Showing posts with label Akta Hasutan 1948. Show all posts
Showing posts with label Akta Hasutan 1948. Show all posts

Tuesday, February 4, 2025

Muhyiddin mohon cabar kesahihan pertuduhan hasutan

malaysiakini.com
Diterbitkan: Feb 4, 2025 11:07 AM
Bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, memohon keputusan mahkamah persekutuan mengenai keperlembagaan beberapa peruntukan dalam Akta Hasutan 1948.

Ahli Parlimen Pagoh itu mahu mahkamah tertinggi negara menentukan perkara tersebut bagi mencabar kesahihan pertuduhan hasutan yang dikaitkan dengan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Peguam pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Amer Hamzah Arshad, memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini mengenai hasrat mereka untuk memfailkan permohonan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Menurut peguam itu, permohonan itu dibuat kerana kes tersebut melibatkan isu perundangan yang mempunyai tahap kesukaran “luar biasa” yang perlu diputuskan oleh mahkamah tertinggi.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin mengekalkan pendiriannya sebagai tidak bersalah terhadap pertuduhan hasutan yang dikaitkan dengan dakwaan bahawa dia tidak diundang oleh Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada tahun 2022, walaupun mendakwa mempunyai sokongan 115 daripada 222 ahli Parlimen.

Pihak pendakwaan mendakwa bahawa tertuduh mengeluarkan kata-kata berunsur hasutan semasa kempen pilihan raya kecil Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara jam 10.30 malam hingga 11.50 malam, pada 14 Ogos tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, kemudian menetapkan 6 Mac sebagai tarikh sebutan kes bagi penyerahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi.

Muhyiddin pertama kali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang pada 27 Ogos tahun lalu.

Kemudian, Mahkamah Tinggi Kota Bharu membenarkan permohonan Muhyiddin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berikutan isu perundangan yang kompleks seperti kesahihan perlembagaan terhadap beberapa peruntukan dalam Akta Hasutan.

Pertuduhan yang dikenakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan membawa hukuman denda maksimum RM5,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada tahun 2015, berdasarkan rujukan perlembagaan oleh pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Azmi Sharom, mahkamah tertinggi memutuskan bahawa Seksyen 4 Akta Hasutan adalah sah dan berperlembagaan.

[Baca berita penuh]

Tuesday, September 24, 2024

Polis siasat video Jalur Gemilang diturunkan, diganti bendera Sabah dan Sarawak

bharian.com.my
September 24, 2024 @ 12:11am
Tangkap layar video sekumpulan individu menurunkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang) sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak.

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan bawah Akta Hasutan 1948 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penularan video memaparkan Jalur Gemilang diturunkan sebelum diganti dengan bendera Sabah dan Sarawak.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata hasil siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di Melbourne, Australia, 16 September lalu.

Beliau berkata, ia kononnya sebagai simbolik penamatan 'penjajahan' Malaysia ke atas kedua-dua negeri itu serta menjadikan Sabah dan Sarawak sebagai republik.

"Polis menerima 35 laporan berkait penyebaran video itu, dengan 34 daripadanya di Sabah dan satu lagi di Kuala Lumpur," katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, semalam.

Razarudin berkata, hasil siasatan juga mendapati video itu disyaki ditularkan oleh pemilik akaun media sosial beralamat di Sabah yang memiliki dua rekod jenayah membabitkan Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata, lelaki itu sedang dibicarakan di mahkamah Kota Kinabalu tetapi dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM3,000 sementara menunggu sebutan semula kes pada November depan.

"Kita sedang menyiasat hubungan antara suspek dengan individu yang dirakam melakukan perbuatan berkenaan (menurunkan bendera)," katanya.

Video berdurasi lapan minit 13 saat itu memaparkan tindakan sekumpulan individu menurunkan Jalur Gemilang sebelum menaikkan bendera Sabah dan Sarawak pada paras separuh tiang di hadapan bangunan Parlimen di Victoria, Melbourne.

