Sunday, August 11, 2024

Ulang tahun ke-77 kelahiran Anwar, doa daripada Najib Razak

bharian.com.my
Essa Abu Yamin
essabuyamin@bh.com.my
 - Ogos 11, 2024 
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - NSTP/ARKIB

KUALA LUMPUR: Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-77, kira-kira tiga bulan sebelum ulang tahun kedua pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sambutan itu dihujani ucapan selamat daripada pelbagai pihak, termasuk pemimpin asing dengan mesej muhibah dan sokongan, antaranya rakan sejawatan dari Singapura, Lawrence Wong yang menyampaikan salam mesra dan ucapan selamat maju jaya.

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr juga menghantar ucapan hari jadi kepada Anwar melalui pesanan video, selain Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta yang juga menghantar pesanan video, mendoakan Anwar terus sihat untuk menyokong kepemimpinannya terhadap negara.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang menerusi hantaran di Facebook rasmi semalam, turut memuat naik serangkap pantun.

"77 angka keramat, iltizam membara seiring usia, moga teguh memikul amanat, Allah berkati hidup bahagia.

"Selamat ulang tahun kelahiran buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," catat PMO dalam hantaran berkenaan.


PMO turut memuat naik video berdurasi 2 minit 49 saat yang mengandungi ucapan hari jadi daripada dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri Kabinet.

Rakyat Malaysia juga menyampaikan ucapan hari jadi kepada Perdana Menteri dalam video berdurasi satu minit 38 saat, memanjatkan doa untuk kesihatan, kekuatan dan daya tahan Anwar yang berterusan untuk memimpin negara menuju masa depan yang lebih makmur dan maju.

Tidak ketinggalan, ucapan dan doa daripada Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara bermula 2020.

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke-77 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga dipermudahkan segala urusan, terus diberkati dan sentiasa dalam lindungan-Nya," catatan ucapan dan doa bekas Perdana Menteri itu seperti hantaran di Facebook, semalam.

Bekas Perdana Menteri dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Namun pada Februari lalu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri memutuskan pengurangan hukuman penjara sebanyak 50 peratus.

Lembaga Pembangunan mengesahkan hukuman penjara bekas Perdana Menteri itu dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-