Sunday, August 11, 2024

PRN DUN Nenggiri: PN Kini Dahului Di Hadapan – Syahir

mediaislam.net
MI August 11, 2024
PERIKATAN NASIONAL (PN) sedang mendahului di hadapan berbanding Barisan Nasional (BN) dalam PRK N.43 DUN Nenggiri selepas seminggu tempoh kempen, demikian pandangan Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman.

Menurut beliau yang turut turun bersama jentera kempen di lapangan, pada pemerhatiannya secara umum, walaupun kedua pihak bermula dengan peluang 50-50, namun memasuki separuh masa kedua keadaan kelihatan tenang di atas, tetapi semakin sengit di bawah.

Penolong Setiausaha Agung PAS itu mengakui, disebabkan pertembungan satu lawan satu, beliau tidak menafikan bahawa BN yang berada di pihak Kerajaan Persekutuan mempunyai kelebihan terutama daripada aspek 3M iaitu jentera, kewangan dan juga media.

“Di mana dari segi ‘machinery’ (jentera) jelas kelebihan di pihak BN apabila jentera-jentera kerajaan, agensi-agensi kerajaan, Menteri-menteri turun, ibaratnya bertanding di antara pihak kerajaan melawan parti. Bukannya pertandingan di antara parti dengan parti.

“Ini yang kita dapat lihat di (PRK DUN) Kuala Kubu Baharu dan Sungai Bakap khususnya. Bukan pertandingan antara parti dengan parti tetapi pertandingan antara kerajaan dengan parti. Jadi kelebihan kepada pihak BN jelas dalam aspek ‘machinery’.

“Dalam aspek ‘money’ (wang), taburan wang itu pastinya lebih memihak kepada mereka dan kelebihan media khususnya media massa,” ujar beliau menjelaskan gemblengan dilakukan BN untuk kembali merampas kerusi itu.

Pun begitu kemuka Syahir, di pihak PN khususnya dalam aspek jentera, jelas nampak satu kesepaduan gerak kerja di mana kepimpinan PAS, BERSATU dan GERAKAN termasuklah rakan-rakan NGO dan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Terang beliau, semua mereka tersebut turun bersilih ganti melibatkan para pemimpin tertinggi antaranya Timbalan-timbalan Presiden iaitu Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Juga katanya, dalam kalangan Naib-naib Presiden seperti Datuk Ustaz Idris Ahmad, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Dr Ronald Kiandee dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan Ustaz Idris Ahmad serta kepimpinan sayap-sayap.

“Pemuda, Muslimat, Armada, DHPP dan termasuklah Presiden GERAKAN (Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan rakan-rakan turut turun berkempen, malah lebih meriahnya rakan-rakan NGO ada Chegu Bard, Tun Faisal dan turut membantu.

“Bukan sekadar turun berceramah tapi kita turun ziarah, turun santai anak muda, turun berkampung dengan Orang Asal. Jadi ini satu kesepaduan gerak kerja di mana di pihak BN agak lompanglah memang tidak ada terlibat DAP, PKR, PAN pun boleh dikira dihitung dengan jari.

“Malah kalau kita singgah di kedai-kedai kopi, mereka bergurau (persoal) mana ‘Raja Formula’ mana Menteri-menteri pemimpin-pemimpin DAP? Mereka berguraulah kerana mereka lihat yang datang kedai kopi ini pimpinan BERSATU, pimpinan PAS,” ujarnya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Menurut Syahir juga, kehadiran rakan-rakan NGO dan bukan-Muslim terutama DHPP turut membantu memberi impak momentum di mana kelebihan kepada PN bahkan terlihat daripada reaksi atau sambutan para penduduk tempatan di Nenggiri itu sendiri.

Terang beliau, pendekatan bersemuka digunakan di sini lebih efektif berbanding pendekatan media sosial sepertimana di Sungai Bakap, sesuai dengan isu-isu tempatan di Nenggiri di mana pelbagai acara dan aktiviti juga lebih santai.

“Juga lebih informal, lebih dekat, lebih bersentuhan, lebih bersemuka. Ini memang digerakkan secara agresiflah di peringkat gelombang pertama ini dan pastinya memasuki separuh masa kedua gelombang baki tujuh hari ini akan lebih dipertingkatkan.

“Saya pun berjumpa dengan calon saudara Mohd Rizwadi (Ismail) memang alhamdulillah nampak ada ketokohan ada sambutan di pihak anak muda khususnya dan juga orang-orang kampung yang sudah biasa dengan wajah beliau sebagai Pengelola Halaqat.

“Rizwadi sudah dikenali dengan aktiviti-aktiviti kebajikan dan dakwah di sini. Jadi saya tinggalkan pesanan kepada jentera untuk teruskan melangkah, tingkatkan momentum dan kita rapatkan saf insya-Allah undi bulan,” ujarnya optimis.

Syahir turut memaklumkan, sebagaimana kelaziman PRK sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah memberikan komitmen untuk turun berkempen dan berucap pada ceramah kemuncak (grand finale) dijadualkan pada Khamis, 15 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-