 – BERNAMA

Tuesday, September 3, 2024

'Anwar mungkin dihumban jika k'jaan terus guna akta zalim'

malaysiakini.com
Zarrah Morden
Diterbitkan: Sep 3, 2024 9:30 AM
Rakyat yang mengangkat PH dan BN ke tampuk kuasa tidak akan teragak-agak untuk menumbangkan kerajaan jika terdapat ancaman untuk menggunakan undang-undang zalim seperti Akta Hasutan 1948, kata penganalisis.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan partinya PKR harus peka terhadap perkara ini kerana janji-janji reformasi mereka sebelum ini, kata profesor adjung Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jayum Anak Jawan kepada Malaysiakini.
Jayum Anak Jawan
"Pemimpin politik perlu peka dengan hal ini kerana dalam dekad yang lalu, rakyat tidak segan untuk menukar kerajaan dan pemimpin yang, pada pandangan mereka, tidak berkhidmat untuk kepentingan terbaik mereka.

"Apabila rakyat bersuara, kerajaan dan pemimpin harus mendengar kerana seperti mana mereka (rakyat) meletakkan mereka di sana (dalam kerajaan), mereka juga boleh menyingkirkan mereka melalui proses demokratik yang sama," katanya yang juga ahli Akademi Sains Malaysia.

Akta Hasutan 1948 undang-undang era kolonial kontroversi, menjenayahkan ucapan yang mempunyai "kecenderungan menghasut."
Antara definisi kecenderungan menghasut dalam akta ini termasuk kecenderungan untuk menimbulkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja, kerajaan atau pentadbiran keadilan, untuk mempromosikan perasaan tidak senang dan permusuhan antara kaum atau kelas yang berbeza dan untuk mempersoalkan sebarang keistimewaan yang diperuntukkan untuk orang Melayu, pribumi dan kerabat diraja.

Akta ini pertama kali diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1948 dan kemudian dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 untuk memperluas skop sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Kerajaan PH telah berjanji untuk memansuhkan akta ini sebagai sebahagian daripada manifesto gabungan tersebut.
Sementara itu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Syukri (gambar atas) bersetuju dengan pandangan Jayum mengenai apa yang bakal dihadapi kerajaan jika gagal menunaikan janji reformasi.

Kata Syaza ini memberi peluang kepada pembangkang untuk menonjolkan hipokrasi parti pemerintah.

Secara keseluruhannya, tidak ada kelebihan untuk PH dalam mengekalkan akta ini, katanya.

"Satu-satunya kelebihan yang saya lihat sekarang, untuk mendapatkan sokongan daripada keluarga diraja kerana penggunaan akta hasutan baru-baru ini berkaitan dengan kerabat diraja," katanya kepada Malaysiakini.

Dia merujuk kes Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang didakwa di mahkamah Kelantan pada 27 Ogos atas ucapannya semasa pilihan raya kecil Nenggiri baru-baru ini.
Kenyataan Muhyiddin itu telah mengundang kemurkaan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah kerana menuduh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menghalang percubaannya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15.

Anwar mempertahankan penggunaan akta hasutan terhadap Muhyiddin berkata dia mesti menghadapi akibat daripada kata-katanya itu.

Sementara itu penganalisis politik Wong Chin Huat (gambar bawah) berkata kerajaan mungkin dilihat sebagai "menjual orang Melayu" jika akta hasutan dimansuhkan.
Ini boleh dielakkan jika pembangkang menyokong pemansuhan akta tersebut, tambahnya.

"Dari segi politik, ramai orang Melayu melihat akta hasutan sebagai alat untuk melindungi dominasi politik dan kepekaan mereka daripada dicabar," jelasnya.

Untuk mengatasi naratif ini, dia berkata kerajaan boleh melaksanakan garis panduan dalam penggunaan akta tersebut yang dapat mengurangkan kebencian partisan yang memecahkan pengundi Melayu.

"Pada masa ini, kerajaan bertindak balas terhadap isu ini dengan memposisikan dirinya sebagai proistana, berdasarkan anggapan bahawa kebanyakan orang Melayu juga proistana.
"Walaupun anggapan ini tepat, pandangan seperti itu mungkin berubah dari semasa ke semasa," katanya.

