Friday, August 30, 2024

PM: K'jaan sedia pinda undang-undang tangani hasutan perkauman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 30, 2024
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingin mencetuskan perbalahan kaum dan mencetuskan kekacauan.

Dalam ucapan Hari Kebangsaan 2024, Anwar berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk meminda undang-undang berkaitan sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi.

“Dalam kesempatan ini saya beri amaran, negara ini di tapak dan landasan yang sangat baik dan mampu diangkat cemerlang.

"Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum, ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar, tugas kita untuk selamatkan negara Malaysia tercinta ini.

"Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tak cukup kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya nebara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya kepada kira-kira 7,000 orang yang berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anwar, yang pada masa lalu dilihat sebagai pembela kebebasan bersuara dan penentang undang-undang yang menindas, baru-baru ini mendapat kritikan hebat kerana gagal memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 - antara undang-undang yang digunakan untuk mengekang dakwaan cubaan mencetuskan perbalahan kaum dan agama.

Mengimbas kembali tema tahun ini, "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka", Anwar mengingatkan rakyat Malaysia tentang perjuangan negara untuk kemerdekaan dan bagaimana kejayaan dicapai melalui kekuatan kolektif dan perpaduan.

“Saya yakin, dengan jiwa yang merdeka, dengan semangat rakyat yang dibangkitkan, tidak salah setiap kaum mempertahankan kaumnya, tidak salah kita memperkukuhkan kedudukan Islam dan agama lain, tidak salah untuk nak jaga kawasan kita, kampung kita, wilayah kita, negeri kita.

“Tetapi percayalah, semua ini boleh dilakukan dengan rasa cinta kepada negara kita, negara yang wujud bersama dan berpegang teguh antara satu sama lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-