Friday, August 2, 2024

PAS tempelak tawaran Zahid: 7 penggal di Nenggiri kenapa tak buat?

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 2, 2024
PRK NENGGIRI | PAS menempelak Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhubung cubaan memancing undi pengundi di Nenggiri dengan menawarkan pelbagai projek pembangunan.

Pengarah pilihan raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerusi Nenggiri diterajui BN sejak beberapa penggal, namun DUN berkenaan seolah-olah dipinggirkan ketika di bawah wakil rakyat BN.

“DUN tersebut sejak merdeka dimenangi BN. Tiba-tiba Presiden BN cakap kalau menang di situ akan buat macam-macam sehingga tujuh atau lapan tawaran.

“Kenapa tak buat masa wakil rakyat BN perintah, baru kalah sekali dan terus datang tawar macam-macam. Masa tujuh lapan penggal wakili penduduk situ, kenapa tak buat?

“Saya pun pening dengan dia (Ahmad Zahid) ni. Sekarang baru nak buat macam-macam. Masa perintah dulu tak buat, duduk diam saja,” katanya pada sidang media di Alor Setar, Kedah, semalam seperti dilapor Sinar Harian.

Isnin lalu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata Nenggiri akan berubah wajah dalam tempoh setahun sekiranya rakyat mengembalikan mandat kepada BN pada pilihan raya kecil 17 Ogos ini.

Sementara itu, Sanusi berkata tidak timbul isu mengenai calon PN iaitu bekas Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail yang sebelum ini meninggalkan PAS untuk menyertai Bersatu.

Rizwadi diletakkan sebagai calon PN dari Bersatu, dan parti itu diberikan kerusi berkenaan berdasarkan kuota yang diperuntukkan pada PRU15.

“Bersatu-PAS atau PAS-Bersatu, tak ada masalah. Sama seperti Umno-DAP dan DAP-Umno tak ada masalah juga,” jelasnya.

PRK Dun Nenggiri diadakan selepas Speaker Dun Kelantan Mohd Amar Abdullah mengumumkan kekosongan kerusi itu pada 13 Jun, susulan tindakan Bersatu menggugurkan penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 17 Ogos sebagai hari mengundi, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-