Garis panduan mengenai penggunaan akta hasutan akan memastikan aplikasi akta tersebut yang tidak berat sebelah, konsisten dan munasabah, tambahnya.

Wong juga berkata ini akan berfungsi untuk menghilangkan kebimbangan bahawa kerajaan sekarang sama seperti "autoritarianisme gaya lama BN dalam pakej baru."

"Menghapuskan kawasan kelabu, memastikan pelaksanaan yang konsisten, kerajaan akan muncul sebagai reformis yang tulen walaupun akta hasutan kekal," katanya.
Namun, dalam memansuhkan akta tersebut, Wong berkata kerajaan tidak akan dilihat sebagai hipokrit atau "mengingkari janji," yang akan menjadi satu kelebihan.

Sementara itu, Syaza berkata isu lain yang perlu ditangani kerajaan termasuk jika rakyat Malaysia sudah bersedia untuk kebebasan bersuara terutamanya melibatkan perbincangan 3R (kaum, agama, raja).

"Adakah kita boleh membenarkan orang mengkritik isu 3R seperti yang dilakukan Muhyiddin? Adakah kita boleh menghentikan penyamaan kritikan dengan hasutan?

"Kerana isu 3R didakwa sebagai menghasut dan boleh menyebabkan ketidakharmonian," katanya.

[Baca berita asal]

Friday, August 30, 2024

PM: K'jaan sedia pinda undang-undang tangani hasutan perkauman

malaysiakini.com
Diterbitkan: Aug 30, 2024
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingin mencetuskan perbalahan kaum dan mencetuskan kekacauan.

Dalam ucapan Hari Kebangsaan 2024, Anwar berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk meminda undang-undang berkaitan sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi.

“Dalam kesempatan ini saya beri amaran, negara ini di tapak dan landasan yang sangat baik dan mampu diangkat cemerlang.

"Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum, ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan satu sama lain, saya tidak peduli apakah disenangi oleh media antarabangsa atau negara luar, tugas kita untuk selamatkan negara Malaysia tercinta ini.

"Dan kita gunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada. Kalau tak cukup kita pinda, tambah peruntukan undang-undang, ambil tindakan supaya nebara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan di dunia ini,” katanya kepada kira-kira 7,000 orang yang berkumpul di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Anwar, yang pada masa lalu dilihat sebagai pembela kebebasan bersuara dan penentang undang-undang yang menindas, baru-baru ini mendapat kritikan hebat kerana gagal memenuhi janji pilihan raya Pakatan Harapan mengenai pemansuhan Akta Hasutan 1948 - antara undang-undang yang digunakan untuk mengekang dakwaan cubaan mencetuskan perbalahan kaum dan agama.

Mengimbas kembali tema tahun ini, "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka", Anwar mengingatkan rakyat Malaysia tentang perjuangan negara untuk kemerdekaan dan bagaimana kejayaan dicapai melalui kekuatan kolektif dan perpaduan.

“Saya yakin, dengan jiwa yang merdeka, dengan semangat rakyat yang dibangkitkan, tidak salah setiap kaum mempertahankan kaumnya, tidak salah kita memperkukuhkan kedudukan Islam dan agama lain, tidak salah untuk nak jaga kawasan kita, kampung kita, wilayah kita, negeri kita.

“Tetapi percayalah, semua ini boleh dilakukan dengan rasa cinta kepada negara kita, negara yang wujud bersama dan berpegang teguh antara satu sama lain,” katanya.

Tuesday, August 27, 2024

Muhyiddin dituduh menghasut

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters-27 Aug 2024

Bekas perdana menteri mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Tarmizie Nik Shukri di Mahkamah Sesyen Gua Musang.
Muhyiddin Yassin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan hasutan dalam ceramah ketika kempen PRK Nenggiri.

Muhyiddin, yang juga pengerusi Perikatan Nasional membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Tarmizie Nik Shukri.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pertuduhan itu berkaitan ucapan Muhyiddin yang dibuat semasa berkempen di Felda Perasu, Gua Musang, Kelantan, pada 14 Ogos.

