Thursday, August 15, 2024

Umno layan kehendak akar umbi atau ‘tunduk’ kepada DAP?

harakahdaily.net
August 15, 2024
Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Umno diseru supaya kembali kepada politik permuafakatan dan Penyatuan Ummah dan tinggalkanlah ‘ijtihad’ Presiden, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang silap dan didorong faktor peribadinya sehingga terpaksa ‘tunduk’ kepada DAP.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir menimbulkan persoalan kepada akar umbi Umno sama ada partinya mahu kekal relevan atau ditelan hilang begitu sahaja kerana bertindak melawan arus kehendak umat Melayu yang sebenarnya.

“Puluhan tahun ahli dan penyokong Umno diasuh bahawa DAP adalah musuh politik mereka. Umno bukannya memusuhi masyarakat Cina, MCA yang lebih moderat adalah rakan kongsi Umno sejak Merdeka tetapi DAP ini lain.

“Ia ekstrem, ia rasis, ia mahu menghidupkan agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang menidakkan kontrak sosial yang termeterai pra kemerdekaan negara. DAP itu ancaman, itulah yang dididik sebelum ini.

“Lantas apabila pimpinan tertinggi Umno tiba-tiba memutuskan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan campuran, ramai yang cuak dan terpinga-pinga.

“Bukankah PH ini didominasi DAP yang mempunyai 40 kerusi Parlimen dan menguasai sebuah negeri iaitu Pulau Pinang (menunjukkan dominasinya dalam PH),” ujar beliau dalam media sosial miliknya hari ini.

Namun menurut Roslan, pimpinan Umno ketika itu terus cuba meredakan kecelaruan dalaman lantaran telah mendapat habuan dalam kerajaan.

Lalu kata beliau, dijelaskanlah kononya pimpinan tertinggi Umno berpakat dahulu dalam kerajaan PH tersebut adalah disebabkan Umno perlu duduk dalam kerajaan untuk terus relevan kononnya DAP sudah berjanji dengan Umno tidak akan sentuh isu-isu berkaitan kepentingan Umno.

“Kononnya DAP ini rupanya baik dan boleh dipercayai. Kononnya persefahaman ini hanya sementara.

“Hampir dua tahun Umno berketuakan PH yang didominasi DAP dalam kerajaan, bagaimana suhu kalangan ahlinya? Boleh terimakah sudah?

“Ternyata walau dinafikan pimpinan tertinggi, hakikatnya akar umbi Umno masih panas bergelora tidak dapat terima bekerjasama dengan DAP.

“Tanyalah secara jujur di bawah sanggup bekerjasama dengan DAP atau PAS saya cukup yakin hampir 90 peratus atau mungkin lebih mahukan PAS dan tolak DAP,” ujar beliau.

Terkini kata beliau, keputusan Umno untuk tidak mengundang pimpinan PH ke majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno 2024 adalah bukti isu tersebut masih panas dan tidak mereda.

“Ini bukan pemerhatian kami di luar Umno tetapi para pakar dan penganalisa politik juga berpandangan begitu,” ujarnya.

Menurutnya, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilaporkan berkata rasa tidak puas hati dalam kalangan akar umbi Umno belum reda.

“Tambah beliau titik-titik pengasingan (antara Umno dan DAP) mula bercambah. Faktor tidak senang akar umbi Umno juga kemungkinan memainkan peranan,” katanya.

Sementara itu Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan pula menyifatkan tindakan Umno tepat memandangkan kehadiran wakil parti luar daripada Barisan Nasional (BN) hanya mencetuskan rasa tidak puas hati selain ucapan pemimpinnya perlu ‘menjaga hati’ tetamu terbabit.

Umno menurut Roslan, perlu memutuskan antara hati dan perasaan akar umbinya atau kedudukan pimpinan tertinggi yang mempunyai agenda peribadi.

“Mana lebih penting? Bukan rahsia lagi betapa ribuan ahli Umno telah memangkah Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sebagai tanda protes.

“Di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu, Kemaman dan terbaru Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap mereka masih kecewa dan terus undi PAS-PN.

“Tidak mustahil dalam PRK Nenggiri Sabtu ini perkara yang sama akan mendorong akar umbi Umno memangkah Bulan.

“Apapun di Nenggiri Sabtu ini, ayuh pertahan Nenggiri pangkah Bulan,” kata beliau.

 – HARAKAHDAILY 15/8/2024

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-