Showing posts with label kaum. Show all posts
Showing posts with label kaum. Show all posts

Friday, August 30, 2024

PM: K'jaan sedia pinda undang-undang tangani hasutan perkauman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 30, 2024
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingin mencetuskan perbalahan kaum dan mencetuskan kekacauan.

Dalam ucapan Hari Kebangsaan 2024, Anwar berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk meminda undang-undang berkaitan sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi.

“Dalam kesempatan ini saya beri amaran, negara ini di tapak dan landasan yang sangat baik dan mampu diangkat cemerlang.

"Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum, ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar, tugas kita untuk selamatkan negara Malaysia tercinta ini.

"Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tak cukup kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya nebara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya kepada kira-kira 7,000 orang yang berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anwar, yang pada masa lalu dilihat sebagai pembela kebebasan bersuara dan penentang undang-undang yang menindas, baru-baru ini mendapat kritikan hebat kerana gagal memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 - antara undang-undang yang digunakan untuk mengekang dakwaan cubaan mencetuskan perbalahan kaum dan agama.

Mengimbas kembali tema tahun ini, "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka", Anwar mengingatkan rakyat Malaysia tentang perjuangan negara untuk kemerdekaan dan bagaimana kejayaan dicapai melalui kekuatan kolektif dan perpaduan.

“Saya yakin, dengan jiwa yang merdeka, dengan semangat rakyat yang dibangkitkan, tidak salah setiap kaum mempertahankan kaumnya, tidak salah kita memperkukuhkan kedudukan Islam dan agama lain, tidak salah untuk nak jaga kawasan kita, kampung kita, wilayah kita, negeri kita.

“Tetapi percayalah, semua ini boleh dilakukan dengan rasa cinta kepada negara kita, negara yang wujud bersama dan berpegang teguh antara satu sama lain,” katanya.

Friday, April 5, 2024

Akmal ditahan di Kota Kinabalu, 'no fear, no surrender', katanya

malaysiakini.com
Muhammad Shahrin Aizat Noorshahrizam
Diterbitkan: Apr 5, 2024 10:55 AM
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh ditahan polis sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pagi tadi.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Akmal berkata bahawa ini di sebalik dia dijadual untuk merakam keterangannya di ibu pejabat polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, esok.

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan

“Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” tulisnya.

Dia juga memuat naik satu rakaman video yang memaparkan penahanan itu.

“No fear, no surrender,” katanya sebelum dibawa beredar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sambil tersenyum.


Semalam, aktivis politik dari Sarawak dan Sabah mendesak supaya Akmal dan empat yang lain yang didakwa mereka sebagai "dalang peningkatan ketegangan kaum dan agama, serta perselisihan sosial di negara ini", dilarang daripada memasuki kedua-dua negeri di Borneo itu.
Peter John Jaban, Wakil Sapa
Menurut Persatuan Aspirasi Rakyat Sarawak (Sapa) dan Sabah Defenders of Ancestral Lands’ (Mopot) gesaan mereka itu bertujuan untuk melindungi Sarawak dan Sabah daripada potensi gangguan dan risiko kepada perpaduan sosial.
Razarudin Husain
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata siasatan terhadap Ketua Pemuda Umno itu dilakukan selepas tindakannya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart.

Katanya, sebanyak dua laporan diterima polis terhadapnya berhubung isu berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Siasatan telah dijalankan dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC) setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil.

“Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka terlibat telah dituduh dan proses keadilan akan ditentukan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.
Isu penjualan beberapa pasang stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart baru-baru ini menyaksikan Akmal menjadi watak utama yang mengajak orang ramai memboikot syarikat berkenaan.

Langkah itu diambilnya di sebalik permohonan maaf syarikat berkenaan, selain titah Yang di-Pertuan Agong agar isu berkenaan diredakan. Malah pengasas dan pengarah syarikat tersebut telahpun diheret ke mahkamah.

Gesaan dan kempen boikot tersebut juga menyaksikan sekurang-kurangnya tiga serangan bom petrol dilakukan di tiga premis berasingan KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak.

Friday, August 11, 2023

DAP gantung ahli buat ‘ucapan provokatif’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters - 11 Aug 2023

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, program itu dianjurkan Jun lalu dan bukannya ketika tempoh berkempen PRN.
Tangkap layar daripada video tular menunjukkan seorang lelaki mengecam sebuah parti politik kerana membangkitkan isu agama dan kaum.