Kenyataan presiden Bersatu itu menyebabkan 29 laporan polis dibuat terhadapnya dan turut ditegur Istana Pahang.

Kenyataannya yang didakwa berbaur hasutan diperincikan dalam lampiran kertas pertuduhan.

Menurut transkrip itu, Muhyiddin mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri selepas PRU15, walaupun mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

Siapa Yang di-Pertuan Agong dulu? Faham dah la eh, tulis transkrip itu.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 dan tarikh sebutan semula kes pada 4 Nov.

Pasukan pendakwaan terdiri enam anggota diketuai Timbalan Pendakwa Raya Umar Sarifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili peguam Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Takiyuddin Hassan, Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Monday, July 22, 2024

MP gesa Anwar ikut jejak Dr M kenakan moratorium Akta Hasutan

malaysiakini.com
Alyaa Alhadjri
Diterbitkan: Jul 22, 2024 6:47 PM
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim menggesa kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mengenakan semula moratorium terhadap Akta Hasutan 1948 seperti dilakukan di bawah pentadbiran PH 1.0 yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin veteran PKR itu berkata walaupun terdapat banyak kelemahan sepanjang tempoh pertama PH berkuasa, moratorium Akta Hasutan berjaya dilaksanakan sehinggalah kerajaan PH tumbang pada Feb 2022.

“Jadi saya percaya kerajaan Madani yang ‘lebih reformis’ di bawah perdana menteri Anwar, sepatutnya lebih progresif berbanding Mahathir.

“Saya mencadangkan agar kerajaan Madani yang dipimpin oleh Anwar mencontohi PH 1.0 di bawah Mahathir dan menguatkuasakan moratorium serta-merta ke atas penggunaan Akta Hasutan 1948,” kata Hassan kepada Malaysiakini hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas siasatan terhadap peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali di bawah Akta Hasutan hari ini.
Rafique disiasat berhubung ucapannya semasa perhimpunan antikerajaan bulan lalu dengan menggelarkan Anwar sebagai “scammer”.

Terdahulu, Rafique yang merupakan penganjur perhimpunan “Rakyat Lawan Anwar” disoal siasat di Bukit Aman setelah satu laporan polis dibuat di Perlis oleh sebuah NGO yang tidak dinamakan.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga seorang peguam, berkata Akta Hasutan bertentangan dengan prinsip asas undang-undang di mana"niat" di sebalik kesalahan yang didakwa perlu dibuktikan terlebih dahulu.

“Sekiranya polis mahu membuka kertas siasatan ke atas Rafique, adalah lebih adil dan profesional untuk mereka menggunakan Kanun Keseksaan, contohnya Seksyen 505(b),” katanya.

Seksyen 505 Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan berkaitan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita.

Seksyen 505(b) pula memperuntukkan kesalahan berkaitan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman; atau

Awal bulan ini kumpulan masyarakat sivil mengadakan demontrasi bagi menggesa perdana menteri menunaikan janji PH untuk memansuhkan undang-undang era British itu.

Hassan antara ahli parlimen kerajaan yang menerima memorandum disampaikan kumpulan berkenaan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Mac lalu berkata kabinet telah memberikan kebenaran untuk meneruskan cadangan pindaan Akta Hasutan, tetapi ia bertujuan membantu kerajaan mengekang provokasi berhubung isu 3R (kaum, agama, raja).

Friday, April 5, 2024

Akmal dibebaskan selepas 2 jam, tegaskan tak menghasut

malaysiakini.com
Diterbitkan: Apr 5, 2024 1:48 PM
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dibebaskan selepas memberikan keterangan kira-kira dua jam di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah.

Media melaporkan polis merakam kenyataannya susulan ucapannya dalam ceramah di Kelantan pada Sabtu lalu.

Dia disambut oleh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno yang berkumpul di balai polis.

Akmal yang disiasat bawah Akta Hasutan 1948 mempunyai acara di Beaufort, kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu, petang ini.

