22, 2024 12:04 PM
PAU 2024 | Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dengan sekadar menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan hari ini.
Sebaliknya, Akmal berkata Umno perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara ini.
“Perasaan kita sama juga dengan perasaan akar umbi, kita tak mahu Umno ini terus selesa dengan situasi semasa dengan menjadi pelengkap kepada Kerajaan Perpaduan.
“Umno perlu menjadi parti dominan dalam negara hari ini, angka 26 kita perlu tingkatkan menjadi dua pertiga di Dewan Rakyat.
“Ini barulah level Umno,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Pemuda sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Akmal, bagi mencapai hasrat itu, sayap yang diterajuinya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Ahmad Zahid Hamidi untuk merangka strategi terbaik.
“Pemuda Umno komited dan yakin sepenuhnya kepada presiden untuk meningkatkan jumlah 26 kerusi kepada dua per tiga majoriti
“Umno ini bukan parti pelengkap dan kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai level Umno,untuk kembali dominan dalam politik tanah air ini. Ini janji Pemuda Umno,’ katanya.
‘Jangan sentuh 3R’
Sementara itu, Akmal juga turut mengulangi pendirian yang Pemuda Umno akan menentang sesiapa sahaja termasuk rakan dalam kerajaan perpaduan jika mereka menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).
“Tahun lepas saya dah pesan, tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa, kami Pemuda Umno boleh kawan dengan sesiapa sahaja.
“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan tentang kamu habis-habisan,” katanya.
Turut hadir mendengar ucapan dasar itu ialah Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.
Akmal dalam pada itu turut mengambil kesempatan menzahirkan kesediaan Pemuda Umno untuk bertanding di pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas Umno mendapat kemenangan di Nenggiri.
“Pemuda Umno sedia sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk DUN Mahkota.
“Nenggiri sudah berjaya. Jika diberi tanggungjawab sekali lagi Pemuda sedia galas di DUN Mahkota,” katanya.
Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang PRK Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi sekali gus menawan semula kerusi itu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.