PETALING JAYA: DAP menggantung seorang ahlinya yang didakwa membuat ucapan berunsur provokatif dalam sebuah majlis parti.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, siasatan mendapati program itu dianjurkan Jun lalu, bukannya ketika tempoh berkempen PRN sekarang.

“Saya mengarahkan status keahlian individu itu digantung serta-merta. Jawatankuasa Disiplin DAP akan mengambil tindakan susulan.

“Individu berkenaan adalah ahli biasa DAP dan sama sekali tidak mewakili kepimpinan parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, pucuk pimpinan DAP mengutuk ucapan itu yang disifatkannya provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.

Beliau juga mendakwa video itu sengaja ditularkan “pihak tertentu” untuk memecah momentum kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk PRN esok.

Dalam video itu, seorang lelaki berpakaian jaket DAP dilihat menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis yang disertakan sarikata mencerca “Parti Serban”.

Katanya, parti itu terkenal kerana memainkan isu agama dan perkauman, selain sering berkata ia akan “menang besar” dalam PRN enam negeri.

“Mereka fikir kami mudah dibuli, tetapi kami tidak takut dengan mereka kerana kami mempunyai sokongan anda.

“Malah, Umno telah tampil meminta permohonan maaf daripada kami. Apa yang lebih kelakar ialah MCA (telah meminta permohonan maaf daripada kami) juga.”

Sunday, July 9, 2023

Sentuh isu 3R:Polis siasat Guan Eng

satuberita.my
By Admin
-July 9, 2023
Lim Guan Eng

TIMBALAN Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk G. S. Suresh Kumar hari ini mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Menurutnya, siasatan tersebut berhubung kenyataannya yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Beliau berkata, siasatan dijalankan selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa laporan polis berkait perkara itu.

“Laporan polis yang diterima itu berkaitan kenyataan Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.

“Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau semasa berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang pada 7 Julai lalu.

“Pada 8 Julai lalu (semalam), portal berita Malaysianow turut menyiarkan artikel berhubung kenyataan Pengerusi DAP itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman kini memulakan siasatan terhadap Guan Eng berhubung isu berkenaan.

Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan masih dijalankan, justeru orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya, lapor Berita Harian.

Suresh Kumar menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.

Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Monday, February 4, 2019

Melayu masih bertoleransi

adminweb 
04/02/2019
Oleh Fahmi bin Faiz
Rangka mekanisme baru kawal sosiopolitik tanah air yang tak stabil


BANGI, 29 Jamadilawal 1440H, Isnin – Tindakan segelintir pihak yang berterusan memberi tekanan kepada bangsa Melayu dan agama Islam, dikhuatiri akan mengundang kekacauan parah jika tidak dibendung.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, satu mekanisme perlu dirangka bagi mengawal keadaan sosiopolitik yang tidak stabil, bagi menjaga sensiviti orang Melayu.

“Senario pasca Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) bukan sahaja menjerumus kepada perubahan politik, tetapi lebih merisaukan apabila hubungan sosial turut berubah dengan mendadak.

“Sejak kebelakangan ini, ada sesetengah pihak menjadi terlalu berani dan lantang mempermainkan isu agama dan bangsa tanpa rasa takut dan bersalah,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Azmi berkata, keadaan itu dikhuatiri mengundang ancaman terhadap kestabilan nasional, berikutan komposisi penduduk Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

“Apabila isu agama dimainkan secara agresif tanpa had, ianya sangat bahaya. Tidak pernah terfikir sebelum ini, akan wujud rakyat Malaysia yang menghina institusi agama dan raja-raja Melayu secara terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Azmi mengakui orang Melayu masih bertoleransi, namun dikhuatiri had sabar beransur hilang jika penghinaan terhadap Islam dan Melayu berterusan.

“Maka, sudah tiba masanya, rakyat berbilang kaum di tanah air menzahirkan rasa hormat terhadap kaum lain khususnya orang Melayu, demi menjamin keharmonian dan keselamatan sosiobudaya di Malaysia.

“Perlu ingat. Islam selamat, Melayu selamat. Islam selamat, bangsa dan agama lain juga selamat.

“Begitu juga raja-raja, mereka adalah ketua agama Islam. Seluruh rakyat perlu menghormati prinsip itu demi keharmonian dan keselamatan tanah air,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-