Sementara itu itu, Akmal yang juga exco kerajaan Melaka berkata, dia dimaklumkan untuk sesi rakaman percakapan itu melalui panggilan telefon sejurus sampai ke Sabah pagi ini.

"Saya ada tanya sekiranya boleh tunggu namun keterangan itu perlu diambil secepat mungkin,” katanya.

Berkaitan ucapan itu, dia mempertahankan ucapannya sebagai tiada unsur hasutan.

"Hal ini kerana setiap perkara yang kita bawa ini adalah suara kebenaran dan tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan," katanya.

Akmal adalah pemimpin politik paling lantang dalam isu jualan stoking bertulis kalimah Allah di KK Mart di Petaling Jaya, sehingga mengundang bantahan di tengah-tengah ketegangan isu itu.

Semalam, aktivis politik Sarawak dan Sabah mendakwa Akmal dan empat orang lagi sebagai dalang yang meningkat ketegangan kaum dan menuntut mereka disekat masuk ke kedua-dua negeri itu.

Polis mendedahkan terdapt dua laporan polis dibuat terhadapnya dalam isu berkenaan dan Kes disiasat bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (komunikasi jelik).

Setakat ini tiga kedai KK Mart, masing-masing di Perak, Pahang dan Sarawak, menjadi sasaran keganasan melalui serangan bom botol.

Saturday, May 16, 2020

Polis 'buru' tiga pemilik FB

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
MyMetro

GAMBAR hiasan

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung tiga pemilik akaun Facebook (FB) yang mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan hasutan terhadap Islam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menerima laporan dibuat berhubung kenyataan menghina itu.

Menurutnya, setakat ini individu terbabit belum ditahan dan polis sedang mengesan mereka.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno, Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau tergerak hati untuk tampil membuat laporan polis selepas terbaca kenyataan dimuat naik mereka ketika menteri sedang membuat ucapan secara langsung berkaitan kebenaran solat Jumaat.

"Saya lihat komen mereka berbaur rasis dan menghina agama Islam dan laporan dibuat itu bukan bersifat politik sebaliknya tanggungjawab sebagai seorang Islam.

"Laporan polis itu dibuat dua hari lalu dan saya berharap polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan tegas," katanya.

Katanya, beliau juga bukanlah rasis kepada kaum lain tetapi ingin negara ini hidup harmoni dan aman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:55 PM

Saturday, July 13, 2019

Abdul Hadi: PAS dulu sokong ISA, kini gesa kekal Akta Hasutan

News | Diterbitkan Hari ini 11:13 malam


Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa kerajaan mengekalkan Akta Hasutan 1948, tetapi sebaliknya perlu membincangkan takrifnya dengan lebih jelas agar tidak disalahgunakan.

"Kini kita mendengar desakan menghapuskan Akta Hasutan, maka janganlah sampai ke tahap semua hasutan dibenarkan.

"Tidakkah sepatutnya dibincangkan takrif hasutan dan apakah perkara-perkara yang dinamakan hasutan itu, bukan menghapuskan undang-undangnya," katanya dalam suatu kenyataan malam ini.

Anggota parlimen Marang juga mengimbas gerakan mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam mempersoalkan jika pemansuhan Akta Hasutan akan membawa "sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja?"

"Kita pernah mengalami perjuangan menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sehingga seolah-olah ke tahap tidak perlu adanya undang-undang menyelamatkan negeri dan negara.

"Adakah kita boleh hanyut berfikir sampai ke tahap itu?

"Adakah seruan dan janji menghapuskan Akta Hasutan yang kedengaran terkini sehingga ke peringkat boleh menghasut apa-apa sahaja? Kadang-kadang suaranya nampak sebegitu," katanya.

Abdul Hadi menegaskan PAS menyokong penggubalan ISA pada 1960 walau pun kemudiannya pernah menjadi mangsa penyalahgunaan undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara itu.
"PAS dahulu pernah menyokong ISA demi negara menghadapi ancaman komunis, walaupun PAS pernah menjadi mangsa penyalahgunaannya, ia adalah satu perkara yang lain," jelasnya lagi.

