Saturday, September 14, 2024

Bincang penyatuan Melayu, Islam dan Bumiputera dengan UMNO tak babitkan Zahid - Hadi Awang

bharian.com.my
Oleh Fahmy A Rosli 
fahmy.azril@bh.com.my
September 14, 2024 
Tan Sri Abdul Hadi Awang. - NSTP/ MUHAMMAD DELIMA ATAN

TEMERLOH: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan usaha untuk menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN) yang menyatukan orang Melayu, Islam dan Bumiputera, dilakukan tanpa penglibatan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bercakap pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-70 hari ini, beliau berkata perbincangan dibuat tanpa kehadiran Ahmad Zahid sewaktu Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sedang bercuti.

"Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu, Islam dan Bumiputera melibatkan pemimpin UMNO. Tidak (ada Ahmad) Zahid Hamidi. Ia berlangsung semasa (Ahmad) Zahid Hamidi (sedang) bercuti. (Jadi) dia tak terlibat.

"Dan kita bersetuju untuk mengumpulkan ahli-ahli Parlimen Islam dan Bumiputera untuk ambil alih kerajaan bersama dengan BERSATU (ketika itu).

"Kita berjaya ambil alih kerajaan dalam beberapa tempoh (sebelum ini). Tetapi oleh kerana (Kerajaan Persekutuan pada ketika itu) tidak teguh, tak kuat kedudukannya. Tapi ada kejayaan, ada kesannya.

"Kesannya ialah beberapa dalam kalangan pimpinan UMNO bersama kita. Hanya segelintir saja bersama dengan Pakatan Harapan (PH)," katanya sambil menambah hari ini sambutan kelima penubuhan MN.

Ditanya adakah PAS masih terbuka untuk menerima kerjasama dengan UMNO, Abdul Hadi mengakui "ya".

Dalam masa sama, beliau berkata PAS juga bersedia bahkan membuka pintu untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka yang bukan Islam, namun menggariskan syarat bahawa golongan itu mestilah tidak ekstrem.

"Tarik pimpinan Melayu, Bumiputera termasuk dalam kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Selagi PH berpegang kepada prinsip dan dasarnya yang pragmatik, yang tidak konsisten di mana komponen bukan parti yang ada dasar yang teruk.

"Ada (parti) yang ada dasar bercanggah dengan perjuangan kita. Contohnya DAP (dasarnya) yang sekular, Malaysian Malaysia. Bererti di (peringkat) antarabangsa pun dia (dasar DAP) ikut (seperti) Singapura, ikut Amerika Syarikat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-