Diterbitkan: Aug 13, 2024
PRK NENGGIRI l Walaupun tanpa kehadiran pemimpin DAP di Nenggiri, seorang pemimpin PAS, bagaimanapun, percaya mereka tidak perlu hadir secara fizikal untuk menghancurkan impian Umno yang cuba menggunakan pilihan raya kecil itu untuk memulihkan semula sokongannya di Kelantan.
Menurut Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria, ia akan kekal sebagai “impian” selagi BN bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) yang “diterajui DAP”.
“Walaupun tanpa kehadiran DAP di Nenggiri, Umno-Zahid tidak dapat menafikan bahawa calon mereka adalah calon kerajaan Madani yang di dalamnya ada DAP sebagai ‘abang besar’,” katanya.
Razaman berkata perkara ini akan menjadi pertimbangan besar kepada rakyat Nenggiri dalam memilih Adun mereka.
“Di tanah yang majoriti Melayu ini pasti tidak akan ada ruang kepada mereka yang gagal membela nasib rakyat dan hak orang Melayu,” katanya yang dipetik Harakah Online.
Desakan Umno supaya DAP tidak membantu kempen di Nenggiri juga telah menjengkelkan DAP Kelantan, dengan pengerusinya Azha Abdul Rani memberitahu ahli dan penyokong bahawa mereka bebas membuat pilihan memilih mana-mana sahaja parti.
PAS dan juga Umno, sebelum membentuk pakatan dengan PH, sering menuduh DAP cuba menjejaskan kedudukan orang Melayu dan Islam.
Pemimpin DAP telah berulang kali menafikan tuduhan ini dan mengesahkan komitmen parti dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan.
Malah, dalam usaha untuk melunturkan persepsi bahawa kerajaan dikuasai DAP, parti itu juga memilih untuk menerima peranan dalam anak syarikat kerajaan berbanding jawatan menteri meskipun mereka mempunyai bilangan kerusi parlimen terbanyak berbanding sekutu kongsinya.
Mengulas lanjut, Razman mendakwa rakyat sudah “muak” dengan kerajaan Madani.
“Kenaikan harga barang, pemansuhan subsidi, kebebasan bersuara disekat serta segala jenis kezaliman dan huru-hara yang dilakukan oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) hakikatnya menjadi mimpi ngeri buat rakyat termasuk penduduk Nenggiri,” katanya
Pilihan raya kecil 17 Ogos akan menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Azmawi Fikri Abdul Ghani dan Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan pengumuman kekosongan jawatan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas menerima notis bahawa Azizi Abu Naim, yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri lalu, tidak lagi menjadi ahli Bersatu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.