Pendirian Abdul Hadi selari dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man semalam yang meminta kerajaan tidak gopoh dalam mengambil ketetapan untuk menghapuskan Akta Hasutan hanya kerana beberapa kes yang berlaku muktahir ini.

Malah, Tuan Ibrahim berkata dengan keadaan semasa hari ini kerajaan masih memerlukan satu akta untuk mencegah perilaku yang boleh menggugat keselamatan negara.

"Langkah untuk menghapuskan Akta Hasutan harus diteliti secara mendalam. Isu yang lebih kritikal ialah penyalahgunaan akta oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada 11 Julai lalu mengesahkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baru.

Mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, perdana menteri berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkannya.
"Kerajaan dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang tersebut," katanya yang berkata proses itu akan selesai "secepat mungkin."

Menghapuskan akta tertentu yang dianggap menekan rakyat adalah satu daripada janji diikrarkan PH dalam manifesto mereka menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Satu daripada akta yang dianggap menyekat kebebasan bersuara ialah Akta Hasutan.

Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin pada 9 Julai lalu menjadi tahanan terbaru yang dikenakan hukuman penjara mengikut Akta Hasutan.

Dia dihukum penjara selama setahun dan hukumannya berjalan serta-merta. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Julai lalu membenarkan hukuman Wan Ji ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan.

Friday, July 12, 2019

Mahkamah izin hukuman penjara Wan Ji ditangguh

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan Hari ini 10:10 pagi


Pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin, berjaya dalam permohonannya untuk mendapatkan penangguhan hukuman penjara atas kesalahan menghasut.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas menerima permohonan dikemukakan peguam Radzlan Jalaluddin.

Pihak pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah.

Terdahulu pada 9 Julai lalu Abdul Halim mendapati Wan Ji bersalah menghasut dan menanam kebencian rakyat terhadap institusi raja-raja.

Abdul Halim kemudian meminda hukuman penjara ke atas anggota PKR itu dengan menjadikannya setahun - berbanding sembilan bulan sebelum ini - selepas memberi pertimbangan kepada rayuan silang pihak pendakwaan.

Selepas membacakan keputusan mahkamah, Abdul Halim mengarahkan Wan Ji, 37, menjalani hukuman penjara bermula pada hari itu juga.

Permohonan lisan Radzlan untuk menangguhkan hukuman ditolak Abdul Halim dan beliau mengarahkan ia dibuat secara rasmi.

Wan Ji dituduh mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948, iaitu kesalahan mencetak, menerbitkan, menjual, menawarkan untuk dijual, mengedarkan atau mengeluarkan semula sesuatu penerbitan menghasut.

Jika disabitkan kesalahan, seseorang itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000.

[Berita lanjut menyusul]

Thursday, July 11, 2019

Akta Hasutan akan dimansuh, diganti 'secepat mungkin'

Annabelle Lee 
Diterbitkan Hari ini 12:06 tengahari


Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan kerajaan akan memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan undang-undang baru.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini perdana menteri berkata sebagai langkah permulaan akta tersebut akan ditarik balik.

"Pertamanya, kita akan menarik balik undang-undang (berkenaan) dahulu," katanya.

Mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Hasutan, perdana menteri berkata, kerajaan kini dalam proses menyiapkannya.

"Kerajaan dalam status menyusun semula ayat-ayat dalam undang-undang tersebut," katanya.

Ditanya bilakah proses tersebut akan selesai dan mungkin ada tempoh waktu tertentu untuknya, Mahathir menjawab: "Secepat mungkin."

Menghapuskan akta tertentu yang dianggap menekan rakyat adalah satu daripada janji diikrarkan PH dalam manifesto mereka menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Satu daripada akta yang dianggap menyekat kebebasan bersuara ialah Akta Hasutan.

Awal minggu ini penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin, menjadi tahanan terbaru yang dikenakan hukuman penjara mengikut Akta Hasutan.

Dia dihukum penjara selama setahun.

[Berita lanjut menyusul]

Sunday, December 2, 2018

Insiden kuil: Polis buka 4 kertas siasatan di bawah Akta Hasutan

Bernama
-December 2, 2018 7:49 AM

Ketua Polis Selangor, Mazlan Mansor berkata, tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang cuba pecahkan perpaduan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

SHAH ALAM:  Polis membuka 4 kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 dekat sini pada Isnin dan Selasa lepas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor dalam kenyataannya di sini semalam berkata, kertas siasatan berkenaan dibuka susulan 4 laporan polis yang diterima pihaknya berikutan penularan berita di media sosial berikutan insiden berkenaan.

“Polis turut menahan pengendali laman blog Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris pada pukul 1 tengah hari semalam di Ibu pejabat Polis Sepang,” katanya.

Di samping itu, Mazlan turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mempunyai tujuan dan niat jahat dan cuba memecahkan perpaduan rakyat yang berbilang bangsa di negara ini.

“Laporan polis akan dibuat dan seterusnya siasatan lanjut akan dijalankan ke atas mereka yang terlibat,” katanya.

Insiden kekecohan yang berlaku pada awal pagi Isnin dan Selasa berikutan perbalahan mengenai perpindahan kuil itu ke tapak baru, turut menyebabkan kecederaan parah kepada seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang kini dirawat di Institut Jantung Negara.

Kejadian itu juga menyebabkan seorang anggota polis cedera, selain kemusnahan 23 kenderaan yang dibakar perusuh, kerosakan sebuah bangunan serta gangguan kepada ketenteraman awam.

Saturday, October 20, 2018

Mansuh Akta Hasutan agenda PH hapus institusi diraja Islam, hak keistimewaan Melayu, bahasa kebangsaan akan terancam

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
tyrazalhe 
20/10/2018


KUALA LUMPUR, 11 Safar 1440H, Sabtu – Agenda kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 bertujuan menghapuskan institusi diraja, kata Pegamal Undang-undang, Khairul Azam Abd Aziz.

Beliau berkata, antara lain agenda liberalisasi ini juga ialah mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu; menyamaratakan agama Islam dengan agama lain; serta tidak selesa dengan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan.

“Sekarang ini, mereka tidak boleh mempersoalkan perkara dalam Perlembagaan kerana Akta Hasutan masih ada. Oleh kerana mereka telah mengambil alih kerajaan, maka mereka ada beberapa langkah lagi untuk menghapuskan akta ini supaya agenda liberalisasi, kesaksamarataan dan sebagainya dapat dilakukan tanpa sebarang halangan.

“Mereka berhujah menyatakan negara-negara maju tidak mempunyai Akta Hasutan mengapa Malaysia perlu ada. Mereka lupa beza negara kita dengan negara-negara lain, kerana kita mempunyai pelbagai bangsa, agama dan bahasa pertuturan. Maka sebab perbezaan itulah, kerajaan kita sebelum merdeka sehingga kini ada Akta Hasutan.

“Ini kerana hasutan boleh membawa kacau-bilau dalam negara,” katanya pada Forum Tergempar Kekalkan Akta Hasutan anjuran Biro Undang-undang dan Perlembagaan Perkasa di sini, hari ini.

Khairul Azam berkata, siri jelajah di seluruh negara akan diadakan dengan memanggil beberapa lagi tokoh untuk bercakap mengenai kepentingan mempertahankan Akta Hasutan, di samping mengumpul tanda tangan sebagai sokongan untuk mengekalkan akta ini dan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

Katanya, sokongan diperlukan bagi mempertahankan Akta Hasutan ini bagi menjaga keamanan negara.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyatakan, Kabinet memutuskan untuk menggantung sementara tindakan mengikut Akta Hasutan 1948.

Keputusan tersebut selari dengan ikrar PH sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, 9 Mei lalu iaitu untuk menghapuskan úndang-undang yang menindas.

Monday, September 3, 2018

Ucapan 'Melayu bangkit' Tajuddin dilapor pada polis


Pengerusi Biro Publisiti DAP Perak, Chong Zemin membuat laporan polis hari ini terhadap Anggota Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman kerana mendakwa DAP kini mengawal kerajaan dan mahu menubuhkan sebuah republik di Malaysia.

Chong yang juga ADUN Kerinji mendesak agar Tajuddin disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaaan kerana secara sengaja menghina dengan niat menjejaskan kententeraman.

Dalam laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Ipoh, Chong berkata ucapan Tajuddin ketika Himpunan Melayu Bangkit di kawasan parlimennya tadi malam agak membimbangkan.

"Ucapan beliau bukan sahaja rekaan tetapi jelas menghasut, cuba menimbulkan sentimen perkauman dan mencipta konflik di antara kaum-kaum yang berlainan di Malaysia," kata Chong.

Tajuddin telah mengisytiharkan orang Melayu hilang kuasanya.

"DAP adalah musuh orang Melayu, musuh Islam kerana mereka hendak mewujudkan sistem tanpa Raja, mereka nak wujudkan sistem republik supaya ketua negara bukan Melayu dan bukan bergama Islam seperti di Singapura dapat dilantik," dakwa Tajuddin.

Manakala itu, Chong juga menempelak MCA kerana pada masa lalu parti itu sering berkata DAP menjadi 'alat' kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan BERSATU, tetapi kini Umno pula memberitahu orang Melayu, DAP sekarang menguasai pentadbiran Pakatan Harapan.

Beliau berkata taktik yang digunakan MCA dan Umno itu bertujuan menimbulkan sentimen perkauman dan sangat berbahaya kepada negara.

[Baca berita penuh]

Friday, October 13, 2017

Wan Ji ditahan selepas sampaikan khutbah Jumaat

Farhan Darwis
PETALING JAYA: Pegawai Penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji Wan Hussin hari ini ditahan polis sejurus selepas menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Jalan Sembilang, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan media.

Wan Ji yang juga ketua Exco Agama Pemuda PKR itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Tengah.

“Satu kenyataan akan dikeluarkan sejurus pihak peguam yang berada bersama beliau mendapat maklumat sahih, mengapa Wan Ji ditahan,” kata Saifuddin.

Polis mengesahkan penahanan tersebut dan berkata Wan Ji ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Penahanan Wan Ji berlaku beberapa hari selepas penceramah agama dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin, yang kini turut ditahan di bawah Akta Hasutan, memuat naik gambar Wan Ji dengan ayat “Wan Ji mahu sistem raja dihapuskan”.

Sunday, June 5, 2016

Fahmi Reza, 3 aktivis ditangkap di bawah Akta Hasutan

FMT Reporters

Empat yang ditahan itu termasuk aktivis, penganjur acara dan pelukis komik ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis Sentul atas kesalahan menghasut.
PETALING JAYA: Tiga individu ditahan mengikut Akta Hasutan 1948.

Ini susulan laporan terdahulu mengenai penahanan aktivis Fahmi Reza atas kesalahan menjual kemeja T #KitaSemuaPenghasut di pesta buku alternatif KL.

Malaysiakini yang memetik Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong sebagai berkata tiga yang lain ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Sentul.

Tiga yang ditahan adalah penganjur acara Pang Khee Teik, aktivis masyarakat Lew Pik-Svonn dan pelukis komik Arif Rafhan Othman.

Dalam post di Facebook awal hari ini, Fahmi berkata dia ditahan pegawai polis di Publika, di mana acara itu diadakan dan disiasat kerana menghasut.

Kemeja T yang dijualnya dicetak dengan karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam imej badut berserta slogan “Kita Semua Penghasut”.

“Lima hingga enam pegawai polis datang booth aku tadi. Mereka rampas kad pengenalan aku, 2 helai t-shirt penghasut dari beg aku dan juga sepanduk lukisan muka badut.

“Menurut polis aku disiasat bawah Akta Hasutan. Aku dalam keadaan selamat. Dah sampai balai polis sekarang.”

Semalam, dilaporkan Fahmi dibawa ke mahkamah untuk didakwa dua pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik imej ke akaun media sosialnya.

Fahmi didakwa menggunakan akaun media sosialnya untuk memuat naik imej Najib yang diubahsuai untuk menyinggung orang lain pada 31 Januari dan parodi notis Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang memaparkan imej Najib yang disunting.

Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-